|
|
TOM CRUISE, seorang figura yang tidak pernah henti daripada menjadi sasaran pihak media yang sentiasa dahagakan kisah terbarunya.
Baik dari zaman ketika dia masih bujang dan meniti populariti sebagai salah seorang aktor yang paling diminati di Hollywood, sehinggalah ke kisah perkahwinan dan perceraiannya dengan bekas isterinya, Nicole Kidman, namanya sentiasa meniti di bibir.
Selepas daripada itu, tumpuan juga diberikan kepadanya apabila dia mula bermain cinta dengan pelakon Katie Holmes sehingga mereka berdua memiliki seorang cahaya mata perempuan comel, Suri.
Sehinggakan, sesetengah pihak melahirkan rasa kurang senang dengan Tom dan kisah-kisahnya yang dijaja di dada-dada akhbar menimbulkan perasaan meluat dan menyampah di kalangan mereka.
Kemuncak segala-galanya adalah sewaktu reaksi Tom melompat di atas kerusi sewaktu ditemuramah Oprah Winfrey saat dia dilamun cinta dengan Katie dilabelkan sebagai antara momen yang paling menjelikkan dalam sejarah penerbitan televisyen.
Meskipun dia pernah meminta maaf di atas keterlanjurannya itu dengan mengatakan reaksinya itu sebagai luahan perasaannya, namun, itu belum cukup untuk menutup mulut masyarakat daripada memperkatakan tentangnya.
Namun, Tom seorang yang cukup bijak dalam mencuri perhatian dan untuk mengalihkan pandangan orang daripada terus membicarakan tentang publisiti murahan tentang dirinya, dia telah membuat satu keputusan yang telah membuka mata masyarakat terhadap diri dan karier seninya.
Bukanlah Tom seorang yang tidak berbakat tetapi dia begitu pelik dengan pandangan masyarakat terhadap bakat seninya yang dikatakan tidak segah populariti yang dikecapinya.
Sentiasa optimis dengan segala perancangan yang dilakukannya, Tom dengan berani menerima tawaran untuk membintangi sebuah filem bercorak perisikan, Valkyrie yang diarahkan oleh pengarah berkaliber, Bryan Singer.
Valkyrie mengisahkan bagaimana usaha seorang pegawai tentera Jerman bernama Kolonel Claus von Stauffenberg sewaktu Perang Dunia Kedua dan pasukannya yang merancang untuk membunuh Adolf Hitler sekitar tahun 1940-an.
Ramai yang melahirkan kebimbangan mereka terhadap kemampuan Tom untuk membintangi filem seberat itu tetapi anak jati New York, Amerika Syarikat ini mempunyai alasan sendiri.
"Dulu sewaktu saya membintangi Born On The Fourth Of July, orang meramalkan karier saya akan berkubur. Mereka kata apa yang saya fikirkan sehingga sanggup berlakon dalam filem begitu.
"Begitu juga dengan keputusan saya untuk membintangi Interview With The Vampire. Mungkin mereka ini sukar untuk menerima kehadiran saya dalam industri tetapi, saya percaya bukan semuanya begitu," kata Tom ketawa.
Berbicara lanjut tentang Valkyrie, bagi Tom ia sebuah filem yang cukup hebat dan kuat dari segi penceritaan dan karakter yang ditonjolkan.
perasaan
Dengan menampilkan Bryan yang menduduki kerusi pengarah serta Nathan Alexander dan Christopher McQuarrie selaku penulis lakon layar, ternyata gandingan mereka bertiga telah memantapkan lagi jalan cerita Valkyrie.
"Sebaik sahaja mendapat skrip, saya sendiri teruja untuk menantikan babak seterusnya untuk mengetahui apakah yang berlaku. Walaupun saya tahu serba sedikit tentang ceritanya dan tahu pengakhirannya, perasaan itu langsung tidak berubah.
"Membaca naskhah yang begini hebat daripada pandangan orang-orang hebat seperti mereka, membuatkan saya terpesona kerana apa yang mereka lakukan begitu mendalam," katanya bersungguh.
Selain Tom, Valkyrie turut menampilkan pelakon handalan Hollywood yang lain seperti Kenneth Branagh, Bill Nighy, Tom Wilkinson, Terence Stamp, Eddie Izzard dan Carice van Houten.
Meskipun filem Valkyrie tidak memberi peluang kepadanya membuat persiapan dari segi fizikal seperti mana yang pernah dikecapinya sewaktu menjalani penggambaran filem Born On The Fourth Of July, kata Tom, dia mampu mendalami watak Claus von Stauffenberg yang tidak kurang mencabarnya.
"Saya menghabiskan banyak masa di Berlin, Jerman dengan membuat penyelidikan serta membaca tentang senario geo politik yang berlaku pada abad ke-19. Mengkaji subjek yang ditampilkan dalam filem ini memang cukup menyeronokkan.
"Valkyrie juga tiada banyak aksi lasak yang saya lakukan seperti mana filem-filem saya terdahulu. Apa yang pasti, apabila menyarungkan seragam tentera Jerman itu dan melihat dunia dari perspektif yang lain, ia cukup mengganggu. Saya tidak menyukainya.
"Baru kini saya sedar bagaimana watak sebenar berdepan dengan situasi yang cukup menyulitkan ketika itu dan saya turut merasainya," ujarnya lagi.
Tambahnya, menjalani penggambaran sepenuhnya di Jerman juga banyak membantunya menyelami watak Claus von Stauffenberg dan memberikan pengalaman baru untuknya apabila mengenangkan semua yang terlibat begitu komited terhadap kerja.
Sebagai pengarah, Bryan memberitahu dia begitu kagum dengan komitmen yang diberikan oleh Tom dan dia begitu menghormati pelakon yang berusia 46 tahun itu.
"Saya senang dan selesa bekerja dengan Tom. Jika disingkap kembali perjalanan kariernya, dia bermula sebagai seorang pelakon yang berkarakter menerusi filem Taps.
"Kemudian, baru dia beralih kepada filem-filem popular namun, itu langsung tidak menghapuskan imej pelakon karakter dalam dirinya. Malah, dia juga bijak memilih watak yang mencabar dan bekerja dengan ramai pengarah hebat.
"Daripada situ, saya tahu dia mampu membawakan watak seberat ini dan ternyata, jangkaan saya tepat. Malah, dia sendiri meminta saya menegurnya jika saya tidak mendapat kepuasan daripada lakonannya," kata Bryan yang sebelum ini pernah mengarahkan filem The Usual Suspects, trilogi X-Men dan Superman Returns.
Sejak ditayangkan pada 25 Disember lalu, Valkyrie telah mencatatkan kutipan tiket sebanyak AS$78.3 juta (RM274 juta) di Amerika Syarikat dan penonton di Malaysia pula akan dapat menikmati filem hebat ini apabila ia mula diputarkan di pawagam bermula 12 Februari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: