Peluang untuk memiliki barangan peribadi Ramli MS di Karnival Amal ABPBH2008 Untuk Gaza di Amcorp Mall, hari ini
MENGHARGAI sesebuah jenama dan label mewah rekaan antarabangsa ibarat satu pelaburan yang berharga yang tidak boleh dibandingkan dengan nilai barangan itu dan hal ini ditafsirkan sendiri pemuzik terkenal, Ramli MS.
Lalu, tidak hairanlah bekas pengetua Akademi Fantasia ini sanggup mengeluarkan ribuan ringgit untuk membeli helaian 'persalinan' yang membaluti tubuh badannya.
Faktor harga bukan satu persoalan yang perlu ditimbulkan apatah lagi dianggap membanggakan diri atau bersikap bongkak apabila dikatakan cuba menunjuk-menunjuk di mata orang sekiranya berkemampuan membeli jenama mewah.
Pandangan skeptikal ini sering wujud dan melambangkan kelas eksklusif seseorang individu. Bagi Ramli, masing-masing mempunyai pandangan sendiri dan katanya lagi, jenama mewah bukan satu kepuasan untuk dirinya.
Malah, duda dua anak ini, cukup mementingkan kesempurnaan dengan meletakkan dirinya sebagai manusia yang mahu menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
"Saya belajar dengan meletakkan diri saya ke arah terbaik demi kerjaya dan tabiat diri saya sebagai manusia. Apabila kita melihat apa juga benda yang cukup sempurna dan melengkapi konteks kerja, kehidupan harian dan peribadi, jenama mewah bukan semata-mata soal duit atau menunjuk-nunjuk, sebaliknya ia satu cara kita menghargai sesuatu termasuk diri kita yang penat bekerja.
"Sebagai contoh dalam tugasan saya sebagai pemuzik, saya ingin bekerja di kalangan pemuzik yang terbaik. Sebagaimana saya menghargai material dan kandungan sesebuah jenama, demikian juga halnya saya menghargai kerjaya dan persekitaran kerja. Kita juga ada hak untuk berada dalam keadaan yang terbaik, memakai produk yang berkualiti dan ia ibarat satu penjenamaan serta keyakinan diri apabila berada di khalayak ramai," katanya di awal bicara sambil memberitahu dirinya sangat merendah diri.
Bertemu Ramli Khamis lalu di 'kediaman' unik miliknya, Ramli bersedia dan membenarkan Hip untuk merakamkan gambar koleksi barangan mewah yang bakal dilelong hari ini di karnival jualan dan lelongan amal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 Untuk Gaza bertempat di Amcorp Mall, Petaling Jaya.
Ramli antara selebriti yang terbabit menyahut usaha yang dikelolakan akhbar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) mewujudkan Tabung NSTP Untuk Gaza. Insya-Allah, Ramli akan mula berada di tingkat tiga bangunan itu sekitar jam 1 tengah hari, bagaimanapun pun karnival bermula seawal jam 10 pagi hingga 6 petang.
Sebanyak 12 koleksi miliknya iaitu jaket, kemeja, seluar jeans, semburan pewangi badan, tali pinggang dan tali leher akan dilelong dengan harga yang cukup istimewa dan munasabah.
Jika ada yang ingin memiliki sepasang sut jenama Hugo Boss yang hanya dipakainya selama tiga jam sewaktu Anugerah Era berlangsung beberapa tahun lalu dan dibeli dengan harga mencecah empat angka tetapi akan dibida dengan harga permulaan dari RM500 hingga ke RM600. Kebanyakan koleksinya ini dibeli di Paris dan London. Ada antaranya koleksi yang dibelinya sejak 20 tahun lalu, malah ada yang hanya dipakai sekali saja.
Menurut Ramli, 100 peratus keuntungan lelongan akan disalurkan ke tabung terbabit. Malah apabila melihat sambutan deretan nama selebriti yang menyatakan persetujuan untuk turut terbabit di dalam karnival ini, Ramli meluahkan rasa gembira dan bersedia untuk memberi sokongan.
"Apa yang dianjurkan NSTP ini satu perkara yang bagus dan pembabitan artis menunjukkan kepekaan dan keprihatinan selebriti tempatan terhadap kemelut kemanusiaan yang melanda rakyat Palestin. Kita sama-sama akan membuat kebajikan (hari ini). Kalau nak menderma sekalipun biarlah setulus hati dan tidak terbit langsung kekesalan untuk saya 'mengorbankan' barangan ini semua. Lagipun, ia untuk tujuan baik dan tidak salah saya melelong barang yang masih elok untuk dipakai," katanya serius.
Info menarik Ramli MS terhadap barangan mewah yang sering dibelinya
- Selesa memilih barangan yang tidak terlalu menonjol
- Paling penting, dia tidak suka membeli pakaian yang menunjukkan logo sesebuah jenama yang jelas kelihatan di pandangan mata.
- Mengenai harga, dia memilih barangan yang tidak terlalu melampau harganya di samping menitik beratkan material yang ada dan berbaloi untuk dibeli.
Barangan lelongan Ramli MS
- Kemeja berkolar Hugo Boss dan kemeja T berlengan panjang, Armand Basi dilelong pada harga permulaan RM150.
- Dua pasang jeans jenama Paul Smith dan Aigner akan dilelong pada harga permulaan RM450 setiap satu.
- Jaket Christian Dior dan Zegna, kedua-duanya dibida dengan harga permulaan RM350 dan bersaiz 50
- Sepasang sut denim Hugo Boss dilelong pada harga permulaan sekitar RM500 hingga ke RM600
- Set pewangi Estee Lauder dan Clinique masing-masing dijual pada harga RM150
- Tali pinggang Prada dan Gucci boleh dengan harga bidaan RM550 dan bersaiz 85
- Tali leher Hermes pula dilelong pada harga permulaan RM400
Menarik ABPBH 2008 Untuk Gaza
- Selain lelongan dan jualan amal, turut dilakukan sesi bergambar bersama artis dikenakan bayaran berpatutan dan persembahan artis popular. Setiap bayaran dimasukkan terus ke Tabung NSTP Untuk Gaza.
- Anita Sarawak melelong dan menjual pakaian yang pernah dipakainya sewaktu membuat persembahan pentas dan menghadiri acara hiburan.
- Pelakon Sherry Ibrahim menjual biskut dan setiap RM2 daripada jualan akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza.
- Chef Wan akan menjual buku masakan, kek, mi segera Cintan dan kari ayam di dalam tin, Ayamas
- Pasangan suami isteri, Erra Fazira dan Engku Emran masing-masing akan melelong beg kantung Christian Dior dan jaket denim Levis.
- Alyah akan menjual koleksi cenderahati yang akan dibelinya sewaktu bercuti.
- Dia Fadila pula melelong dua pasang kasut jenama Adidas dan Kickers serta tas tangan Guess dan kemeja United Benetton.
- Aznil Nawawi melelong satu baju yang pernah dipakai sewaktu Anugerah Skrin
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: