CHEF WAN bersama anaknya, Nazri teruja untuk menyertai program amal anjuran NSTP. |
Chef Wan dibantu Serina dan Nazri jual buku masakan, kek, mi segera di Amcorp Mall, Sabtu ini
TIGA beranak, chef popular, Chef Wan bersama dua anak kesayangannya, Serina Redzuawan dan Nazri sudah mengesahkan kehadiran ke acara amal ABPBH 2008 untuk Gaza pada 31 Januari ini Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya.
Majlis yang bertujuan mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza akan diadakan bermula jam 10 pagi hingga 6 petang, akan dimeriahkan dengan ramai selebriti yang akan melelong dan menjual barangan milik peribadi mereka, jualan kek, persembahan artis dan sesi bergambar.
Chef Wan yang dibantu Serina dan Nazri akan menjual buku masakan, kek, mi segera Cintan dan memberi sumbangan peribadi cek berjumlah RM5,000.
Menurut Chef Wan, dia akan melapangkan masa sepanjang hari majlis ini berlangsung. Bagi tukang masak yang juga bergelar pengacara dan pelakon ini, dia memuji usaha murni yang dianjurkan NSTP ini.
“Saya yakin apabila kita bersatu, apa saja yang kita ingin capai dan hajati akan berjaya. Begitu juga dengan apa yang diperjuangkan NSTP melalui tanggungjawab sosialnya menyediakan saluran untuk menderma kepada mangsa peperangan di Gaza. Dengan rezeki yang ada dan apa yang kita kecapi di sini, tak salah kita sama-sama mengingati saudara Islam lain apatah lagi dalam keadaan yang tidak mengizinkan.
SERINA turut hadir bagi memeriahkan ABPBH 2008 Untuk Gaza. |
“Insya-Allah saya akan menjual buku masakan saya dalam 150 hingga 200 naskhah dalam lingkungan harga sekitar RM20 ke RM60. Empat puluh peratus daripada hasil jualan buku ini akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza. Buku yang bakal dijual nanti adalah koleksi yang dikumpul sejak 24 tahun lalu. Selain itu, saya akan menjual pelbagai kek seperti kek lapis dan kek coklat dengan sepotong akan dijual pada harga yang istimewa.
“Syarikat Yeo Hiap Seng akan memperuntukkan 1000 bungkusan mi segera Cintan untuk dijual. Mungkin juga saya akan memasak mi itu untuk dirasa pengunjung yang akan memeriahkan majlis ini nanti. Jadi kepada peminat pastikan ajak semua ahli keluarga dan kawan untuk berhibur sambil beramal. Inilah peluang sesekali untuk mendekati selebriti kegemaran anda,” katanya penuh bersemangat sewaktu dihubungi Hip Selasa lalu.
Terbang ke Itali 2 Februari
BERCERITA lanjut mengenai perkembangannya, Chef Wan akan ‘terbang’ ke Itali pada 2 Februari ini untuk menjalani penggambaran program Emmm.. Sedapnya Bersama Ayamas bagi musim kelapan. Berbeza dengan musim terdahulu, pembikinan program kali ini akan menggunakan produksi luar.
Program masakan ini dilihat Chef Wan sebagai satu anjakan paradigma dalam usaha mengubah pandangan penonton yang mungkin sudah biasa disajikan dengan program masakan yang klise.
Sebelum itu, selama 48 hari, Chef Wan baru saja kembali dari negara Cina untuk menjalani penggambaran program yang diberi nama Talian Sutera (diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia). Program kembara itu membabitkan kerjasama Gourman TV Paris dan Chinafood Channel. Baru 20 episod selesai dirakam di Cina dan baki penggambaran sebanyak 40 episod lagi akan dilunaskan sepanjang tahun ini membabitkan serata negara hingga ke Timur Tengah.
“Program Emmm... Sedapnya Bersama Ayamas menggunakan khidmat pengarah dari New York, Angela Amar Rosso dan jurukamera dari Rome. Jika musim lalu, kita pernah ke negara Sri Lanka, Pakistan, Thailand dan Bali, tahun ini giliran Itali pula menyusul. Ia akan disiarkan pada tahun ini di TV3 dan saya berazam mahu menunjukkan sisi lain mengenai program masakan.
“Manakala program Talian Sutera difahamkan akan disiarkan di saluran Chinafood Februari ini. Ia adalah program masakan yang paling mahal pernah diterbit di dunia. Selain saya, dua Chef iaitu Chef Ian Cadaou dari Selatan Perancis dan Chef Woo (Beijing, China) akan terbabit sama. Ibaratnya kami bertiga ini umpama perwira yang mengembara serata negara untuk menjelajah mencari menu makanan istimewa,” katanya.
INFO: Aktiviti Chef Wan demi ABPBH 2008 Untuk Gaza
- Chef Wan akan menjual buku masakan yang dikumpulnya selama ini dan dijual pada harga serendah RM20 hingga RM60. Empat puluh peratus daripada keuntungan jualan akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza.
- Turut akan menjual kek dan mi Cintan kepada pengunjung yang hadir.
- Serina dan Nazri akan membantunya apa yang patut. Menurut Chef Wan, Serina akan hadir selepas selesai menjalani penggambaran drama yang dilakonkannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: