|
|
MASA begitu deras berlalu. Diam tak diam sudah melebihi usia setahun perkahwinan Engku Emran Engku Zainal Abidin bersama permaisuri hidupnya yang merupakan selebriti terkenal tanah air, Erra Fazira.
Mahligai impian yang dimateri atas nama cinta yang luhur itu terus menyemarakkan api asmara membara dengan harapan hubungan yang dibina itu berkekalan selama-lamanya tanpa mampu diganggu-gugat anasir luar.
Jangan terkejut kerana pasangan merpati dua sejoli itu punya resipi tersendiri dalam memakmurkan rumah tangga yang dibina pada 25 Oktober 2007 untuk berterusan ke akhir hayat hendaknya.
Andai sebelum ini khalayak selalu menatap kegembiraan Erra bergelar seorang isteri, kali ini Kosmo! sendiri cuba mengorek daripada suami kepada pelakon dan penyanyi jelita itu tentang rahsia keharmonian rumah tangga mereka.
"Berlawak setiap hari menjadi asas paling penting dalam mengukuhkan ikatan ini," bilang Engku Emran telus tentang kesejahteraan yang dikecapi bersama wanita yang dinikahi itu.
Tidak dinafikan, Engku Emran di alam realiti kelihatannya serius dan garang, namun jangan salah sangka dengan personaliti luaran lelaki dengan susuk tinggi lampai itu. Dia sebenarnya gemar bercanda.
"Kalau seharian saya berborak dengan Erra, saya akan buat-buat bercakap dalam nada budak-budak, tanpa ada sebarang rasa malu dengan isteri.
"Erra sendiri membalas semula kata-kata saya dengan menggunakan suara kanak-kanak, malah kami juga tidak henti buat lawak sesama sendiri.
"Bila dua-duanya sudah bertutur dalam keadaan sama, maka perbualan kami tidak ubah seperti menyaksikan watak dalam animasi Chipmunks," ungkap Emran tertawa besar, tanda diri sedang berbahagia dengan wanita yang mendapat gelaran Primadona Filem Melayu Moden itu.
Melangkaui usia lebih setahun menyulami cinta dalam sebuah institusi kekeluargaan, pasangan itu nekad enggan melakukan sebarang sambutan ulang tahun secara besar-besaran.
Memadailah dengan majlis kecil dan biasa, sebagai pelengkap memperlihatkan tanda penghargaan yang tidak terhingga atas kerukunan rumah tangga mereka.
|
|
"Kami tidak lakukan acara besar-besaran, sebaliknya sekadar mengadakan majlis doa selamat, yang dihadiri famili terdekat kedua-dua belah pihak pada 25 Oktober lepas.
"Memang kami hendak melaksanakan dalam konsep santai tanpa mahu menguar-uarkan kepada pihak media," tambah lelaki berusia 32 tahun itu ringkas, mahukan sedikit privasi.
Tiada yang lebih membahagiakan Engku Emran apabila benih kasih yang ditaut bersama Erra jadi bermakna dengan kehadiran insan bernama cahaya mata tidak lama lagi
Engku Emran sendiri sudah pasti teruja apabila empunya diri bakal meraih gelaran baru pada tahun 2009, sebagai seorang bapa.
Insya-Allah, dengan segala kekuasaan Allah, Engku Emran akan menjadi ayah kepada seorang bayi perempuan setelah imbasan kandungan dilakukan semasa awal kehamilan Erra.
Gembira bukan kepalang, Engku Emran memberitahu, pada 23 Disember lalu Erra sekali lagi melakukan ujian imbasan kandungan.
Malah doktor sendiri mengesahkan sekali lagi bahawa 'isi' yang memboyot dalam perut Erra itu ialah bayi perempuan yang akan dilahirkan Mac depan.
"Saya cukup teruja bakal jadi bapa. Harap-harap anak yang lahir nanti akan mengikuti hobi saya dan Erra iaitu menunggang motosikal berkuasa besar," seloroh Engku Emran tentang harapan terhadap cahaya matanya kelak.
Terus membutir bicara manis, Engku Emran bagaimanapun menganggap keterujaan yang menyelubungi diri belum mencecah tahap paling maksimum selagi dia tidak menyaksikan sendiri kelahiran bayi itu di depan matanya.
"Saya cukup yakin rasa seronok itu hanya betul-betul muncul selepas tengok anak saya lahir nanti. Namun tahap kesihatan Erra turut diutamakan dalam soal ini dan saya berharap semuanya selamat.
"Setelah anak kami lahir tidak lama lagi, saya yakin anak itu bakal menjadi anugerah paling bernilai dalam rumah tangga kami," jawab Engku Emran yang kini menelaah buku berkaitan penjagaan bayi untuk persediaan bergelar bapa selang tiga bulan lagi.
Lebih mengujakan, Engku Emran kini dalam persediaan menyertai kelas intensif bersama isteri tercinta di sebuah hospital swasta sekitar Damansara dalam masa terdekat ini.
"Alhamdulillah, ada beberapa ilmu yang saya pelajari tentang cara penjagaan bayi. Selebihnya, saya tidak sabar untuk ikuti kelas tersebut terutama belajar menukar lampin pakai buang bayi," kata lelaki itu yang bakal memegang status sebagai antara bapa terkacak di Malaysia.
Suria FM tonjol kelainan
Berkumandang bebas di udara menerusi frekuensi 105.3 fm di Lembah Klang, stesen radio popular Suria FM yang sebelum ini 'berkiblatkan' tagline Hidup Pasti Rancak kini menonjolkan sebuah transisi baru.
Perubahan yang bakal menjadi tonggak utama stesen itu dapat dilihat apabila Suria FM memperkenalkan tagline baru, Muzik Terbaik Tanpa Henti.
|
|
Tidak dinafikan, itu antara inisiatif yang cuba dilaksanakan Suria FM dalam usaha menarik perhatian umum terutama dalam meningkatkan bilangan pendengar stesen itu pada tahap lebih tinggi.
Jelas Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran, selain memfokuskan kepada peningkatan jumlah pendengar, tagline tersebut menjadi isyarat awal mengenai perubahan besar dilakukan Suria FM menjelang tahun 2009.
"Perubahan tagline kami bersempena dengan strategi memutarkan lagu-lagu terbaik pilihan pendengar tanpa henti sepanjang 40 minit bagi setiap jam bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam mulai awal bulan ini.
"Penyiaran lagu sepanjang 40 minit itu bukannya diaplikasi sekadar suka-suka, sebaliknya ia melalui kaji selidik yang dijalankan bersama-sama pendengar radio itu secara menyeluruh pada Oktober lalu.
"Strategi seumpama ini saya rasa belum ada mana-mana lagi stesen radio yang buat, jadi saya yakin dengan keberkesanan rancangan ini apatah lagi ia berpandukan kaji selidik daripada pendengar," katanya dalam nada teruja pada majlis Party Klik VIP Suria 2008 yang berlangsung di Red Box Ria, Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ibarat stesen radio lain yang sering menjalani peningkatan ketara dari segi jumlah pendengar, Suria FM tidak ketinggalan berusaha untuk melonjakkan rating mereka.
Rating stesen itu yang melebihi 100,000 pendengar baru-baru ini menjadikan jumlah pendengar stesen itu terus bercambah sekali gus mencecah lebih setengah juta pendengar.
Engku Emran berkata lagi, kaji selidik yang dijalankan selama sehari itu menyenaraikan lebih 900 buah lagu dalam dan luar negara untuk diundi pendengar radio tersebut.
Menerusi perkiraan tersebut, katanya, secara tidak langsung lagu-lagu popular sekitar 80-an hingga kini jadi pilihan ramai.
Bercerita tentang maklum balas pendengar, beliau berkata rata-ratanya memberi jawapan positif terhadap pemutaran lagu-lagu pilihan selama 40 minit.
"Perubahan tersebut merupakan salah satu daripada perancangan yang kami fikirkan untuk Suria FM pada tahun depan.
"Harap-harap ia dapat menarik lebih perhatian pendengar dalam lingkungan usia antara 20 hingga 35 tahun.
"Ini adalah kelainan yang Suria FM cuba berikan kepada para pendengar. Selepas ini, kita nak apabila sebut sahaja 40 minit lagu tanpa henti, orang akan ingat kepada Suria FM," jelasnya sambil tersenyum manis, semanis perjalanan Suria FM.
Berbicara soal penyiaran lagu sepanjang 40 minit tanpa henti itu, ia sedikit sebanyak menimbulkan keraguan, apakah Suria FM mengambil keputusan untuk tidak lagi menggunakan khidmat penyampai sedia ada mereka?
Dalam nada tenang dan penuh santai, Engku Emran menafikan dakwaan itu. "Tidak benar sama sekali."
Hujahnya lagi, bukan kerana enggan bercakap banyak di udara, maka khidmat penyampai terus berakhir di situ.
"Mereka (penyampai) masih lagi diperlukan termasuk dalam menyampaikan satu-satu informasi kepada para pendengar, malah mereka masih punya peranan sendiri meskipun kurang bercakap.
"Saya dapat lihat bahawa para penyampai yang sedia ada ini sudah pun cukup kuat untuk mengukuhkan Suria FM," jawab Engku Emran penuh keyakinan.
Bercerita lebih lanjut tentang majlis Party Klik VIP Suria 2008, katanya, ia diadakan sempena ulang tahun pertama Suria FM yang melancarkan operasi secara menyeluruh di serata negara bermula tahun lalu.
Selain dihadiri oleh Klik Suria seramai 25 orang (pendengar Suria FM), majlis itu juga dimeriahkan dengan persembahan karaoke artis terkenal tanah air seperti Amy Mastura, Elyana, Farawahida, Faradhiya dan Imran Ajmain.
Program itu juga diserikan dengan kehadiran para penyampai Suria FM seperti Zizi, Lin, Akhtar, Zaff, Hairil, Bob Ringgo dan Tuah Zoqarnain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: