Wednesday, January 28, 2009

Modread tak sangka menang


KEJAYAAN kumpulan dari Johor Bahru, Modread muncul juara program pencarian superband Malaysia, Hot FM Twisties Bingit menyerlahkan bakat remaja kini.

Biarpun tanpa persiapan teratur selain baru dikumpulkan bersama November lalu, kumpulan berbakat yang dianggotai vokalis, Muhammad Fahmi Ikhwan (Fahmi), Shahfiq Shahrudin (Shafiq/gitar), Sukri Salleh (Sukri/ bass) dan Adzeem Hairani Ali Omar (Adzeem/dram) berjaya membuktikan kebolehan mereka, sekali gus mengatasi cabaran peserta lain.

Kumpulan yang menyampaikan lagu dipopularkan Wings, Ameringo dan Revolusi (ciptaan sendiri) membawa pulang wang tunai RM20,000 serta kontrak syarikat rakaman daripada Monkey Bone. Pentas akhir membabitkan enam kumpulan ini turut membawa tuah kepada Modread apabila menang kategori kumpulan yang menggunakan elemen Twisties dengan baik dengan hadiah RM400.

Adzeem berkata, mereka sendiri tidak begitu yakin dapat memenangi saingan itu memandangkan saingan daripada peserta lain tidak kurang hebatnya. Malah, dia bersyukur walaupun baru dibentuk, kumpulan itu berjaya mewujudkan keserasian antara satu sama lain.

"Keyakinan untuk memenangi pertandingan ini langsung tidak ada kerana sedar kami berdepan saingan hebat daripada peserta yang mengambil bahagian. Kami sendiri tidak percaya dapat menubuhkan kumpulan, beraksi di pentas seterusnya memenangi pertandingan ini.

"Apapun kami sentiasa meletakkan sasaran mempamerkan persembahan terbaik pada setiap konsert persembahan," katanya.

Mengenai perancangan selepas memperoleh wang tunai yang dimenangi serta habuan bersama syarikat rakaman Monkey Bone, masing-masing sudah mempunyai perancangan tersendiri.

Setakat ini, Adzeem dan Fahmi sudah menetap di Kuala Lumpur manakala Sukri dan Shafiq yang bekerja di kedai muzik di selatan itu masih mempertimbangkan kemungkinan berhijrah ke ibu kota jika segalanya berjalan lancar.

"Masing-masing mempunyai minat dengan genre muzik yang berlainan. Saya meminati Metal dan rock moden manakala Shafiq (raggae), Sukri (blues) dan Adzeem meminati irama jazz.

"Begitupun, minat masing-masing tidak menjadi masalah yang penting bekerjasama dan tolak ansur. Selain tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing.



"Kami mempunyai minat masing-masing dalam muzik. Kami juga tidak pernah berputus asa untuk cuba menampilkan pelbagai elemen muzik dalam persembahan. Dari sana juga terbentuklah kombinasi Modread.



"Mengenai wang yang dimenangi pula, kami merancang untuk mengagihkan wang berkenaan sebanyak RM4,000 seorang manakala selebihnya diperuntukkan untuk keperluan band pada masa akan datang," ujar Fahmi.

Naib johan bagi pertandingan itu menjadi milik Pardon Me yang menyampaikan lagu Aku, Dia dan Kamu, Kiss (Jewel) dan Tercipta (lagu sendiri).

Kumpulan yang turut memenangi Anugerah Demo Terbaik, dianggotai Nur Shazwana Ahmad (vokalis), Wan Muhammad Syamimi (bass), Norhafiz Ismail (dram) dan Daniel Oh Abdullah @ Alfred Oh (gitar) membawa pulang wang tunai RM8,000.

Sementara empat kumpulan yang beraksi di final iaitu Hunterz, Mystery Call, Sodo dan Rockstar turut membawa pulang RM2,000 sebagai hadiah sagu hati. Hadiah disampaikan Ketua Pengarah Kraf Malaysia, Dieter Schulz dan Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul.

Persembahan peserta dinilai 50 peratus menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan selebihnya oleh juri profesional antaranya Edrie Hashim, Tony (Spider), pemain gitar dan komposer Taja (Meet Uncle Hussein), Pengurus Label Monkey Bone, Edris Adrian selain Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio Media Prima, Ahmad Izham Omar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: