DIKENALI dunia secara komersial sebagai Beyonce, penyanyi, penulis lagu, penerbit dan aktres ini mula mengumpul populariti sebagai vokalis utama kumpulan Destiny's Child pada tahun 1990-an.
Ketika Destiny's Child membuat keputusan untuk berpecah dan menjalani arah tuju sendiri pada tahun 2005, ramai yang sedih dan tidak kurang juga yang bimbang Beyonce tidak mampu mengekalkan popularitinya.
Namun, terbukti semua kebimbangan itu sia-sia sahaja. Album solo pertamanya, Dangerously in Love yang diterbitkan pada Jun 2003 (ketika masih bersama Destiny's Child) membolehkan Beyonce membawa pulang lima anugerah Grammy 2004.
Setahun selepas bergerak solo, Beyonce menghadiahkan pula album keduanya, B'Day kepada peminat pada tahun 2006. Album ketiganya, I Am ...Sasha Fierce yang dipasarkan pada 18 November lalu dikatakan mendapat inspirasi daripada filem biografi muzikal lakonannya, Cadillac Records.
Kejayaan album solonya juga mengukuhkan Beyonce sebagai salah seorang artis paling laris dalam industri muzik. Turut mengembangkan karier dalam bidang lakonan dan fesyen, Beyonce merupakan pemuzik kedua termahal dari jangkamasa Jun 2007 hingga Jun 2008 dengan keuntungan AS$80 juta (RM289 juta).
Berkahwin dengan penyanyi rap, Jay-Z pada 4 April 2008, Beyonce dilahirkan di Houston, Texas dan mempunyai seorang adik, Solange yang juga merupakan seorang penyanyi.
Mendapat penghormatan untuk membuat persembahan pada majlis tarian Presiden Amerika Syarikat ke-44, Barack Obama di Washington, DC pada 20 Januari lalu, Beyonce menyampaikan lagu Etta James, At Last.
Persembahan dia telah mengharukan Obama serta isterinya, Michelle sehingga mereka mengalirkan air mata bersama Beyonce. Ingin ketahui lebih lanjut mengenai album solo ketiga Beyonce, ikuti petikan temu bual yang disediakan oleh Sony BMG Malaysia.
Album terbaru anda mendedahkan sisi berlainan dari segi personaliti, perwatakan dan kepekaan. Perkembangan ini menampakkan keseimbangan yin dan yang dalam nilai kesenian anda. Ceritakan sedikit mengenai I Am ...Sasha Fierce.
BEYONCE: Semasa saya memulakan album ini, saya tahu saya perlu berkembang dari segi kesenian hiburan. Walaupun saya amat berjaya dan bertuah selama ini, saya masih mahu mencabar diri dan kekal gementar serta bimbang terhadap semua benda. Ini yang membuatkan karier saya lebih mengujakan.
|
|
Cakera padat (CD) pertama dirakam dengan judul I Am, menghadiahkan peminat seleksi lagu balada. Manakala dalam CD kedua berjudul Sahsa Fierce pula memaparkan lagu tempo rancak berunsur tarian. Mengapa memilih untuk menyampaikan dua sisi berbeza Beyonce dalam album terbaru anda?
Saya selalu berpendapat diri saya mempunyai dua sisi perwatakan berbeza. Sasha Fierce ialah diri yang bertentangan dengan saya. Semasa menyanyi dan membuat persembahan di atas pentas, Sasha Fierce dibawa bersama untuk melindungi saya.
Itulah sebabnya mengapa separuh daripada album ini, I Am adalah mengenai siapa diri sebenar saya tanpa solekan, tidak berada di atas pentas dan berjauhan daripada status selebriti.
Namun, Sasha Fierce lebih menyeronokkan, agresif, menonjol dan glamor yang hanya keluar semasa saya bekerja dan berada di pentas. Album dua CD ini memberikan saya lebih risiko untuk menonjol dan mendalami diri sendiri serta mendedahkan sisi lain Beyonce.
|
|
Untuk koleksi lagu dalam CD I Am, anda berkolaborasi dengan penulis lirik dan penerbit yang anda jarang bekerjasama seperti Toby Gad untuk lagu If I Were A Boy dan penulis lagu United Kingdom, Amanda Ghost dalam lagu Disappear, Satellites dan Ave Maria. Mengapa memilih mereka?
Apabila saya tahu beberapa perkara yang ingin saya katakan tidak dapat disampaikan, saya akan mendapat khidmat penulis lain. Melihat daripada sudut lirik, ini adalah album terbaik yang pernah saya rakamkan. Jika sebuah lagu tidak menyampaikan mesej atau tidak membawa sebarang maksud kepada saya, saya tidak akan memasukkan dalam album saya.
Single pertama dari CD I Am, If I Were a Boy amat berbeza daripada lagu balada anda sebelum ini.
Ia bukan lagu R&B tradisional. Sebenarnya ia amat sukar untuk menawarkan benda baru dan berkembang kerana orang ramai mempunyai harapan tinggi. Ketika ini, saya mahukan orang ramai mendengar lagu dengan lirik yang kukuh.
Saya suka menyampaikan lagu balada kerana saya dapat rasakan muzik dan emosi di sebalik ceritanya tanpa sebarang gangguan. Saya memang mahukan orang ramai mendengar suara dan apa yang ingin saya katakan.
Majalah Entertainment Weekly menggambarkan lagu Single Ladies (Put A Ring On It) sebuah lagu hibrid rancak yang membuatkan pendengar akan mahu berdiri dan menari. Ceritakan sedikit mengenai lagu ini.
Lagu ini menceritakan kisah seorang wanita yang sudah bersama seorang lelaki terlalu lama. Namun, wanita ini membuat keputusan untuk meninggalkan lelaki itu dan membiarkan dia sengsara kerana dia patut berkahwin dengannya.
Seperti dalam hidup, saya rasa keyakinan itu penting. Jadi saya mahu menyeru wanita-wanita di luar sana untuk lebih berkeyakinan dan hidup bergembira walaupun keseorangan.
Ada sebuah lagu yang menarik berjudul Radio dalam CD Sasha Fierce. Bagaimana mendapat idea untuk lagu ini?
Lagu ini secara asasnya bercerita mengenai zaman kanak-kanak saya. Anda mungkin berasa seronok mendengar lagu ini. Tetapi jika anda mendengar liriknya, ia adalah proses pembesaran saya. Semasa muda, saya tidak berpeluang untuk berparti dan tidak melakukan banyak perkara yang biasa dilakukan oleh remaja lain kerana saya terlalu cintakan radio dan muzik.
Saya terlalu sukakan radio dan ibu bapa saya gembira kerana saya meminati sesuatu yang positif. Mungkin lagu ini dibikin dengan rancak tetapi saya masih ingin menyampaikan mesej. Sasha Fierce adalah gabungan lagu-lagu sebegitu.
Anda baru sahaja terlibat dalam filem profil tinggi dengan memegang watak penyanyi legenda, Etta James dalam filem Cadillac Records. Ceritakan sedikit mengenai watak anda serta pengalaman anda menjadi penyanyi legenda R&B.
Menjadi Etta James di layar lebar adalah satu cabaran emosi bagi saya kerana Etta berdepan dan mengharungi pelbagai cabaran dalam hidupnya - sesuatu benda yang saya tidak pernah melaluinya. Saya perlu menggali secara mendalam supaya dapat memberikan persembahan terbaik yang mampu mencerminkan Etta sebaiknya.
Satu perkara yang 'dia' mengajar saya adalah keberanian. Dia amat berani dan tidak mahu mengubah hidupnya untuk sesiapa. Jika bukan kerana lagunya dimainkan di corong radio (dia merupakan wanita Afrika-Amerika pertama diberi peluang), saya rasa saya tidak akan mempunyai peluang seperti sekarang. Watak ini adalah yang terbaik pernah saya jayakan setakat ini. Ia memberikan saya kekuatan dan keyakinan untuk keluar daripada zon selesa.
sesunggunya beyonce mmng cantik ..........
ReplyDelete