|
MENYANYI dan berlakon dua cabang seni yang dicintainya sejak dulu. Malah, bagi penyanyi yang sinonim dengan nama Maya Matahari ini, dia inginkan kedua-dua cabang seni itu bergerak seiringan. |
Justeru, tidak hairanlah selepas album terakhirnya, Sinar Cinta pada 1998, Maya, 33, atau nama sebenarnya, Meyanaliza Rusli, kembali lagi dengan mempertaruhkan dua single terbarunya yang berentak moderate, Mata dan Bersalah yang masing-masing ciptaan komposer Cat Farish.
"Dua single ini sudah siap dirakamkan dan kini hanya tinggal proses mastering dan buat kulit album saja. Jika tiada aral, ia akan diputarkan di stesen radio tempatan pada pertengahan Februari nanti.
"Saya memang tidak merancang buat album penuh dalam kegawatan ekonomi dan pasaran album sekarang. Mungkin saya akan buat album mini saja dan antara lagu yang dimuatkan ialah lagu Matahari yang akan digubah semula dalam konsep yang baru bagi memenuhi permintaan peminat," katanya.
Maya berkata, dia buat single baru itu sebagai penghargaan kepada peminat setianya sejak dulu. Akuinya, menerusi laman web Frienster.com ramai peminat yang bertanya bila dia akan buat lagu baru.
"Mereka juga minta saya rakamkan semula lagu Matahari dalam album baru. Pada masa sama, saya buat single baru ini untuk membetulkan tanggapan orang yang menganggap saya pelakon dan bukan penyanyi.
"Setiap kali saya buat persembahan untuk majlis makan malam korporat dan persendirian, itulah soalan sama yang saya dengar daripada mereka. Hakikatnya, saya bermula sebagai penyanyi dan berlakon pula sekadar minat sejak lebih 12 tahun lalu.
"Saya sedar untuk terus bertahan dalam bidang seni juga tidak mudah kerana memerlukan komitmen dan kerja keras. Itulah prinsip yang saya pegang dari dulu sampai sekarang," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama Anak Betong arahan Azman Yahya atau Jinggo, baru-baru ini.
Selain nyanyian, Maya juga masih aktif berlakon sampai sekarang. Antara drama lakonannya tahun ini ialah drama Ta'in 3T, drama bersiri Senario dan terbaru Anak Betong.
"Dalam banyak drama yang saya lakonkan, watak Naya dalam drama bersiri Anak Betong paling memberi kepuasan kepada saya. Saya dapat bawa banyak karakter dalam cerita ini iaitu wanita bisu, kelakar, jahat dan turut menyanyi.
"Ini kali kedua saya berlakon di bawah produksi JS Pictures selepas drama Ta'in 3T. Pada mulanya, saya terperanjat apabila berlakon dalam produksi mereka kerana mempunyai banyak peraturan yang perlu dipatuhi pelakon. Jinggo dan isterinya yang juga pelakon Sheila Rusly juga akan berterus terang mengenai peraturan yang ditetapkan itu sebelum penggambaran dimulakan.
"'Apa yang penting, pelakon perlu berdisiplin untuk memudahkan proses penggambaran di lokasi. Sebagai pelakon berpengalaman saya tidak ada masalah mematuhi peraturan ditetapkan demi kejayaan drama itu sendiri.
"Bagi menjiwai watak, saya sudah dapat skrip sejak sebulan sebelum penggambaran dan apa yang penting 'kerja rumah' yang perlu dibuat termasuk meneliti skrip dan watak diserahkan sebelum ke lokasi penggambaran," katanya.
Mengenai perancangannya untuk berkahwin pula, Maya lebih suka menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan. Hubungan Maya dan kekasihnya yang juga ahli perniagaan berjaya itu sudah mencecah tiga tahun.
"Jika nak diikutkan, saya memang merancang untuk berkahwin tahun ini. Namun, saya belum boleh beritahu secara terperinci mengenainya buat masa ini terutama tarikh hari bersejarah itu kerana ada perkara penting yang perlu kami selesaikan terlebih dulu.
"Malah, fokus saya sekarang adalah kepada dua single baru saya ini. Jika sudah sampai saatnya nanti, pasti saya akan menguar-uarkan kepada media dan peminat berita baik itu kerana mendirikan masjid ini perkara dituntut agama serta tidak perlu dirahsiakan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: