Friday, January 30, 2009

'Temui kami esok'


SELEBRITI bersama Pengurus Besar Hotel Istana, Praba G Menon dan Pengurus Hotel Istana, Aamir Khan menunjukkan replika cek berjumlah RM5,000 yang disumbangkan kepada Tabung NSTP Untuk Gaza. Selain cek, hotel ini juga menaja 10 kek untuk dijual oleh selebriti.

Chef Wan dan beberapa artis remaja tidak sabar untuk sertai karnival amal ABPBH 2008 Untuk Gaza di Tingkat 3, Amcorp Mall

"TEMUI kami esok", demikian kata lapan selebriti yang bakal hadir memberikan sokongan padu demi kemanusiaan sejagat menerusi jualan amal dan lelong Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 Untuk Gaza.

Ia diadakan bagi tujuan amal mengumpul duit untuk disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP). Chef Wan, Sharifah Amani, Liyana Jasmay, Diana Danielle, Intan Ladyana, Fizo Omar, Kamal Adli dan Iqram Dinzly adalah antara lebih 70 selebriti popular yang sudah mengesahkan kehadiran untuk sama-sama terbabit dalam acara lelongan dan jualan amal, termasuk menjual kek yang ditaja hotel di sekitar Lembah Klang.

Berkesempatan bertemu mereka di Hotel Istana yang diaturkan publisis popular, Bill Bora, beberapa hari sebelum acara kemuncak esok di Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya, ternyata mereka begitu bersemangat dan teruja menunggu kehadiran pengunjung serta peminat masing-masing sekali gus memeriahkan perjalanan acara.

Malah hotel ini juga turut menyumbang cek berjumlah RM5,000 kepada tabung itu yang disampaikan oleh Pengurus Besarnya, Praba G Menon. Bukan itu saja, 10 biji kek juga disediakan chef hotel terbabit dengan pelbagai rasa untuk dijual selebriti tempatan dengan harga RM10 sepotong.

Gandingan mereka, ibarat sebuah keluarga besar yang mana Chef Wan boleh diumpamakan sebagai bapa yang sudah lama berpengalaman dikelilingi ‘anak-anaknya’ yang dianggap sebagai generasi pelapis. Sesibuk mana mereka dengan komitmen kerja, pastinya acara ini disambut baik dan bukti keprihatinan insan seni terhadap kemelut kemanusiaan yang sedang diharungi rakyat di Semenanjung Gaza, Palestin dek kekejaman rejim Zionis. Lalu, kesempatan berhibur sambil beramal ini patut dimanfaatkan masyarakat Malaysia dan ajaklah seramai mungkin ahli keluarga serta teman anda.

CHEF WAN akan menjual buku masakan koleksi peribadi miliknya.

Pelbagai pilihan barangan selebriti seperti pakaian, tas tangan, kasut dan macam-macam lagi boleh dibeli dengan harga istimewa dan lelong. Sebagai contoh, Chef Wan sendiri bersedia untuk menjual buku masakan yang dikumpulnya sejak 24 tahun lalu dan 40 peratus daripada keuntungan jualan akan diserap ke tabung NSTP.

Dibantu dua anak kesayangannya, Serina dan Nazri, tukang masak popular ini juga akan menjual 1000 bungkusan mi segera, Cintan dan 500 tin kari ayam. Chef Wan akan berada sepanjang hari di Amcorp Mall.

Lelong barang bersama Aizat

DEMIKIAN kisahnya dengan Liyana Jasmay yang sepakat untuk hadir seawal jam 10 pagi dengan penyanyi comel yang sering diusik dengannya iaitu Aizat. Atas saranan jurugambar, Surianie, Liyana merancang untuk melakukan acara lelong bersama-sama Aizat. Karnival amal sehari ini menjadi acara kedua yang membabitkan Liyana selepas siri jelajah Lelong Amal Suria FM awal tahun ini.


Kata pelakon yang sedang menjalani penggambaran telefilem Pontianak Remaja arahan Ghaz Abu Bakar ini, jika diberi peluang, dia ingin membuat persembahan menyanyikan lagu Aku Jatuh Cinta yang bakal dimuatkan di dalam album EPnya dijangka dilancarkan Mac ini.

“Saya tengah mencari barang-barang yang boleh dilelong. Mungkin saya akan melelong kemeja-t atau kasut tumit tinggi. Pada masa yang sama, saya turut terbabit menjual kek tajaan Hotel Istana dengan beberapa rakan artis. Mungkin saya akan pertimbangkan cadangan jurugambar (Surianie) untuk mengajak Aizat melelong barang sambil dia memetik gitar dan saya boleh turut menyanyi. Okey juga ideanya,” kata Liyana yang turut memuatkan lagu duet bersama Aizat yang dicipta sendiri Aizat di dalam album EPnya, bagaimanapun judulnya masih belum ditetapkan. Liriknya adalah nukilan mereka bersama dan konsep lagunya seakan lagu Lucky nyanyion Jason Mraz dan Colbie Caillat.

Jual kek sumbangan Hotel Istana

TIGA pelakon yang membintangi drama Bionik terbitan KRU Studios, Intan Ladyana, Kamal Adli dan Fizo Omar pun sanggup ‘berlari’ daripada set penggambaran drama (mengikut kelapangan masa) semata-mata mahu menjual kek. Bagaimanapun, Kamal bersyukur kerana tidak mempunyai sebarang penggambaran pada sebelah pagi dan membolehkannya hadir pada sesi pagi acara amal ini.

Kata Intan dan Fizo, apa terjadi mereka akan tetap mencuba meluangkan masa dan acara amal ini antara karnival terbesar yang akan disertai mereka.

Menurut Intan yang berkawan baik dengan pakar pemakanan, Kevin Zahri, dia mungkin akan melelong barang milik peribadinya seperti teddy bear dan baju. Kamal dan Fizo pula akan sedaya upaya menggunakan ‘kekacakan’ mereka untuk menjual kek.

Iqram 'lepak' di Amcorp sampai petang

PELAKON Iqram Dinzly akan berpasangan dengan rakan baiknya, Fouziah Gous ke acara ini. Kata Iqram, dia akan berada sepanjang hari kerana kebetulan pada hari itu, dia tidak sebarang komitmen kerja. Bagi pelakon kelahiran Ipoh ini, majlis amal sebegini bukan sesuatu yang asing kepadanya.

“Sejak zaman belajar lagi, saya terdedah dengan acara sebegini dan jika tidak ada halangan, pasti saya akan membabitkan diri. Acara murni ini juga boleh memberi kesedaran kepada individu dan jika kita tidak mampu membantu secara fizikal contohnya pergi berperang, kita boleh membantu secara material seperti yang dilakukan NSTP. Saya tidak pandai melelong barang dan Insya-Allah, saya akan beri sumbangan peribadi,” kata Iqram yang sedang terbabit dengan penggambaran drama 13 episod, Rempit VS Impak Maksima yang bakal menggantikan drama Pepaya menerusi slot Aksi mulai 16 Februari.

Danielle lelong baju, kasut

TIDAK ketinggalan, pelakon yang bakal bergelar penyanyi, Diana Danielle, akan sama-sama menjual kek dan melelong barangan milik peribadinya seperti baju dan kasut. Sebagai selebriti yang cukup dekat di hati masyarakat awam, ABPBH 2008 Untuk Gaza antara cara terbaik mewujudkan situasi menang-menang.

“Apabila pengunjung datang membeli barangan jualan dan lelongan yang dijual selebriti, secara tidak langsung akan ada dua pihak yang menyumbang iaitu pengunjung dan selebriti untuk satu tujuan murni. Jadi jangan lupa ajak temujanji anda untuk sama-sama hadir ya. Insya-Allah saya akan datang pada sebelah tengah hari,” katanya yang baru saja selesai penggambaran filem Kecoh Betul.

Sebelum menyertai Program Latihan Khidmat Negara Mac ini, Danielle akan merakamkan sebuah lagu untuk albumnya di Malaysia dan memulakan penggambaran filem Magika yang menggandingkannya dengan Mawi, Sharifah Amani, Maya Karin, Ziana Zain, Aznil Nawai dan Sharifah Aleya.

Jangan lupa jumpa Amani

SEPERTI Danielle, anak kepada dramatis, Fatimah Abu Bakar, Sharifah Amani juga akan hadir pada sebelah tengah hari untuk menjual kek. Kata pelakon yang bakal tampil dengan filem Sayang U Can Dance, ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial yang boleh diberi demi membantu mereka yang bernasib malang.

Untuk filem Magika, Amani dan kakaknya Aleya hanya berlakon sebagai cameo dan masing-masing memegang watak Bawang Putih dan Bawang Merah. Sekitar bulan Ogos atau September ini, Amani akan kembali berlakon dengan pengarah Yasmin Ahmad menerusi filem Wasure Nagesa. Untuk filem ini, Amani akan bergandingan dengan seorang pelakon Jepun dan demi tuntutan watak, Amani juga sedang belajar menunggang kuda.

INFO: Jenis kek yang akan dijual tajaan Hotel Istana

  • Kek Date’s
  • Kek pisang rendah lemak
  • Kek carrot
  • Kek cheese Mandarin
  • Kek coklat


INFO: ABPBH 2008 Untuk Gaza
  • Acara yang bermula seawal jam 10 pagi hingga enam petang akan dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan membabitkan pelbagai aktiviti seperti acara jualan dan lelongan barangan milik peribadi artis, sesi bergambar dan persembahan pentas.
  • Linda Onn, Datuk Yusof Haslam dan Sharifah Zarina antara individu yang bermurah hati menaja makanan untuk petugas acara ini dan artis yang hadir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: