|
SEPANJANG 16 tahun bersiaran program Remaja tidak dinafikan mempunyai tarikan tersendiri. |
Di samping padat dengan informasi terkini, program terbitan TV3 itu turut memberi pengisian yang positif bagi generasi muda.
Sesuai dengan peredaran zaman dan kemajuan teknologi, program berkenaan turut berubah daripada semasa ke semasa.
Justeru, baru-baru ini, teraju utama dan pengisian terkini rancangan berkenaan dilancarkan di Lepaq Cafe, Sri Hartamas.
Penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad atau lebih dikenali dengan panggilan Gbam berkata kelainan yang ditonjolkan untuk musim kali ini serta perubahan dari segi waktu siaran mampu menarik lebih ramai penonton khususnya golongan remaja mengikuti program itu.
“Walaupun sudah disiarkan lebih 16 tahun namun kami sentiasa memastikan program ini mempunyai tarikan tersendiri dengan pengisian selain memperkenalkan segmen mengikuti keadaan dan trend semasa.
“Di samping beberapa segmen dan pengacara baru, program ini turut dilengkapi susunan grafik menarik yang disifatkan berbentuk infohiburan.
“Musim ini kami turut memperkenalkan lima perkara utama seperti membabitkan pasukan R-Clix yang dianggotai Azura Zulkifli (Azura), Mohd Syazwan Roslan (E’One) dan Tengku Naharuddin Izwan Tengku Nasaruddin (Deq’Wan) sebagai pengendali program.
“Selain mengacara, mereka juga akan membawa penonton menyelami sendiri pengalaman menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.
“Selain itu segmen Remaja Open-Mic turut memberi peluang kepada bakat baru khususnya remaja untuk mempamerkan bakat dalam bidang nyanyian.
Career@Remaja pula mampu memberi inspirasi mengenai kerjaya atau karier yang ingin diceburi mereka. Segmen Refleksi pula membabitkan bual bicara mengenai isu semasa berkisar kepada remaja.
“Bagi segmen Hot, Happening & Stylo membincangkan mengenai trend dan gaya hidup remaja masa kini mengenai fesyen dan aksesori.
“Segmen Gadgets yang memperkenalkan peralatan elektronik terkini seperti telefon bimbit dan permainan MP3 yang berada di pasaran,” katanya.
Program yang ke udara setiap Ahad jam 7 malam bermula 1 Februari ini diperkenalkan pada Mei 1993 dengan nama RSB sebelum bertukar kepada program, Remaja pada 2000.
Antara mereka yang pernah mengendalikan program itu ialah Aidid Marcello, Eugene, Sharida Shariff (Sherry), Hairuddin Mohd Noor (finalis Malaysia Top Host), Rachel Sia, Juliana Evans dan Aliff (One In A Million)
Mengulas lanjut mengenai kontroversi yang pernah ditimbulkan mengenai SMS memaklumkan penyingkiran Juliana Evans dan Aliff sebagai pengacara program itu, Penerbit Eksekutif, Azura Karim berkata dakwaan berkenaan ternyata tidak benar.
Malah, katanya, tranformasi yang dilakukan pihak penerbitan menyebabkan kedua-dua pengacara berkenaan tidak disenaraikan.
“Sebenarnya Aliff dan Juliana bukan disingkirkan. Situasi berlaku selepas kami cuba melakukan sedikit perubahan yang berlaku pada setiap tahun ia turut membabitkan pengacara sebelumnya. Untuk program kali ini kami cuba menampilkan pasukan R-Clix (wartawan penyiaran) yang boleh disifatkan lebih dekat dengan penonton dan remaja.
“Kami tidak nampak ia sebagai isu untuk menampilkan muka baru.
“Tidak timbul langsung kami membelakangi atau menyingkirkan mereka menerusi SMS. Saya sendiri menghubungi pengurus (Aliff) dan ibu (Juliana) memaklumkan mengenai perubahan itu sebulan sebelum kontrak mereka tamat.
“Tidak timbul langsung soal prestasi mereka tidak bagus atau kurang komitmen terhadap program ini,” katanya.
Pihaknya berharap peminat dapat menerima perubahan dilakukan walaupun kedua-dua pengacara berkenaan sudah berkhidmat agak lama bersama rancangan itu.
Aliff selama dua tahun manakala Juliana (tujuh tahun).
Bagi pasukan R-Clix yang diterajui Azura, E’One dan Deq’Wan pula masing-masing turut mempunyai minat dalam bidang pengacaraan selain gembira dapat menjayakan program berkenaan.
“Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang penyiaran namun minat mendorong saya untuk terbabit dalam bidang ini. Ciri-ciri dan komitmen pengacaraan menjadi keutamaan buat saya.
“Saya perlu bersedia memberikan informasi selain mahir dalam pelbagai bidang seperti mengacara, menulis skrip dan wartawan penyiaran,” kata Azura penuntut Ijazah Multimedia dalam Inovasi Media daripada Universiti Multimedia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: