Inilah rumah tokoh perfileman negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan di sinilah beliau dilahirkan dan dibesarkan.
Rumah yang dibina pada tahun 1926 ini adalah hasil kerja tangan bapa P Ramlee sendiri bersama bapa saudaranya yang bernama Rejab Hussien. Namun, pada zaman pendudukan Jepun, rumah ini mengalami kerosakan dan ia dibaiki semula bapa saudaranya sekitar tahun 1948.
Rumah yang mempunyai sebuah bilik tidur dan dapur ini mempunyai nostalgianya tersendiri dan bagaimana kehidupan tokoh negara itu sebelum bergelar bintang.
Turut berada di kawasan rumah ini adalah sebuah basikal kesayangan P Ramlee. Itulah kenderaan rasminya ke mana sahaja biarpun membuat persembahan ke kampung seberang bersama kawannya ketika usianya masih kecil.
Rumah yang terletak di Jalan P Ramlee, Pulau Pinang ini diwartakan sebagai peninggalan sejarah oleh Arkib Negara Malaysia. Ia sekali gus menjadi muzium dan boleh dikunjungi orang ramai pada bila-bila masa sahaja.
Arkib Negara Malaysia turut membaik pulih rumah penuh nostalgia itu buat kali ketiga dan dibuka dengan rasminya oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia ketika itu, Datuk Sabbaruddin Chik pada 31 Disember 1991.
Pemeliharaan rumah berkenaan adalah sebagai tanda dan ingatan kepada seniman yang banyak berjasa dalam bidangnya kepada bangsa dan negara.
Minggu depan, kenali siapa Ibrahim Pendek.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: