TIGA tahun menyepi selepas pemergian hostnya, Allahyarham Hani Mohsin kini program gameshow popular Roda Impian yang diadaptasi dari Wheel Of Fortunekembali menemui penonton.
Program yang mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Records sebagai gameshow paling lama bertahan di Malaysia ini akan mula menceriakan penonton setia TV3 mulai 16 Februari, setiap Isnin hingga Rabu jam 5.30 petang.
Lebih istimewa kali ini Roda Impian menampilkan gandingan pengacara baru, Maskiran Jakiran atau lebih dikenali sebagai Kieran dan Nor Fauziah Ghous (Fauziah Ghous).
Pastinya ia bakal memberikan suntikan segar kepada program yang diminati oleh semua kelompok masyarakat ini.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Jenama TV3, Sherina Nordin, penerbitan program bermutu seperti Roda Impian merupakan nadi kepada televisyen ini.
“Dengan adanya program gameshow Roda Impian di sebelah petang akan memperlengkapkan lagi konsep saluran TV3 yang mensasarkan kepada mass market.
“Di samping itu, usaha TV3 menerbitkan semula gameshow Roda Impian ini mengulangi kejayaan zaman kegemilangan Pop Kuiz dan Sempurnakan Harimu yang berjaya menambat hati sebilangan besar penonton,” kata Sherina.
Jelasnya, konsep Roda Impian yang mudah difahami kerana ianya pernah disiarkan dahulu dan merupakan gameshow paling popular ditayangkan di seluruh dunia mengikut versi negara masing-masing.
“Melalui program ini penonton bukan sahaja dapat berhibur melihat telatah peserta yang bertanding malah mereka dapat menguji kecerdasan minda dengan menyelesaikan teka kata yang diberikan.
“Roda Impian telah pun menjalani rakaman bermula pada 10 Januari yang lalu. Setiap minggu, ada tema yang berlainan akan ditampilkan seperti minggu selebriti, penyampai radio, personaliti TV3, Hari Ibu dan Anak, Hari Bapa dan Anak, Selebriti Kanak-kanak dan Ulang Tahun TV3 yang ke-25,” ujarnya.
Bagi penonton di rumah jangan lupa saksikan gelagat dan telatah artis kesayangan mereka menjadi peserta Roda Impian seperti Lydia Ibtisam, Kartina Aziz, Shamsul Ghau Ghau, Naz, Azhar Sulaiman, Zizan Nin, Maria Tunku Sabri, Farah Wahida, Awal Ashaari, Zed Zaidi dan ramai lagi.
Tambah Sherina, Roda Impian maih lagi mengekalkan format yang sama kerana ia sememangnya telah dilesenkan sedemikian.
“Kami tidak boleh membuat perubahan dari segi isi kandungan kerana ia memang telah dilesenkan sedemikian. Namun untuk menjadikannya lebih menarik kami memasukkan tema mingguan seperti hari Ibu, hari Bapa, selebriti dan lain-lain,” katanya.
Sementara itu, Kieran yang ditemui selepas sidang akhbar pelancaran Roda Impian musim terbaru di Filem Negara berkata dia agak takut ketika mula-mula mengacarakan rancangan tersebut.
“Bukan mudah sebernarnya menjadi pengacara gameshow, saya berdebar-debar nak tunggu reaksi penonton sebab ini program berbentuk serius yang pertama saya jadi host.
“Saya memang suka jadi pengacara tapi yang lebih utama reaksi peminat juga amat penting bagi saya,” ujarnya yang juga deejay di Hot FM.
Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah dari segi masa untuk melakukan rakaman untuk program Roda Impian kerana pihak TV3 telah bersetuju untuk mengikut kelapangan masa kerjanya.
“Alhamdulillah dari masa TV3 ikut kelapangan masa saya bekerja, walaupun penat buat dua kerja dalam satu masa saya tetap seronok,” ujarnya dalam nada ceria.
Bagi pelakon yang sedang meningkat naik, Fauziah Ghous ini ketika ditawarkan menjadi gadis pembuka kotak dia agak teragak-agak pada mulanya.
Namun semuanya berubah setelah dia mendapatkan nasihat daripada bekas gadis pembuka kotak Roda Impian musim sebelumnya, pelakon Siti Sharizah atau Eja.
“Kak Eja banyak nasihatkan saya supaya terima tawaran ini kerana di sini kita banyak akan belajar dan yang penting katanya poket 'mashyuk'. Pedulikan apa orang kata, yang penting kita diri sendiri seronok dengan apa yang dilakukan,” ujar Fauziah.
Pada setiap episod 3 peserta akan bertanding untuk menyelesaikan teka kata dan memenangi pelbagai hadiah menarik dan wang tunai yang tertera di roda.
Peserta yang berjaya menjuarai pusingan akhir bakal membawa pulang hadiah utama bernilai hampir RM100,000, kereta Suzuki Swift Sport 1.6 Auto. Roda Impian musim baru ini diterbitkan oleh produksi Juita Viden.
Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, papan teka kata yang digunakan untuk program Roda Impian sudah tidak lagi perlu dibuka kerana pada musim baru ini pihak penerbitan telah memilih papan teka kata yang bersifat ‘touch screen’.
Ia sekaligus memudahkan tugas gadis pembuka kotak yang digalas oleh pelakon Fauziah Ghous.
Pastinya para penonton sudah tidak sabar untuk melihat Kieran dan Fauziah Gohus digandingkan buat pertama kalinya mengendalikan Roda Impian 65 episod ini.
Uji ketangkasan minda anda dan berhibur dengan menonton Roda Impian setiap Isnin hingga Rabu, jam 5:30 petang di TV3!
MACAM MANE NAK JADI PESERTA RODA IMPIAN
ReplyDelete