BINTANG baru ini memang sudah lama meletak sasaran untuk melangkah ke layar perak sebelum tahun 2008 melabuhkan tirainya. Ternyata hasrat tersebut berjaya juga dicapai oleh Mimi Rahzia atau lebih mesra dengan panggilan Mimi ini apabila dia ditawarkan memegang watak Puteri Mawar Putih di dalam filem sulung terbitan komposer tersohor, Adnan Abu Hassan berjudul Bunian: Mahkota Seri Helang.
Bukan calang-calang karektor yang dibawanya ini. Menjadi antara tunggak utama di dalam filem yang turut akan dijayakan oleh dua pelakon hebat, Rusdi Ramli dan Nasha Aziz, Mimi akui perasaan gementar itu tidak dapat ditangkis di dalam dirinya.
Bagi pelakon berasal dari Brunei ini, jika silap percaturan dan gagal menampilkan lakonan yang memberangsangkan, filem tersebut juga mungkin akan menyaksikan 'berkuburnya' karier seni yang mula disemai oleh Mimi kira-kira dua tahun yang lalu.
"Saya memang berharap sangat agar diberi peluang muncul di layar perak. Alhamdulillah, setelah ditawarkan membintangi filem Momok The Movie arahan M.Jamil, sekali lagi saya ditawarkan menjayakan filem Bunian ini.
"Cuma kali ini cabarannya tentu berbeza kerana saya memegang watak utama dan karektornya lebih berat. Di dalam Momok The Movie yang akan memulakan penggambaran awal Februari ini, saya hanya sebagai watak pembantu.
"Sudah pasti perasaan teruja dan gementar memang saling bercampur-aduk dalam diri saya apatah lagi gandingan saya cukup hebat. Takut juga kalau lakonan saya dalam Bunian nanti tidak 'menjadi'. Walaupun sudah banyak drama yang saya berlakon, tetapi tidak sama dengan berlakon filem.
"Tetapi, saya harap pendedahan pertama saya di dalam Filem Momok nanti mampu memberikan saya sedikit persediaan untuk menjalani penggambaran filem Bunian kelak.
"Walaupun tidak banyak babak saya di dalam filem Momok itu, saya yakin sedikit sebanyak saya akan mengutip pengetahuan tentang layar perak dan boleh digunakan di dalam filem saya seterusnya itu," kata Mimi.
Bunian: Mahkota Seri Helang yang akan dibuat dalam bentuk trilogi seperti Lord of the Ring itu dijangka akan memulakan penggambaran pada akhir bulan depan.
Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan tentang Rosman (Rusdi) yang masuk ke dalam alam bunian setelah terjatuh ketika mendaki gunung. Dia dibantu oleh Puteri Manja Sakti (Nasha) dan dibawa ke perkampungan bunian.
Lama-kelamaan, terbit perasaan cinta di hati Rosman dan Puteri Manja Sakti, namun pada masa yang sama Rosman juga turut disukai oleh Puteri Mawar Putih (Mimi).
Pelbagai konflik timbul seterusnya apabila kampung bunian itu dilanda masalah serta keinginan Rosman yang ingin kembali ke alam nyata.
Mengulas tentang tawaran membintangi filem yang menelan belanja kira-kira RM3 juta itu, kata Mimi, dia sudah mengetahui tentang idea penghasilan filem itu daripada Adnan sebelum berkecimpung di dalam bidang lakonan lagi.
"Sudah lama sebenarnya saya kenal dengan Adnan. Saya ada menyertai kelas vokal yang dia anjurkan kira-kira lima tahun yang lalu. Sewaktu itu, saya masih belum menceburi bidang seni.
"Saya sudah mengetahui sinopsis cerita ini dari Adnan sendiri sebab dia ada bercerita tentang ideanya untuk buat filem seperti ini. Tetapi tidaklah pula dia berhasrat untuk ambil saya berlakon ketika itu.
"Selepas saya mula melangkah di dalam bidang lakonan ini, dia sering mengikuti perkembangan saya dan pernah datang menyaksikan pementasan teater Lorong Blues arahan Fauziah Nawi yang saya jayakan.
"Dari situ mungkin dia nampak bakat saya dan dia beritahu akan cadangkan nama saya kepada pengarah filem Bunian ini, Jantan, dan setelah menyerahkan video 'casting', akhirnya saya dipilih untuk watak Puteri Mawar Putih itu," tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perakaunan, Universiti Teknologi Sydney-Kolej Taylors ini.
Tambahnya lagi, ketika ini dia banyak berbincang dengan mentornya, Fauziah Nawi untuk menganalisa watak tersebut.
"Saya bertuah kerana sentiasa mendapat bimbingan ibu Fauziah. Dia banyak mengajar selok-belok dunia lakonan. Setakat ini, saya cuba belajar menghayati karektor tersebut dengan baik," kata pelakon berusia 30 tahun ini.
Ditanya sama ada dia akan turut melangkah ke bidang nyanyian pula setelah mengikuti kelas vokal tersebut, sambil ketawa Mimi menjawab:
"Tak adalah. saya masuk kelas tu pun hanya selama enam bulan saja dan saya akui, saya memang tidak pandai menyanyi. Perkara ini diakui oleh Adnan sendiri.
"Sejujurnya, saya masuk kelas vokal tersebut sebagai satu cara untuk meningkatkan tahap keyakinan diri saya dan cuba mencari peluang dari situ untuk menceburi bidang seni," ujar anak kedua daripada enam beradik ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: