Friday, January 30, 2009

‘Saya tetap bertudung’ Sheila Rusly


TAMPIL dengan imej bertudung bukan penghalang buat pelakon Sheila Rusly untuk memainkan watak antagonis dalam drama bersiri terbarunya, Anak Betong yang juga terbitan produksinya sendiri, JS Pictures Sdn Bhd.

Malah, kata Sheila, watak Malika yang juga bomoh dan pengamal ilmu hitam dalam drama 20 episod itu watak jahat pertamanya sejak kembali menunaikan fardu haji tahun lalu.

“Sekalipun bertudung saya tidak ingin sia-siakan bakat anugerah Allah ini. Saya akan mencecah usia 38 tahun dan sebagai pelakon berpengalaman dalam industri seni sudah pasti saya inginkan watak mencabar dan ada kelainan. Tetapi saya tidak akan membuka tudung semata-mata untuk berlakon.

“Sebenarnya bukan saya tidak mahu berlakon dalam prouduksi lain, tetapi dengan imej bertudung ini menyukarkan pengarah untuk menawarkan watak sesuai. Saya tidak mahu sekadar diberikan watak emak dan Datin saja kerana saya boleh buat lebih baik daripada itu.

“Justeru, lebih mudah untuk saya berlakon dalam produksi sendiri kerana sebagai penerbit, saya boleh pilih watak bersesuaian imej sekarang,” katanya.

Katanya, dia juga berhadapan cabaran untuk menjiwai watak Malika dalam drama itu.

“Antara cabaran ketika disolek ialah menampakkan kesan khas mengerikan pada di wajah Malika.

“Saya berasa letih sehingga tertidur kerana proses solekan kesan khas itu mengambil masa tiga jam.

“Saya juga perlu pastikan rambut tidak nampak apabila bergerak. Baju dan tudung labuh yang dipakai juga menyukarkan saya untuk buat babak lasak dalam cerita ini. Apapun, ia berjaya diatasi dan saya tetap berusaha memberikan lakonan terbaik buat peminat,” katanya.

Sheila ditemui pada sesi ramah mesra slot Lagenda Anak Betong di Restoran & Cafe Felda Villa, Jalan Maktab off Jalan Semarak di ibu kota, baru-baru ini.



Hadir sama, pengarah drama itu yang juga suaminya, Azman Yahya atau Jinggo dan penulis skrip Nazli Jaafar atau Che Li.



Jinggo berkata, idea untuk buat drama bersiri Anak Betong itu dicadangkan pihak TV3 untuk dimuatkan dalam slot Lagenda stesen itu.

“Roh cerita Anak Betong ini mempunyai persamaan dengan cerita asalnya, filem klasik Anak Buluh Betong di mana Anak Betong dalam cerita ini adalah anak angkat yang ditemui di rumpun buluh dan derhaka kepada bapa angkatnya.

“Olahan dan nafas baru diberikan bagi menguatkan jalan cerita yang turut diselitkan sedikit elemen seram. Babak ngeri dan ganas dikurangkan, tetapi tidak menjejaskan jalan ceritanya.

“Cerita ini bukan untuk mengajar orang mengenai ilmu sihir atau hitam. Pihak kami juga menyelitkan elemen komedi untuk menarik penonton kanak-kanak,” katanya.

Selain Sheila, siri ini turut dibintangi Fizz Fairuz (Jagat), Ezany (Zaman), Hairee Othman (Hasan), Wan Nor Azlin (Salmah), Normah Damanhuri, Maya Matahari (Naya), Abon, Haiza, Linda Hashim dan Bagio.

Anak Betong menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang di TV3 dan jam 8.30 malam di TV9 menerusi slot Lagenda bermula 27 Januari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: