TALAM, peserta yang terkeluar pada minggu lepas dalam program Raja Lawak Musim ketiga dianggap telah membuat satu persembahan yang membazir.
Pengkritik jemputan Adlin Aman Ramlie yang juga memberi tugasan kepada semua peserta berkata, persembahan Talam membazir.
"Membazir...jahanam, dan macam-macam lagi saya boleh katakan pasal persembahan awak," jelas Adlin.
Semua peserta diberi tugasan tentang tajuk 'Alien' dan Talam telah menggunakan pakaian seperti penyanyi rocker Bandi dari kumpulan Amuk dengan rambut palsu berwarna silver dan bergincu putih.
Ketua juri Zaibo pula berkata, pakaian Talam langsung tidak membantu persembahan.
"Malah ianya menganggu perhatian saya terhadap persembahan awak. Satu persembahan yang hambar," jelas Zaibo.
Yang lebih menyedihkan, lawak yang dibuat oleh Talam langsung tidak mengundang hilai ketawa. Malah, seperti kata juri Fauziah Nawi, "ini adalah persembahan awak yang paling lemah."
Mungkin agak sadis bunyi komen ini, tapi selayaknya Talam terkeluar minggu lepas.
Sudah masuk minggu keempat, peserta-peserta yang tinggal masih lagi terkial-kial mencari idea dan tidak tahu memberi fokus kepada tema yang diberi. Ada yang buat lawak 'syok sendiri' seperti Man Belon, Am, Amir dan Chot.
Man Belon mengingatkan kita kepada pelawak tradisi dan badut,' kata Adlin. Memang tepat sekali. meskipun dia gagal membuat lawak, peserta bagaikan tercuit untuk ketawa walaupun jenakanya tidak menjadi.
Am pula seperti tersilap masuk program kerana bakat sebenarnya adalah sebagai pengulas sukan, DJ atau penari. Lawak yang dibawa Am juga tidak selucu mana. Peserta dari Kelantan, Amir yang berpakaian seperti peserta program 'Bolos' antara yang lemah. Keadaan fiziknya yang kecil dan latarbelakangnya sebagai penoreh getah tidak seharusnya memberi Amir 'advantage.'
Fauziah pula seakan emosi apabila saban minggu asyik mengulangi 'pujian' yang Amir comel dan 'ibu suka Amir.' Kalau begini cara hendak 'mendidik', rasanya Amir tidak akan dapat belajar apa-apa. Lagipun, komen 'positif' ini banyak membantu menaikkan rating Amir yang senantiasa berada di tangga atas.
Pencarian Raja Lawak musim ketiga bukan setakat mengisi kapasiti dan harapan juri saja. Persembahan Amir setakat lawak bodoh dan keanak-anakkan bak kata Adlin sepatah, macam lepas sekolah tadika.
Ia juga seperti memperbodoh-bodohkan peminat program Raja Lawak saja yang datang membawa harapan.
Adlin harus diberi pujian kerana beliau antara juri yang memberi komen dengan jujur dan tepat sekali. Beliau siap memberi komen apa yang baik dan buruk tentang persembahan setiap peserta.
Berlainan dengan dua juri tetap Fauziah Nawi dan Shamsul Ghau Ghau yang sering melontarkan komen yang bertentangan sehingga menimbulkan kekeliruan. Mungkin pada awal rancangan, ia seperti jenaka bunyinya tetapi sejak akhir-akhir ini ketara sekali peserta pun boleh keliru.
Bagi mereka yang ingin mendengar dan mengambil nasihat, komen dari Zaibo dan Adlin cukup baik dan tidak 'bias.'
Tapi bagi mereka yang masih 'terjerat' dengan kehebatan sendiri maka tiada ruang untuk memperbaikki kelemahan.
Persembahan dua peserta wanita, Jehan dan Yan juga tidak terlalu mengecewakan. Walaupun idea mereka tidak selucu mana, tapi setidak-tidaknya mereka berusaha. Tapi peminat di luar sana agak diskriminasi dan undi Yan dan Jehan saban minggu berada tercorot.
Pusingan yang berikutnya di minggu-minggu ke hadapan tidak menjanjikan apa-apa kerana semuanya masih kabur. Bakat yang secubit cuma masih tidak layak diagungkan sepertimana yang berlaku di musim lalu.
Antara semua peserta yang rata-rata lemah dan kurang idea, peserta berkumpulan 'Sepah' nampak jauh lebih baik prestasi mereka.
'Sepah' seperti membawa harapan pada Raja Lawak musim ini. Kalau prestasi peserta lain masih juga begitu, tidak mustahil 'Sepah' akan bertakhta sebagai Raja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: