|
|
KESENGSARAAN umat Islam yang tertindas dan menjadi mangsa kekejaman Zionis dan sekutunya, Amerika Syarikat membuatkan kumpulan Meet Uncle Hussein (MUH) berasa simpati dan geram. |
Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) baru-baru ini berasakan apa yang dilakukan Zionis dan Amerika itu tidak berperikemanusiaan dan melampaui batas insani.
Andai punya kemampuan mahu saja anggota MUH - Nik Azlan (Alan) Roslee, Nik Mustaza (Taja) Nik Mustapha, Mohd Fathi (Afat) Mohd Darwis dan Mutafal Bakri (Bakri) Ismail - mengangkat senjata dan bersama-sama masyarakat di Gaza, Palestin.
Itu hanya kata hati, tetapi realitinya perkara itu tidak mungkin berlaku.
Namun atas tanggungjawab untuk menimbulkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kesengsaraan dialami penduduk di Gaza, kumpulan MUH menghasilkan lagu khas, Putihnya Lukisan.
Istimewa apabila lagu baru ini akan dipersembahkan mereka secara eksklusif di majlis karnival jualan murah bagi mengisi dana Tabung NSTP Untuk Gaza anjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) yang akan berlangsung di Bazz-r, Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya, pada 31 Januari ini bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.
Ditemui pada majlis sidang akhbar bagi mengumumkan karnival itu, Taja berkata, lagu Putihnya Lukisan sudah lama dihasilkan iaitu sewaktu Amerika menyerang Afghanistan.
“Apa yang berlaku di Afghanistan kini berlaku lagi di Palestin. Pencerobohan dan penganiayaan dilakukan Zionis dan sekutunya tidak pernah habis.
“Melihat setiap hari kesengsaraan yang dihadapi anak kecil dan wanita disiarkan media membuatkan kami berasa sedih. Peristiwa berlaku turut mencetuskan idea untuk menghasilkan lagu ini. Ia adalah gambaran isi hati kami terhadap kekejaman yang berlaku.
“Diharapkan lagu yang kami dendangkan ini akan mampu menimbulkan perasaan simpati dan insaf atas apa yang berlaku. Pinta saya agar peminat akan bersama-sama hadir di Amcorp Mall dan berkongsi perasaan di samping membantu dengan menderma,” katanya.
Cerita Taja lagi walaupun lagu itu sudah lama dihasilkan tetapi, ia tidak pernah diketengahkan kerana berasakan temanya agak berat dan mungkin pendengar agak susah untuk menerimanya.
“Lagu Putihnya Lukisan ini sebenarnya mempunyai maksud cukup mendalam dan melodinya agak kuat untuk menyokong lirik dihasilkan.
“Pada kami lagu ini sekadar luahan hati, tetapi apabila berlaku kekejaman di Palestin, ia sesuai menggambarkan situasi yang berlaku di sana,” katanya.
Bercerita mengenai perkembangan kerjaya seni MUH selepas muncul juara di AJL23, jelas Lan selaku penyanyi utama kumpulan itu berkata mereka mengharapkan selepas ini penerimaan peminat terhadap karya mereka akan bertambah baik.
“Kami tidak pernah mengharapkan apa-apa selain daripada lagu dihasilkan MUH boleh diterima pendengar.
“Alhamdulillah selepas memenangi AJL23 banyak perkara baik berlaku kepada kami termasuk pihak media sendiri yang sudah semakin dekat, memberikan sokongan dengan menyiarkan perkembangan kerjaya seni MUH,” katanya.
Menyentuh tawaran memasarkan karya dihasilkan ke Indonesia, jelas Lan, perkara itu masih lagi dalam perbincangan dan kini pengurus mereka sedang menguruskan segala yang diperlukan pihak seberang.
“Saya melihat dengan kemenangan MUH dan Estranged sebelum itu di AJL membawa makna muzik dihasilkan anak tempatan sebenarnya bagus dan bermutu.
“Cuma kami perlu diberikan peluang untuk mengetengahkan apa yang kami ada.
“Melangkah ke pasaran luar terutama di rantau Nusantara ini juga menjadi impian kami. Kalau boleh MUH mahu mengangkat kembali industri muzik tempatan seperti pernah dilakukan kumpulan Search, Wings, Iklim dan Slam sebelum ini dengan berjaya menguasai industri muzik seberang,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: