|
PERCUBAAN menampilkan lawak jenaka dengan sketsa kurang menjadi bagi Ahmad Faiz Ahmad Yisoff atau Talam sehingga diumumkan tersingkir daripada persaingan gelanggang Raja Lawak minggu keempat, Jumaat lalu. |
Persembahan dengan tema, alien dan sains fiksyen malam itu ternyata bukan menjadi milik Talam yang turut berada tiga kelompok terbawah dari segi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton bersama peserta wanita, Nuur Jihan Musa (Jihan) dan Rafizzan Yaacob (Yann).
Talam turut mendapat kritikan terhadap persembahan yang disifatkan tidak menghibur oleh juri profesional Zaibo, Fauziah Nawi dan Shamsul Ghau Ghau manakala pelakon dan pengarah, Adlin Aman Ramlie selaku juri undangan.
Menurut Zaibo, persembahan Talam tidak nampak seperti peserta Raja Lawak selain penampilannya lebih kepada pertunjukan fesyen memandangkan pakaian yang dipakai selain pengisian lawak jenaka yang kosong dan kelihatan terganggu dengan pakaian yang sedikit menghalang persembahan.
Bagi Adlin yang mempunyai pandangan sama menyifatkan persembahan Talam tidak menarik dan mengecewakan.
Sementara Shamsul pula memuji usaha Talam menampilkan persembahan terbaik.
Penyingkiran Talam diumumkan Fauziah Nawi yang menyifatkan persembahan peserta itu agak lemah.
Talam ketika ditemui berkata, persembahan sketsa jenaka yang dilakonkan buat pertama kali mungkin mempengaruhi kritikan juri, tetapi tiada kekesalan langsung dengan tindakan itu walaupun terkeluar daripada saingan berkenaan.
"Berbanding persembahan terdahulu ia pertama kali saya tampil dengan sketsa jenaka. Ternyata persembahan sketsa berkenaan tidak menjadi. Saya lebih selesa dan berkeyakinan dengan persembahan dalam bentuk percakapan. Begitupun, saya sedikitpun tidak menyesal dan sudah bersedia tersingkir.
"Selepas berada dalam kelompok tiga terbawah saya meletakkan sasaran untuk cuba menampilkan persembahan sketsa. Kalau tidak cuba tidak tahu. Saya tidak kecewa atau sedih kerana terkeluar. Sebaliknya saya sedih kerana teringat rakan-rakan dan kru penerbitan program ini yang cukup akrab dan ramah.
"Saya sendiri tidak menyangka dapat bertahan sehingga ke minggu keempat. Saya nampak sudah terlalu jauh bertahan memandangkan tiada asas dalam bidang seni. Kalau ikutkan sasaran sebenar saya juga tidak jauh. Dapat melepasi pusingan 25 daripada ribuan peserta yang hadir ke sesi uji bakat seterusnya 12 teratas serta bertahan sehingga minggu ini sudah cukup baik," katanya.
Mengulas perancangan selepas ini, Talam berkata dia merancang untuk mencari pekerjaan.
Sebelum menyertai sesi uji bakat dia meletakkan jawatan kerana mahu pulang ke kampung halaman di Sabah. Selepas itu, Talam mencuba nasib menyertai uji bakat yang berlangsung di Shah Alam.
"Saya seronok dapat bersama program ini. Gembira kerana dapat bersama rakan-rakan yang gila-gila dan ramah. Kami memang akrab dan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Rakan-rakan juga kerap memberi semangat ketika menjayakan persembahan," kata Talam yang pernah berkerja sebagai pengurus latihan di sebuah restoran di Hartamas di ibu kota.
Kini tinggal lapan lagi peserta yang bersaing iaitu Aman Shah Asri (Am), Mohammad Amirullah Azmi (Amir), Sutarmin Tukichan (Manbelon) selain peserta wanita, Yann dan Jihan.
Sementara peserta berkumpulan, Hazmeer Hassan dan Muhd Shaiful Bakri (Chot), Afzan Saffuan Ahmad dan Wasn Sharizon Rahim (LNJ), serta Shamira Muhamad, Mohd Nadzri Zainal Abidin dan Mohd Noor Murad (Sepah).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: