Friday, January 30, 2009

Memburu gigi anjing di Burma Bank



RANONG (Thailand) - Kesempatan memancing di Burma Bank dalam perairan Myanmar baru-baru ini digunakan sepenuhnya untuk memburu tuna sirip kuning (yellow fin tuna) dan tuna gigi anjing (dogtooth tuna).

Walaupun hanya empat orang kaki jigging menyertai ekspedisi itu yang rata-ratanya kaki pancing dasar, kami tidak melepaskan peluang keemasan bertarung dengan spesies tuna yang ganas ini. Kami memang sudah menyediakan pelbagai jenis jig seberat 200 hingga 500 gram memandangkan lubuk di sini sesetengahnya mencapai kedalaman 200 hingga 300 meter.

Bagi lubuk yang dalam, kami terpaksa menggunakan jig seberat 500 gram supaya jig tidak tersasar dibawa arus. Lenguhnya tangan dan bahu hanya Allah saja yang tahu. Terpaksalah menunggu sehingga air tenang untuk melakukan jigging dengan lebih selesa. Ketika itu, jig 200 hingga 250 gram sudah memadai.

Bot mewah, Polaris One laju membelah ombak ke destinasi di terumbu karang Burma Bank. Pada hari pertama dan kedua, kami biarkan dulu kaki pancing dasar bergasak dengan ikan ruby snapper yang menghasilkan tangkapan berbakul-bakul. Kami terpaksa memendam seketika hasrat untuk jigging memandangkan penghuni lubuk yang terletak kira-kira 14 jam perjalanan itu memang sedang menggila dengan sentapan demi sentapan tanpa henti.

Masing-masing menggunakan kekili elektrik maka tiada masalah langsung menaikkan mangsa di bawah. Seekor demi seekor ruby snapper bersaiz belasan kilogram didaratkan.

Hari ketiga adalah detik yang ditunggu-tunggu oleh penulis dan kaki jigging lain. Di lubuk yang seterusnya itu kami berjaya menaikkan ikan gerepoh tetapi saiznya kurang mengancam. Di samping itu, kerapu bara dan kerapu pisang dinaikkan dengan aksi jigging menggunakan jig inchiku dan salty rubber .

Di sinilah penulis, Rustam, Fahiz dan Shafie berhempas pulas melakukan jigging memburu tuna sirip kuning. Kaki dasar yang melihat aksi kami juga turut serta akhirnya. Memang banyak tuna menghuni lubuk ini tetapi saiznya kurang memuaskan. Sedikit kecewa kerana kami gagal mendaratkan tuna gigi anjing bagak yang acap kali tekong Ekarat memperolehinya di lubuk idamannya ini.

Pada hari keempat, kami kembali memancing dasar. Kami terpaksa bertolak ansur supaya semua peserta ekspedisi dapat memancing. Lubuk seterusnya adalah lubuk kerapu hitam. Berpuluh kerapu hitam didaratkan sebelum kami bertolak pulang.

Waktu yang singkat untuk aktiviti jigging membuatkan kami sedikit kecewa. Walaupun gagal menaikkan tuna sirip kuning dan tuna gigi anjing yang bersaiz puluhan kilogram, kami tetap bersyukur kerana dapat bertarung dengan spesies idaman kaki jigging ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: