Thursday, January 1, 2009

Kegagalan Dalam Perkahwinan


PERKAHWINAN adalah ikatan yang murni dan diserikan dengan rasa cinta. - Gambar hiasan


“APA yang telah aku lakukan, mengapa bahtera perkahwinan yang aku layari usianya tidak pernah kekal. Mengapa Tuhan memberiku ujian yang begitu berat ini.”

Perkara tersebut kerap berlegar di fikiran Rizal Razali, 28, (bukan nama sebenar) selepas dua perkahwinan yang dibinanya menemui kegagalan.

Anak muda ini sendiri tidak tahu di mana silapnya apabila perkahwinan yang kedua-duanya berasaskan suka sama suka tidak mampu bertahan dengan cabaran dan dugaan rumah tangga.

Perkahwinan pertamanya dengan Yuli, 48, (bukan nama sebenar) memang mengejutkan rakan sepejabat.

Manakan tidak, Yuli yang selama ini bertugas sebagai pencuci pejabat, membasuh tandas dan membersihkan meja staf di tingkat sembilan bangunan tersebut kini secara sah bergelar isteri kepada eksekutif di syarikat di mana Yuli berkhidmat.

Tambahan pula usia mereka umpama ibu dan anak, rakan sepejabat sama sekali tidak pernah membayangkan wanita yang dipanggil ‘bibik’ itu kini menjadi isteri kepada rakan mereka.

“Memang ia satu keputusan yang nekad. Mata bertentang mata, akhirnya turun ke hati. Setiap kali dia mengemas meja saya, hati berdetap kencang, bagai ada satu tarikan yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

“Selepas mengenalinya tidak sampai empat bulan saya terus melamarnya. Faktor usia bukanlah ukuran kerana bagi saya cinta tidak mengenal siapa,” jelas Rizal ketika dihubungi baru-baru ini.

Kerana cinta yang tidak boleh lagi dibendung, Rizal meminta persetujuan keluarga dan akhirnya mereka dinikahkan dalam suasana ringkas di kampung Rizal memandangkan Yuli berasal dari seberang.

“Mujur keluarga tidak membantah, lagipun saya tinggal dengan nenek, dia mengikut apa saja keputusan saya,” cerita Rizal lagi.

Walaupun Yuli berusia sekali ganda darinya, Rizal tidak pernah merasakan jurang usia tersebut. Malah katanya, dia menikahi janda beranak dua itu kerana cinta dan simpati dengan nasib wanita itu.

Bagaimanapun cinta yang diharapkan berpanjangan, putus jua di tengah jalan.

“Hari demi hari kami semakin tidak tegar bersama, saya dengan tugasan harian yang berlambak di pejabat, manakala dia terus dengan kerjayanya sebagai pencuci pejabat.

“Namun, apa yang saya runsing dia seakan tidak boleh menerima kesibukan saya di pejabat dan mahukan saya lebih masa di rumah,” ujar Rizal meluahkan perasaan.

Bosan dengan keadaan terhimpit itu, Rizal mengambil keputusan menceraikan isterinya dengan talak satu. Usia perkahwinan mereka hanya bertahan sembilan bulan dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Setelah menduda selama tiga bulan, hati Rizal terpaut pada seorang ahli perniagaan wanita yang ditemui ketika bertugas di sebuah pusat pelancongan di ibu kota.

Bagi Rizal membuka pekung sendiri bukanlah satu tindakan untuk populariti atau apa saja. Cuma satu niatnya agar kisahnya diambil iktibar bagi mana-mana lelaki yang akan mendirikan rumah tangga.

“Sekilas, penampilan Lili memang persis wanita idaman saya. Sopan, lemah lembut tutur kata dan ringkas gayanya. Gaya beliau melayan tetamu yang datang ke premisnya sungguh matang dan menarik perhatian saya. Lalu saya mengambil keputusan untuk mengenalinya dengan lebih dekat,” jelas Rizal lagi.

Saat itu Rizal yakin bahawa Lili adalah gadis yang bakal mengisi suri di hatinya. Kebetulan Lili belum pernah berumah tangga walaupun usianya telah mencecah 38 tahun.

“Kami menikah bulan Jun 2006 selepas tiga bulan saya menduda. Walaupun tempoh menjadi pasangan kekasih hanya dua bulan, kami berdua yakin dengan cinta selepas berkahwin,” imbas Rizal.

Setelah menikah, mereka tinggal di rumah pemberian ayah mertua Rizal yang dihadiahkan sebagai hadiah pernikahan mereka. Walaupun pendapatan Rizal tidak setanding isterinya, namun mereka bahagia.

Namun, impian tak seiring dengan kenyataan yang harus ditelan. Lili yang kelihatan sederhana dan tidak berkira pada awalnya, kini mula mengungkit setiap kali perselisihan berlaku antara mereka.

“Kalau sekali dua saya boleh terima tetapi perselisihan tetap berlaku, kadang kala kerana sebab yang amat remeh seperti cemburu dan sebagainya. Sekali lagi talak gugur setelah dia mencabar saya. Usia perkahwinan kali ini baru mencecah setahun dan akhirnya berakhir dengan penceraian pada malam yang sunyi,” jelas Rizal dengan riak wajah sedih.

Dan itulah malam terakhir Rizal melihat wajah isterinya. Perkahwinan pertama dan kedua tersungkur di tengah jalan dalam usia yang amat singkat. Dalam usia Rizal yang masih muda, iaitu 28 tahun dia telah melalui dua kisah penceraian.

Walau sudah setahun kisah penceraian kedua Rizal berlalu, hatinya belum terbuka untuk bernikah lagi.

“Walaupun luka sudah pulih namun ia meninggalkan parut selamanya. Dua isteri telah berlalu dan kuputuskan dalam hati untuk tidak menikah selamanya,” tuturnya penuh sadis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: