Monday, April 25, 2011

Rozita puteri Rania


ROZITA (tengah) anggun jelita diapit oleh Kumar dan Mahsuri selepas diumumkan duta Safi Rania Gold.


SUASANA restoran Bunga Emas, di Hotel Royal Chulan tidak ubah seperti zaman kegemilangan pahlawan Melayu.

Para tetamu disambut lembut oleh pelayan restoran yang anggun dalam persalinan busana tradisional dengan alunan muzik Melayu yang mengasyikkan.

Di pondok-pondok kecil di dalam restoran sekumpulan anak-anak muda begitu seronok bermain permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban.

Itulah keistimewaan sepanjang berlangsungnya majlis memperkenalkan duta produk Safi Rania Gold.

“Kami sengaja memilih tema dan konsep kemelayuan sejati kerana ia menepati ciri-ciri yang dimiliki oleh duta Safi Rania Gold terbaru, Rozita Che Wan.

“Umum mengetahui, Rozita yang manis bertahi lalat di bibir, bukan saja memiliki wajah yang jelita dan anggun, malah sifat sopan santun serta bicara lemah-lembutnya masih terpelihara meskipun menjalani kehidupan dalam zaman moden yang serba canggih,” jelas Pengurus Kumpulan Produk Safi, Mahsuri Sulaiman.

Mahsuri menyifatkan pakej positif yang ada pada Rozita bersesuaian dengan imej Safi Rania Gold, yang dihasilkan menggunakan teknologi moden untuk mengekalkan keayuan dan kejelitaan wanita Melayu, pada hari ini.

Pemilihan Rozita, ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu, berdasarkan undian dan kaji selidik yang dijalankan dalam kalangan pengguna Safi Rania Gold di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Rata-rata pengguna menyifatkan Rozita merupakan pilihan paling ideal untuk produk penjagaan wajah antipenuaan buat wanita berusia 30 tahun ke atas.

“Rozita dianggap ikon dan memberi inspirasi kepada pengguna produk ini. Dalam kertas kaji selidik kebanyakan pengguna turut melahirkan hasrat untuk mengikut langkah Rozita yang bukan saja berjaya dalam karier malah, bijak menjaga penampilan diri dan mengekalkan kejelitaan wajah.

“Seperti yang kita sedia maklum, kulit yang bermaya merupakan sumber keyakinan utama buat wanita. Semakin kita matang, keanjalan serta keremajaan kulit semakin berkurangan. Justeru, penjagaan kecantikan ini haruslah bermula dari usia muda. Seperti Rozita, dia membuktikannya sendiri bahawa Safi Rania Gold membantu membuatkan wajahnya berseri dan kembali anjal,” terang Mahsuri.

Rahsia awet muda

Sementara itu, duta Safi Rania Gold, Rozita, 36, memberitahu rangkaian produk tersebut mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Ia diperkaya dengan formulasi teknologi Nano emas 24k yang menjanjikan keupayaan untuk mengurangkan kedutan dan garis-garis halus dari dalam.

“Selepas beberapa bulan menggunakan produk ini, saya dapati kulit wajah semakin anjal dan berseri. Paling mengujakan apabila masalah pigmentasi berjaya diatasi. Kini wanita yang bakal menginjak usia 40 tahun tidak perlu lagi bimbang tentang kehadiran garis-garis halus kerana semuanya dapat diatasi dengan aplikasi produk Safi Rania Gold,” ulas Rozita yang pernah membintangi drama Jelatang, Kiah Pekasam dan Kem Pink.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Wipro Unza Malaysia Sdn. Bhd. Kumar Chander, memberitahu, sejak Safi Rania Gold diperkenalkan pada tahun 2009, sambutan terhadap produk tersebut cukup menggalakkan.

Ini disebabkan wanita Melayu dan Muslim pada hari ini bukan sekadar memilih produk yang bertindak menyerikan kulit wajah semata-mata, bahkan turut menitikberatkan soal kandungan dan halal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: