SLIM RIVER: Musim hujan yang tidak menentu kebelakangan ini sama sekali tidak membataskan aktiviti kaki pancing Taman Beringin, Kepong.
Kalau sebelum ini laut sering menjadi lokasi pilihan, kini mereka beralih ke sungai dengan menjadikan baung sebagai sasaran.
Bagi Amir Beringin, Mat Segambut dan penulis sudah pasti anak sungai di Slim River, menjadi tumpuan kerana didakwa banyak terdapat ikan bermisai yang enak jika dimasak lemak cili padi itu.
Jadi, tidak hairan perjalanan dari ibu kota ke sini yang memakan masa dua setengah jam dianggap ‘alah bisa tegal biasa’. Lebih-lebih lagi, cerita rakan pemancing yang pernah ke sini dan membawa pulang hasil lumayan cukup untuk membakar semangat kami untuk memburunya.
Menjejaki baung liar tidak mudah seperti disangkakan. Kami terpaksa meredah semak samun di tepi sungai dan paling mencabar mencari lubuk sesuai. Sudah pasti di mana terdapat batang kayu tenggelam di sungai, reba pokok dan naungan rimbunan pokok menjadi pilihan baung berkampung.
Begitu juga umpan ciptaan sendiri berasaskan organ haiwan dicampur sedikit bahan masakan dari dapur pastinya memikat sang misai. Walaupun baunya amat meloyakan bagi sesetengah pemancing namun ia umpan terbaik untuk memperdaya baung.
Jika tiada berpengalaman memancing baung, pasti akan pulang dengan tangan kosong. Anda perlu mengetahui habitat selain masuk umpan, masa dan waktu paling sesuai untuk memburunya. Bagi baung Slim River lewat malam adalah paling sesuai untuk memancing. Anda juga dinasihatkan tidak membuat bising kerana ia amat sensitif.
Nyata usaha kami yang terpaksa meredah perjalanan jauh tidak sia-sia kerana lebih daripada 10 ekor baung Lubuk Bisul menyerah diri.
Bermula jam lapan malam hingga 12 tengah malam, satu demi satu umpan pada joran kami diragut baung. Amir paling bertuah kerana baung seberat 2 kilogram yang diperoleh jam 8 malam adalah tangkapan terberat dalam misi kali ini Yang lain purata 1.2 hingga 1.7 kilogram seekor.
“Woi! Aku dah dapat... kalau macam ni, lumayan tangkapan kita,” kata Amir kepada penulis yang masih sibuk mencari kedudukan yang sesuai.
“Bertuahlah... awal-awal lagi sudah dapat lesen,” kata Mat Segambut sambil mengikat mata kail.
“Mujarab juga umpan kita ni... aku ingat baung hanya suka umpan tapa, organ haiwan campur belacan pun dia bedal. Ini sudah kira bagus,” sampuk penulis.
Apabila memancing baung, anda perlu berhati-hati dan mengawasi keadaan sekeliling, terutama tebing sungai kerana kebiasaannya menjadi sarang ular sawa ataupun tedung. Jangan terlalu khayal memancing tanpa memikirkan keselamatan diri apatah lagi dalam keadaan gelap.
Semakin malam berlabuh satu-persatu kami mendaratkan ikan baung dan jam 2 pagi ia kembali sunyi.
Tip memancing baung, selepas 10 minit anda memancing di satu lubuk dan tiada tindak balas, eloklah berpindah. Kebiasaan dalam tempoh itu baung pasti menyambar umpan dan ia datang berkumpulan.
Sepanjang enam jam memancing di Lubuk Bisul, masing-masing memperoleh lima atau enam ekor baung antara 1.2 hingga 2 kilogram. Ini cukup memuaskan hati.
Friday, January 30, 2009
Baung Lubuk Bisul hidu belacan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
fuhhhh.... mengancam...!!! nak join leh..
ReplyDelete