JUGA masih mengenai disiplin artis. Kali ini mengenai seorang artis wanita yang dulu namanya pernah memuncak tapi gara-gara sikap tidak profesionalnya, kerjayanya menjunam dan namanya hampir tenggelam.
Sangka Cik Normah selepas peristiwa itu berlaku, dia akan insaf. Memang betul dia berubah, tapi hanya seketika kerana sejak akhir-akhir ini Cik Normah dengar cerita dia sudah kembali besar kepala.
Pernah dulu dia buat hal dengan media, lalu puas dia ke sana-sini menjelaskan kedudukan sebenar supaya diberi peluang kedua. Tapi, apabila kesalahannya itu dimaafkan nyata dia tidak pernah serik.
Agaknya kalau sudah memang begitu dari awal, sukar untuk diubah biarpun bermacam ujian datang kepadanya. Kali ini dia buat hal ketika satu sesi fotografi.
Daripada mula masuk studio lagi, dia sudah buat hal. Diarahnya jurugambar bertugas supaya menukar saluran radio, konon hanya mendengar stesen radio Inggeris.
Tidak cukup itu dipasangnya suara radio besar-besar hingga bingit satu studio, sampaikan ada pihak terpaksa tegur kerana bimbang ia menimbulkan rasa kurang selesa kerana bukan hanya dia seorang berada di situ.
Siap lagi diperli wartawan yang bertugas, tak lama lagi keluarlah gosip mengenai dirinya. Sudah begitu kehendak dia, maka Cik Normah keluarkan juga cerita ini. Cik Normah harap dia tak melatah kerana bukankah ini permintaannya?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: