Thursday, January 29, 2009

Cabaran baru Sheila Rusly

MENGENALI anak seni bernama Sheila Rusly ini sememangnya dia cukup optimis dan berpandangan jauh dalam setiap hasil kerja yang ingin diterbitkannya menerusi syarikat JS Pictures Sdn. Bhd., yang diusahakan bersama suaminya, Azman Yahya atau Jinggo.

Tidak dinafikan, kebanyakan hasil kerja yang lahir daripada syarikat mereka mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dan diterima dengan cukup positif.

Lebih manis lagi, mereka juga pernah diiktiraf dalam Anugerah Skrin Ke-9 pada tahun 2007 apabila drama Sebuah Ijtihad merangkul tiga anugerah utama iaitu Drama TV Terbaik, Pengarah Drama Terbaik dan Lakon TV Terbaik.

Maka, dengan itu, tidak hairanlah, JS Pictures terus menjadi rebutan stesen televisyen untuk menerbitkan drama bagi tatapan penonton setia mereka.

Terbaru, stesen televisyen swasta pertama negara, TV3 terus memberikan kepercayaan kepada JS Pictures untuk menerbitkan drama bersiri Anak Betong yang sudah pun ditayangkan bermula 27 Januari lalu bagi mengisi slot Lagenda.

Menariknya, ia merupakan kolaborasi pertama TV3 dan JS Pictures dalam menghasilkan drama untuk slot berkenaan yang ditayangkan di TV3 dan TV9 itu.

Anak Betong yang dihasilkan sebanyak 20 episod itu juga merupakan kisah yang diangkat daripada filem klasik Anak Buluh Betong yang mengisahkan bagaimana seorang anak angkat derhaka terhadap keluarga angkatnya apabila dewasa.

"Semua idea datangnya daripada TV3 yang mahukan kami menerbitkan drama bersiri untuk slot Lagenda dan mereka sendiri yang mencadangkan kepada kami agar kisah Anak Buluh Betong diberi nafas baru mengikut peredaran zaman.

"Lantas, kami duduk berbincang dengan penulis skrip untuk menghasilkan karya yang lebih segar agar menepati kriteria yang ditetapkan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan diluluskan oleh TV3.

"Ini semua cabaran untuk kami dalam menerbitkan pelbagai genre drama dalam mempelbagaikan lagi trek rekod kami. Kami amat bersyukur dan gembira dengan kepercayaan yang diberikan TV3 kepada kami dalam menerbitkan Anak Betong ini," kata Sheila selaku penerbit Anak Betong membuka bicaranya sewaktu majlis pelancaran drama berkenaan di ibu negara, minggu lalu.

Selain Sheila turut beraksi dalam drama bersiri berkenaan adalah Fizz Fairuz, Hairie Othman, Ezany Nizariff, Wan Nor Azlin, Normah Damanhuri, Maya, Linda Hashim, Haiza dan ramai lagi.

Seperti kejayaan drama-drama terbitan JS Pictures sebelum ini, Anak Betong juga menyaksikan kolaborasi suami isteri ini untuk sekian kalinya bersama Nazli Yahya atau Cik Li dalam menghasilkan skrip Anak Betong.

"Anak Betong tidak mengambil bulat-bulat apa yang pernah dipaparkan dalam filem klasik sebelum ini. Saya hanya mengambil semangatnya sahaja untuk dijadikan drama bersiri ini. Selebihnya, adalah berdasarkan idea saya sendiri untuk menceritakan tentang keburukan jika sihir dan anasir jahat menakluki diri kita," jelas Cik Li pula.

Menyambung bicara, Sheila turut memberitahu adalah menjadi satu cabaran besar bagi dirinya sebagai seorang pelakon apabila membawakan watak antagonis dalam Anak Betong ini.

Lebih-lebih lagi dengan menghabiskan masa selama dua jam setiap hari untuk solekan semata-mata untuk menghidupkan watak Malika, seorang ahli sihir yang telah hidup selama beratus tahun.

"Saya tahu ada orang mempertikaikan tindakan saya yang hanya mahu berlakon di bawah produksi sendiri tetapi itulah realitinya di mana saya bebas untuk mewarnakan setiap watak yang saya mahu.

"Dengan imej bertudung yang saya bawakan kini, ramai yang mengatakan saya tidak mampu untuk membawakan watak lain selain daripada watak yang baik-baik sahaja.

"Tetapi menerusi Anak Betong, saya berjaya mengubah stigma tersebut dan ia merupakan salah satu sebab mengapa saya selesa berlakon di bawah syarikat sendiri," kata Sheila bersungguh.

Jelasnya lagi, bukan dia tidak menerima tawaran berlakon daripada syarikat lain tetapi kebanyakan watak yang diberikan semuanya adalah sama dan Sheila sendiri menegaskan dia tidak akan membuka tudung semata-mata untuk membawakan watak yang diberikan.

"Saya percaya inilah rezeki yang diberikan oleh Allah untuk saya menyalurkan kreativiti saya demi kepuasan untuk peminat yang sering menghargai hasil kerja syarikat kami. Saya juga tidak mahu dilabelkan sebagai seorang pelakon yang stereotaip semata-mata dengan imej baru yang saya bawakan," ujarnya yang anggun berpakaian serba hitam pada petang itu.

Bagi Jinggo pula, sebagai pengarah dia berdepan dengan cabaran untuk mengimbangi setiap karakter yang ditampilkan dalam Anak Betong.

"Ingin saya jelaskan di sini, Anak Betong bukanlah sebuah kisah seram sepenuhnya tetapi ia sebuah kisah rakyat. Untuk itu, berdasarkan skrip, saya perlu menjadikan Anak Betong ini tidak dipandang sebagai sebuah karya seram.

"Memang tidak dinafikan elemen seram itu ada tetapi ia tidak banyak. Ia masih ada elemen lain seperti humor, drama, aksi dan disebabkan itu, semua karakter yang ada dalam drama ini begitu penting untuk menghidupkan lagi jalan cerita Anak Betong.

"Itulah yang menjadi cabaran saya kali ini agar Anak Betong dapat diterima ramai dan apa yang membuatkan saya gembira adalah komitmen para pelakonnya yang telah memberikan hasil kerja yang cukup memuaskan hati saya sebagai seorang pengarah," kata Jinggo lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: