Monday, March 14, 2011

Pengajaran Dalam Drama Cucu Seorang Primadona

Wan Maimunah (kanan) dan Fimie Don

PETALING JAYA: Pernah bergelar seorang primadona yang disanjungi dan memiliki ramai peminat membuatkan Ku Zaidah Ku Sulaiman seorang artis yang amat terkenal pada era lewat 70an dan 80an tidak mahu dirinya terus dilupakan.

Meskipun sudah tidak lagi melibatkan diri dalam industri seni, dia menggunakan cucunya, Danial untuk membina kerjaya sebagai seorang pelakon sekaligus membuka ruang dirinya menyinar dan diingati kembali.

Apatahlagi Danial tiada pilihan lain kerana setelah kematian ibu dan ayahnya, hanya kepada Ku Zaidah tempat dia berlindung dan menumpang manja.

Pada masa sama Danial tidak sepenuh hati menjadi artis kerana dia hilang ’hak’ seperti kanak-kanak seusianya untuk pergi bermain dan menumpukan perhatian terhadap pembelajaran di sekolah.

Dijayakan wataknya oleh dramatis terkenal Wan Maimunah, telemovie yang turut dilakonkan oleh Fimie Don dan Nisha Dirr bertajuk Cucu Seorang Primadona disiarkan mengisi slot Pentas Putra bermula 20 Mac depan, pukul 3.05 petang di TV1.

Fimie Don

Kisahnya bermula dengan memperkenalkan watak Ku Zaidah, pelakon yang telah menjayakan banyak watak dalam filem-filem tempatan. Dan dalam hampir setiap majlis anugerah filem telah mengangkatnya sebagai pelakon wanita terbaik. Ketika itu Ku Zaidah menjadi seorang primadona yang amat di minati, digilai dan disanjung tinggi.

Akhirnya Ku Zaidah mengakhiri zaman bujangnya dengan mengahwini seorang lelaki biasa bernama Kamal. Mereka dianugerahkan seorang cahayamata bernama Iskandar. Lama kelamaan Ku Zaidah semakin menyepikan diri dari dunia glamour. Tahun berganti tahun akhirnya bintang Ku Zaidah semakin malap dan akhirnya terus dilupakan begitu sahaja.

Kini Iskandar telah berkahwin dengan Julia. Namun perkahwinan mereka tidak direstui oleh Ku Zaidah . Ini kerana Ku Zaidah lebih senang jika Iskandar mengahwini pelakon jelita bernama Naima. Dia mengharapkan perkahwinan antara anaknya dan pelakon yang sedang melonjak naik namanya itu dapat menaikkan kembali nama Ku Zaidah di dalam dunia seni.

Namun Iskandar enggan dan tetap mahu mengahwini Julia. Kerana sayangkan anaknya, Ku Zaidah menyimpan perasaannya dan terpaksa mengizinkan Iskandar berkahwin dengan Julia tanpa rela hati. Kelahiran Danial, anak kepada Iskandar dan Julia juga masih tidak dapat memadam perasaan Ku Zaidah pada Julia.

Malang tidak berbau apabila satu kemalangan telah meragut nyawa Kamal, Iskandar dan Julia. Ini membuatkan Ku Zaidah seperti orang hilang arah dan kini Ku Zaidah terpaksa hidup bersama cucunya Danial.

Masa pantas berlalu, kehidupan Ku Zaidah dan Danial semakin meruncing kerana Ku Zaidah tiada sumber pendapatan. Namun tawaran berlakon yang ditawarkan kepada Danial oleh teman lama Ku Zaidah telah mengubah segala galanya. Danial kini telah menjadi satu fenomena baru dalam industri perfileman.

Dengan bakat yang diperolehinya, Danial menjadi nama yang disebut sebut, dicari oleh setiap syarikat produksi di tanah air. Sehingga dia memenangi banyak anugerah.

Nama Ku Zaidah kembali menyinari dunia seni dengan menumpang populariti cucunya itu. Setiap tawaran yang diterima oleh Danial diterimanya bulat bulat oleh Ku Zaidah tanpa meminta pendapat ataupun persetujuan daripada Danial. Namun untuk menjaga hati neneknya, dia teruskan juga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: