Friday, January 30, 2009

Bakat lakonan Scha semakin bersinar



PELAKON jelita dan lasak, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir atau lebih dikenali dengan panggilan Scha kini semakin bersinar dalam bidang lakonan. Namanya mula disebut-sebut setelah membintangi drama bersiri Awan Dania terbitan Astro Ria sedikit masa lalu. Dia yang memegang watak sebagai seorang pramugari yang bernama Dania pantas mendapat tempat di hati peminat kerana bakat lakonannya memang cukup menyerlah.

Dalam merealisasikan hasratnya sebagai pelakon, pemenang Dewi Remaja 2006/07 ini juga tidak dapat lari daripada menerima kritikan, lebih-lebih lagi kerana keberaniannya membintangi sesuatu watak. Lakonannya dalam filem Histeria yang membawa watak ala ‘tomboy’ dan ‘lesbian’, pernah dikritik hebat walaupun ada juga yang memuji keberaniannya itu. Sebagai bintang baru, Scha menerima semua kritikan itu secara positif kerana ia akan mematangkan lagi dirinya.

Selain aktif berlakon drama, gadis tinggi lampai ini semakin menjadi rebutan pengarah dan produser tempatan untuk beraksi di layar perak. Scha juga pernah membintangi beberapa filem seperti Antoo Fighter, Histeria dan Papadom. Dia tampak lebih berkeyakinan dengan menerima satu lagi tawaran lakonan di bawah arahan pengarah muda Syamsul Yusof menerusi filem ‘Evolusi KL Drift 2’ terbitan Skop Production dengan kerjasama Grand Brilliance yang akan memulakan penggambaran mulai awal Februari ini.

Buat pertama kalinya, Scha diberi kepercayaan untuk muncul sebagai watak utama bagi menggantikan tempat pelakon jelita, Diana Danielle yang digugurkan daripada membintangi filem tersebut ekoran kontroversi hangatnya dengan pengarah filem itu sendiri (Syamsul) tidak lama dulu. Ternyata pengguguran pelakon popular itu memberi tuah kepada Scha untuk tampil beraksi dalam filem berkenaan.

Namun sebagai bintang baru, sudah tentu kemunculan Scha dalam filem itu akan dibandingkan dengan Diana Danielle yang cukup popular di layar perak. Namun bagi Scha, dia bukanlah lawan Diana. Peluang untuk membintangi filem tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk terus menimba ilmu dalam lakonan. Kata Scha, dia menerima watak dalam filem itu kerana ia benar-benar berbeza jika dibandingkan dengan watak-watak yang pernah dibawanya sebelum ini.

“Saya bukannya pengganti kepada sesiapa, dan janganlah bandingkan saya dengan Diana. Saya tidak merasakan yang saya adalah pilihan kedua, kerana semua ini bergantung pada rezeki dan saya percaya inilah rezeki yang ditentukan Tuhan untuk saya dan juga keluarga.

“Saya rasa ada kebaikannya juga mereka memilih saya sebagai pengganti. Setidak-tidaknya ada lagi syarikat produksi yang masih nampak kewujudan saya dalam industri lakonan ini selain saya boleh mengembangkan watak saya ke peringkat yang seterusnya,” katanya.

Jelas Scha, dia mula mendapat tawaran untuk membintangi filem tersebut sejak awal tahun lagi. Dia yang begitu teruja untuk berlakon di bawah arahan Syamsul yang juga merupakan anak teruna kepada pengarah dan produser terkenal Datuk Yusof Haslam, terus bersetuju sebaik sahaja diajukan tawaran lakonan itu.

“Sebelum ini, filem ‘Evolusi KL Driff’ mendapat sambutan yang baik di kalangan penonton, hingga mencapai tahap ‘box office’, jadi rugilah kalau saya tolak untuk berlakon dalam filem ini. Saya cukup tertarik dengan filem ini kerana ia banyak aksi dan saya rasa ia sesuai dengan jiwa saya yang lasak. Malah saya juga minat dengan aksi-aksi perlumbaan kereta dan inilah peluang untuk saya cuba pandu kereta laju-laju. Terus-terang, saya bangga kerana dapat turut serta dalam kesinambungan filem ini,” kata Scha.

Bercerita tentang wataknya dalam filem aksi sukan pemotoran itu, Scha memberitahu, dia membawa watak Aleya yang merupakan seorang ‘lady drifter’ yang cemburu dengan Zack, lakonan Syamsul. Dalam cerita ini Aleya dan Zack selalu berlumba tetapi Aleya tidak pernah menang. Lama-kelamaan Aleya dan Zack berkawan rapat.

“Watak ini lain daripada watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Lebih menggembirakan saya, watak wanita ‘drifter’ dalam filem ini ada sedikit persamaan dengan diri saya. Jadi rasanya, tak susah untuk saya menghayati watak ini nanti. Tapi saya kena mantapkan lagi lakonan dengan melakukan banyak penyelidikan tentang ‘lady drifter’ ini,” kata Scha yang ingin menjadi pelakon versatil.



Masih berteman dengan Fahrin

Sejak akhir-akhir ini kisah peribadi Scha mula menjadi perhatian media dan orang ramai. Selain pernah dikaitkan dengan beberapa jejaka, Scha juga masih dikatakan menjalin hubungan istimewa dengan aktor kacak, Fahrin Ahmad. Walaupun dia sudah beberapa kali menafikan perkara itu, namun desas-desus tentang keistimewaan hubungan mereka tetap bertiup kencang.

“Terus-terang saya dan Fahrin sekadar kawan biasa sahaja, ramai yang salah sangka dengan hubungan kami. Mungkin orang nampak kami selalu ke hulu ke hilir bersama, tetapi itu sebenarnya atas urusan kerja. Memandangkan saya ni masih baru dalam industri ni, jadi Fahrin banyak membantu saya semasa di set penggambaran. Lagi pun dia lebih arif dengan keadaan itu,” katanya.

Di tanya mengapa mereka sering kelihatan bersama dalam majlis-majlis hiburan, Scha memberi jawapan yang sebaliknya pula. Kata Scha, bukan semua majlis hiburan dia bertemankan Fahrin, namun hanya untuk majlis-majlis yang tertentu sahaja.

“Bukan selalu kami datang bersama. Hanya satu dua majlis sahaja, tapi itu pun jadi buah mulut orang. Saya akui hubungan saya dan Fahrin rapat, tetapi sekadar kawan sajalah. Pernah kalau saya tak ajak dia bersama ke majlis-majlis hiburan, dia akan bertanya kenapa tidak mengajaknya. Sepanjang saya kenali Fahrin, dia sangat ‘caring’ orangnya,” kata Scha.

Memandangkan hubungan mereka dilihat semakin rapat, Scha turut ditanya adakah dia mengharapkan sesuatu yang baik dalam hubungan mereka itu nanti.

“Saya tidak pernah menaruh sebarang harapan dalam hubungan kami. Fahrin hanya memberikan saya garis panduan untuk berjaya sahaja. Mungkin kerana dia banyak masa terluang itulah sebabnya dia rajin menemani. Kalau dia sibuk susah nak jumpa dia. Seperti yang saya katakan, kami hanya kawan dan janganlah gosipkan kami lagi.

“Bila gosip ini semakin menjadi-jadi, keluarga pun terkena tempiasnya, terutamanya ayah saya yang semakin risau dengan saya. Pernah ayah luahkan perasaannya yang sudah tawar hati nak bagi saya berlakon tapi bila saya berbincang dan terus-terang perkara yang sebenar dengannya, mujurlah ayah boleh terima.

“Di segi karier, saya rasa memang berbaloi dengan apa yang saya usahakan selama ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: