"Bila saya diam tidak ada cerita atau gosip, orang kata saya tidak laku, hilang dan bermacam lagi, sedangkan saya ada, masih sibuk ke hulu-hilir penuhi undangan nyanyian" – FARAH
AURA penyanyi Farah Diana Anuar atau mesra disapa Farah semakin lama semakin tenggelam dek kemunculan ramai bakat baru.
Malah, dirinya yang sepi daripada sebarang publisiti juga antara punca dunia hiburan terlupa tentang kewujudan gadis yang satu ini.
Tidak berkecil hati, apatah lagi merajuk saat dikatakan dirinya tidak laku, Farah hanya mengangguk, mengiyakan dirinya yang sepi publisiti.
"Saya sedar kurangnya publisiti tetapi bukan tidak laku. Saya masih lagi sibuk dengan aktiviti seni. Setiap hari pun bekerja, mungkin tidak ada gosip dan sebab itu orang ingat saya hilang," katanya ramah dalam ketawa.
Hari ini dia bukan saja bergelar seorang penyanyi tetapi juga pelakon, pengacara dan duta produk. Bak kata orang, rezekinya masih 'lebat'.
Terlibat sebagai pengacara program berunsur Islamik dalam program Rasa Halal Orient di Astro Oasis, pelakon utama drama rantaian Akademi, telemovie Popular dan duta produk Syahirah, Intimate serta Power Root menjadi bukti dirinya masih laku.
"Masih ada lagi tawaran untuk saya, kebanyakan persembahan nyanyian untuk majlis peribadi dan makan malam, itu yang menyebabkan saya kurang muncul dalam akhbar dan majalah.
"Kalau ada pun seperti hari ini pelancaran produk baru Syahirah, kalau tidak, semua aktiviti seni saya tidak melibatkan liputan wartawan, itu yang macam hilang sekejap," katanya.
Tambahnya lagi, dia bukan melarikan diri atau bersembunyi, tetapi kerana tidak ada cerita baru tentang dirinya untuk dikongsi bersama peminat, dan pada fikirannya lebih baik berdiam diri.
"Bila saya diam tidak ada cerita atau gosip, orang kata saya tidak laku, hilang dan bermacam lagi, sedangkan saya ada, masih sibuk ke hulu-hilir penuhi undangan nyanyian," tuturnya.
Jiwa baru Farah!
Meskipun dikenali sebagai penyanyi, Farah mengakui dia kini semakin jatuh cinta dengan dunia lakonan dan pengacaraan, malah, tidak teragak-agak untuk mengembangkan lagi bakat yang ada dalam diri.
"Saya jenis tidak memilih kerja, lakonan dan pengacaraan salah satu kerja seni juga, jadi saya tidak kisah. Asalkan ia rezeki halal yang mampu dilaksanakan, saya akan ambil.
"Sebenarnya lakonan dan pengacaraan, pada mulanya hanya suka-suka saja. Tetapi bila tengok peminat suka dan rating program pun semakin meningkat, saya pun semakin seriuslah," ulasnya.
|
|
Bagaimanapun tegas anak ketiga daripada enam beradik ini, kerjaya nyanyian tetap diutamakan sementelah, dunia nyanyian menjadi cinta nombor satu.
Tegas Farah yang telah menginjak ke usia 24 tahun tanggal 25 Januari lalu, menyifatkan tahun 2009 tahun yang amat penting buat dirinya.
Ini kerana, penantiannya selama tiga tahun telah berakhir apabila album keduanya berjudul Fantasia telah pun berada di pasaran.
"Ini kira hadiah terbesar buat saya kepada peminat sebab sudah tiga tahun selepas album Antara Dua. Saya sudah bersedia dan akan kembali menarik perhatian peminat yang sudah lupa pada saya.
"Semahunya, saya akan menerjah ke seluruh pelosok negeri untuk mempromosikan album terbaru ini sebaik mungkin, lagipun sudah terlalu lama tidak berjumpa peminat, itu azam saya sempena hari lahir ke-24," katanya jujur.
Jelasnya, album kedua yang mengandungi lapan buah lagu ini memakan masa yang terlalu lama kerana pihak Maestro ingin yang terbaik, memandangkan pasaran album tempatan masih lembap.
"Selain sibuk dengan aktiviti lain, album ini lambat kerana pihak Maestro lebih fokus, jika tidak puas hati, kami akan rakam balik setiap lagu, itu yang lambat.
"Apa pun, saya berpuas hati dengan hasilnya kerana saya suka kesemua lagu dalam album yang boleh dikatakan lebih menepati selera saya dan diberi pula peluang untuk mencorakkan sendiri album ini,"bicaranya lagi.
Sungguhpun begitu, konsep albumnya masih sama iaitu pop, dan melihat kepada senarai nama komposer yang terlibat seperti Aidit Alfian, Ajai, Edrie Hashim dan Alem (The Times) ada harapan untuk album keduanya ini meraih perhatian khalayak.
"Saya diberi peluang oleh Maestro untuk memilih komposer yang diingini dan pertama kali bekerja dengan mereka semua saya rasa seronok, kerana semuanya memiliki nama besar dalam industri.
"Memang berlainan untuk album kedua ini. Album pertama, saya lebih banyak mengikut saja kata orang kerana tiada pengalaman, jadi untuk album baru saya bebas sedikit," luahnya yang mengharapkan kejayaan untuk album baru.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: