Monday, April 25, 2011

Perang tembakau Indonesia


MENIUP asap rokok ke dalam telinga pesakit antara kaedah yang digunakan di klinik Griya Balur di Jakarta.


KELIHATAN seorang wanita sedang menghembuskan kepulan asap rokok ke dalam mulut seorang pesakit yang cengkung dan tanpa baju di sebuah klinik di Jakarta.

Pesakit yang berasal dari Barat itu menderita penyakit emfisema iaitu gangguan salur pernafasan kronik akibat tabiat merokoknya. Namun selain emfisema, kanser dan masalah autism boleh diubati dengan menggunakan rokok. Ini diakui sendiri oleh pihak klinik Griya Balur yang mendakwa bahawa rokok membantu merawat penyakit-penyakit berkenaan.

"Saya merindui suasana ini," jelas salah seorang wanita dalam loghat Amerika yang merupakan pelanggan tetap di klinik itu.

Jika diperhatikan, klinik Griya Balur yang dibuka di kebanyakan negara sudah ditutup kecuali di Indonesia. Klinik tersebut sedang rancak membangunkan perusahaan tembakau yang dianggap menguntungkan.

Meskipun tembakau ditegah kerana boleh memudaratkan kesihatan tetapi klinik seperti Griya Balur, klinik tersebut masih beroperasi seperti biasa tanpa mendapat sebarang gangguan daripada pihak berkuasa. Ini disebabkan kebanyakan pengusaha industri tembakau telah menyalurkan berbilion wang kepada pihak kerajaan.

Bagi merawat penghidap enfisem di klinik tersebut, perawat akan meniupkan asap rokok daripada rokok ketuhanan berteknologi nano bagi mengeluarkan kanser.

Sembuhkan penyakit

Pada masa yang sama, asap rokok ditiup ke dalam telinga dan mata pesakit sambil tangan pesakit memegang secawan aspirin yang diletakkan di sebelah mata kanannya.

Menurut pengasas Griya Balur, Dr. Gretha Zahar, sejak sedekad lalu dia telah membantu menyembuhkan 60,000 pesakit dengan menggunakan asap rokok.

Berlatar belakang doktor falsafah kimia nano dari Universiti Padjadjaran, Bandung, Jawa Barat, Gretha percaya bahawa manipulasi merkuri dalam asap rokok dapat menyembuhkan segala penyakit termasuklah kanser dan melambatkan proses penuaan.


SEORANG pesakit menjalani rawatan untuk merawat penyakit kanser menggunakan tembakau yang dibalut pada tubuhnya menggunakan kerajang aluminium dan kain yang dibasahkan.


"Merkuri adalah penyebab kepada semua penyakit. Di dalam rokok seperti rokok ketuhanan, terdapat bahan-bahan yang membantu mengeluarkan merkuri dari dalam tubuh," katanya.

Di laman webnya, Gretha turut menyatakan bahawa teorinya itu tidak memerlukan sebarang ujian klinikal atau menjadi topik untuk dikupas dalam mana-mana jurnal. Bahkan, dia mengakui memiliki kewangan yang mencukupi sekiranya perlu membiayai sebarang perbincangan yang melibatkan kumpulan saintis perubatan Barat.

Kes Gretha telah dilanjutkan ke Mahkamah Persekutuan. Para petani daripada industri penanaman tembakau di Jawa Tengah mahu mencabar undang-undang yang menyatakan daun tersebut boleh menyebabkan ketagihan.

Profesor Farmakologi dari Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur, Aris Widodo memberitahu, mahkamah bahawa dia tidak pernah mendengar seseorang mati disebabkan tabiat merokok. Dia juga menyatakan bahawa merokok baik untuk kesihatan.

"Merokok dapat menghilangkan perasaan cemas, menajamkan konsentrasi dan menenangkan saraf. Ia juga merupakan alternatif yang paling murah berbanding ubat lain seperti valium,"katanya.

Walaupun ada yang menyatakan tembakau menyebabkan ketagihan dan membahayakan kesihatan tetapi di Indonesia industri tembakau semakin meningkat. Ini disebabkan bilangan anak-anak muda yang menghisap rokok juga semakin bertambah.

Pemandangan individu merokok dapat dilihat di merata-rata tempat sama ada di salon kecantikan ataupun ruang menunggu di klinik gigi. Kadangkala segelintir ibu bapa tanpa rasa bersalah memberikan anak-anak kecil mereka rokok bagi memastikan mereka duduk diam.

Bukan itu sahaja, di kebanyakan konsert pihak penganjur sanggup mengedar tiket dan rokok kepada kumpulan remaja yang datang. Undang-undang tidak membenarkan orang ramai merokok di kawasan awam, namun ia dipandang enteng walaupun telah dikuatkuasakan. Kempen iklan tembakau pula sentiasa ada tidak kira di bahu-bahu jalan atau di kaca televisyen.

Kos sekotak rokok yang berisi 20 batang rokok ialah RM3.50. Ia merupakan perbelanjaan isi rumah kedua tertinggi selepas makanan di kalangan keluarga berpendapatan rendah di Asia Tenggara.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kadar merokok di Indonesia telah meningkat enam kali ganda di negara tersebut sejak empat dekad lalu.

Senario itu mengakibatkan 400,000 perokok tegar dan 25,000 perokok pasif mati setiap tahun.

Namun, Indonesia adalah satu-satunya negara di Asia yang tidak melakukan perjanjian bersama WHO Framework Convention untuk mengawal penggunaan tembakau.

Peluang pekerjaan


KLINIK Griya Balur masih beroperasi seperti biasa tanpa mendapat sebarang gangguan daripada pihak berkuasa.


Pengusaha rokok terbesar di Indonesia, PT HM Sampoerna telah bergabung bersama Philip Morris Antarabangsa. British American Tobacco juga telah membeli pembuat rokok keempat terbesar di Indonesia, PT Bentoel pada harga RM1.73 bilion sekitar tahun 2009.

Kesannya pemerintah negara tersebut menerima sekurang-kurangnya RM24 billion setahun menerusi hasil cukai industri tembakau sehingga ia membuka peluang pekerjaan kepada ribuan penduduk di Temanggung, Jawa Pusat.

Kumpulan aktivis antimerokok memberitahu, industri tembakau tidak lagi menggunakan cara pemasaran lama. Mereka mempraktikkan pendekatan baru dengan mempamerkan merokok membuatkan individu kelihatan lebih maskulin, segak, glamor dan menyihatkan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Budi Sampurno telah dipersoalkan mengenai masalah itu tetapi beliau menegaskan bahawa perkara tersebut tiada kena mengena dengan syarikat tembakau.

"Tidak pernah. Mana buktinya? Lagipun kami tidak pernah didekati oleh syarikat tembakau kerana ia tidak termaktub dalam undang-undang," jelasnya.

Menurut penggubal undang-undang Parti Demokrasi, Dr. Hakim Sorimuda Pohan yang telah merangka undang-undang kesihatan, tidak mustahil syarikat tembakau terbesar berada di sebalik tipu helah tersebut.

"Mereka pernah lakukan perkara yang sama pada tahun 1992. Syarikat tembakau berjaya memperoleh klausa yang sama daripada pihak undang-undang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: