KOMBINASI dua beradik ini bukan sahaja jelas pada bakat dalam bidang fesyen tetapi jika diteliti, bahkan kedua-duanya mempunyai asas pendidikan dalam rekaan grafik dan perniagaan.
Itulah intipati yang menjadi cerucuk penubuhan jenama Minz yang wujud pada hari ini. Nicole, 29 dan Adeline, 23, yang berjinak-jinak dalam rekaan aksesori sejak tahun 2004 menjadikan setiap rekaan mereka sebagai impresi artistik yang diterjemahkan menjadi barisan aksesori dan perhiasan unik.
Menurut Nicole, pembuatan aksesori pada mulanya diteroka kerana hobi. Dia merasakan aksesori yang terdapat di pasaran tidak menepati cita rasa mereka ketika itu.
"Pada tahun 2004, kami mula membuat aksesori sendiri secara suka-suka dan untuk dipakai sendiri. Semua ini berlaku secara tidak dirancang kerana ketika itu kami melihat aksesori yang dijual tidak mempunyai banyak pilihan selain kurang unik.
"Jadi, kami menggunakan kreativiti untuk menjadikan koleksi rekaan kami lain daripada yang lain. Kami memastikan rekaan kami tidak kelihatan tipikal, sebaliknya menggunakan teknik suai padan beberapa perhiasan berbeza untuk tampil unik," katanya yang mula mempamerkan aksesori yang mereka cipta di laman sosial Friendster ketika itu.
Sebelum itu katanya, nama Minz diambil daripada nama-nama adik-beradik perempuan mereka seramai lima orang.
"Justeru, nama Minz ini sebenarnya melambangkan kasih-sayang yang kami kongsi di dalam keluarga bagi mewujudkan asas rekaan fesyen di bawah label ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita lanjut, elemen-elemen yang menjadikan aksesori Minz begitu istimewa ialah kerana ia direka sendiri oleh pasangan adik-beradik itu yang bertindak sebagai penasihat untuk satu sama lain.
"Minz menawarkan gabungan eklektik dalam fesyen perhiasan dan aksesori berseni yang merupakan buatan tangan kami sepenuhnya.
"Ia tidak mengabaikan perkembangan trend masa kini yang mencipta gaya individu dalam menghiaskan diri dengan aksesori bergaya," katanya.
Aksesori buatan tangan
Kata Nicole, mereka mencipta aksesori yang bukan sahaja mencipta gaya tersendiri bagi setiap individu melalui fesyen, tetapi pada masa yang sama menjadikan setiap aksesori yang disarungkan itu menyerlahkan penampilan seseorang.
"Kami percaya bahawa kelebihan ini dapat dicapai melalui idea bahawa ia bukanlah berkenaan apa yang kita pakai, tetapi bagaimana kita memakainya," katanya.
Nicole memberitahu, perhiasan Minz dihasilkan menggunakan logam, manik-manik, batu mulia semi, rantai dan pelbagai hiasan yang lain.
"Sebahagian besar komponen perhiasan kami diolah menggunakan tangan, menjadikannya sebagai perhiasan yang halus. Justeru, pengguna harus berhati-hati apabila menggayakan perhiasan ini bagi memastikan ia kekal cantik," katanya aksesori tersebut dibuat menggunakan beberapa jenis bahan logam.
Justeru, aspek penjagaan aksesori perlu dititik beratkan.
"Pengguna perlu berhati-hati ketika menggunakan barang-barang penjagaan peribadi seperti minyak wangi kerana ada logam boleh bertindak balas terhadap parfum yang boleh menyebabkan logam pudar," katanya memberi tip penjagaan.
|
|
Dalam pada itu, Adeline yang baru menempatkan pengajian dalam bidang perniagaan di Universiti Monash, Australia menjadikan Minz sebagai keutamaannya ketika ini.
Katanya, selain memasarkannya secara talian di laman web www.minz.com.my, mereka juga menjalin usaha sama dengan laman web beli-belah Fashion Valet di www.fashionvalet.net yang diusahakan oleh Vivy Yusof, 24 dan Fadzarudin Anuar, 24.
Adeline memberitahu, dalam menghasilkan sesebuah perhiasan atau aksesori, masa bukanlah penentu untuk sesebuah rekaan itu siap dengan sempurna, tetapi kreativiti.
"Sememangnya masa yang panjang diperlukan untuk menyiapkan setiap rekaan yang perlu menjalani proses dan kreativiti sebelum sampai ke peringkat akhir rekaan.
"Kadang-kadang ia mengambil masa berjam-jam atau berhari-hari. Ia bergantung kepada jenis rekaan, semakin kompleks bermakna semakin lama masa diambil," katanya.
Menurut Adeline, mereka juga memastikan rekaan yang ditampilkan tidak sama dengan rekaan lain yang terdapat di pasaran.
"Kami berdua mempunyai cita rasa yang berbeza tetapi kami menghargai rekaan masing-masing kerana idea-idea yang kami gabungkan dapat menghasilkan rekaan yang unik.
"Jika salah seorang daripada kami sedang mereka sesuatu aksesori atau perhiasan, seorang lagi akan menjadi penasihat atau memberi idea," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: