|
TERPALIT dengan kontroversi selepas majlis bertunang yang diadakan Oktober tahun lalu, penyanyi Nas Adila Mohd Dan tabah menempuh cabaran hidup sebagai selebriti. Biarpun pelbagai persepsi masyarakat dilemparkan kepadanya, dia tetap berfikiran positif dan terbuka. |
Kata Nas Adila, dia mengakui kesilapan lalu berpunca daripadanya dan tunang, Putera Megat Azizul Azree
Baharin. Namun, dia tidak mahu menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku sebaliknya terus memandang ke depan mengharungi kehidupan mendatang. Selepas dua bulan kontroversi itu berlalu, dia berazam membuka diari baru tahun ini.
Kini, pada usia 23 tahun, Nas Adila gigih mengembangkan karier seni sama ada nyanyian mahupun lakonan. Sebelum ini dia pernah muncul dengan dua album, Kekasih Kerinduan pada 2004 diikuti Istana Janji (2006). Selepas dua tahun tanpa album baru, dia kemudian mengembang bakat dalam lakonan. Antara drama yang pernah dilakonkan adalah Intan Asmara, Cahaya Deepavali, Menantu 3 Rasa dan program Muzikal Krismas.
"Sebenarnya dalam diri, saya masih terkilan dengan tanggapan orang luar mengenai kontroversi pertunangan saya lalu. Walaupun saya mengakui ia kesilapan sendiri tetapi saya berharap perkara ini tidak diperbesarkan lagi. Memasuki tahun baru, saya juga mahu bina kehidupan baru dan berharap perkara lalu biarkan terus berlalu.
"Meskipun ramai pihak yang bertanyakan cerita kontroversi itu, saya masih bersyukur kerana rezeki untuk mengadakan persembahan dan tawaran berlakon tetap ada. Saya percaya setiap apa yang berlaku seperti kontroversi mempunyai hikmah dan saya tidak mahu berputus asa untuk berjaya. Kontroversi turut menaikkan semangat saya untuk bekerja keras dan lebih memberi fokus pada karier seni.
"Buat masa ini, saya terbabit dengan proses menyiapkan single untuk album terbaru saya yang bertajuk Salah Siapa ciptaan Hadi Hassan. Sebagai satu strategi pemasaran, hanya single ini yang menampilkan genre balada dimuatkan menerusi album baru saya nanti yang akan berada di pasaran pada pertengahan bulan depan.
"Selepas single ini dipromosikan, lagu kedua iaitu Ronta Sukma ciptaan Aidit Alfian dan lirik, Ahmad Fedtri Yahya akan menyusul selepas itu. Beza antara dua lagu ini, lagu kedua lebih ke arah etnik kreatif.
"Saya percaya dua lagu ini mempunyai kekuatan untuk berikan kelainan pada peminat. Sebelum ini, ada peminat yang menyatakan komen, mereka suka saya menyanyikan lagu balada dan etnik kreatif. Saya sendiri sebenarnya suka menyanyikan pelbagai genre lagu berbeza dan jika boleh tidak terlalu terikat dengan satu irama saja. Bagaimanapun, dalam banyak persembahan pentas yang saya jayakan, peminat lebih gemar saya nyanyi lagu etnik kreatif," katanya.
Untuk album kali ini, Nas Adila memberanikan diri menerbitkan album di bawah syarikat sendiri, Nas Adila Entertainment yang ditubuhkan sejak setahun lalu. Katanya, walaupun album ketiga ini memakan masa yang lama lebih dua tahun untuk diterbitkan tetapi dia mahukan kepuasan pada diri dan peminat.
"Antara lagu terbitkan sendiri atau syarikat rakaman lain, masing-masing mempunyai kelebihan. Namun, jika difikirkan album yang dihasilkan sendiri lebih memberi kepuasan pada diri. Dari situ, penyanyi bukan hanya terbabit dengan proses rakaman album sendiri tetapi menariknya, saya juga berpeluang mempelajari proses penerbitan sesebuah album dari mula hingga akhir.
"Saya berharap percubaan saya untuk album baru ini berjaya dan peminat masih terbuka untuk menerima karya baru saya," katanya.
Mengenai lakonan, Nas Adila mula terbabit dengan dua filem baru. Filem baru, Jangan Pandang Belakang Congkak arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menyaksikan saya muncul sebagai pelakon undangan sebagai diri sendiri tetapi karakter merujuk pada penyanyi baru yang berminat mencari populariti dan bakatnya digilap penerbit David Teo.
"Filem kedua pula, saya masih dalam proses untuk pemilihan pelakon filem Miss Tomoi yang diarahkan Thorpe Ali. Buat masa ini, ada beberapa pelakon yang diuji bakat untuk diambil berlakon dalam filem ini. Menariknya, filem ini memerlukan saya beraksi seperti ahli sukan tomoi yang lasak berlawan dengan musuh.
"Saya masih berlatih untuk mempersiapkan diri dengan watak ini tetapi saya tidak menafikan ia memang sukar untuk dilakonkan. Namun, saya masih berusaha untuk membiasakan diri dengan kehidupan lasak ini dan mahu lakonan kali ini memberi impak besar pada perkembangan karier seni saya akan datang.
"Antara lakonan dan nyanyian, saya masih mencintai nyanyian. Sebaliknya, saya tidak menolak tawaran berlakon yang menarik dan sesuai dengan diri saya jika mempunyai kelapangan. Untuk tahun baru 2009, saya berharap ia membawa sinar kejayaan dan kebahagiaan pada diri.
"Fokus saya ketika ini adalah mahu mengukuhkan aspek karier seni dulu. Mungkin lagi dua tahun baru saya akan berkahwin. Apa yang lebih penting, penerimaan peminat dengan kehadiran single baru saya kali ini mendapat respons positif.
"Sebelum ini ada peminat yang mengenali saya tetapi tidak tahu lagu saya yang mana satu. saya juga berharap stesen radio memberikan kerjasama dalam mempromosikan single baru saya nanti," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: