Wednesday, January 28, 2009

'Terima kasih Ali Bakar'


SEJAK 30 tahun lalu, minat Mohamad Nasir Mohamad atau M Nasir terhadap seni muzik tidak pernah padam. Dalam tempoh itu, dia sudah menghasilkan 11 album solo bermula Untuk Pencinta Seni pada 1979 diikuti Dia Ibuku (1981), Solo (1988), Saudagar Mimpi (1991), Canggung Mendonan (1993), Konsert Akar M Nasir: Manifestasi Akustika (1995), Terbaik M Nasir (1998), Srikandi Cintaku (1999), Prahara Seni Abadi dan Phoenix Bangkit (2001) dan Sang Pencinta (2006).

Pada awal pembabitan dalam muzik, dia pernah menganggotai kumpulan Kembara yang menghasilkan tujuh album di samping 33 album kompilasi. Sebagai penggiat seni yang aktif berkarya, M Nasir turut mengembangkan bakat seni dalam bidang lakonan. Bermula dengan filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986 arahan Nasir Jani, dia kemudian membintangi filem Fenomena (1990), Selubung (1992), Balada (1993), Simfoni Kasih (1994), Merah (1996), Perempuan Melayu Terakhir (1999), Putih (2001) dan Puteri Gunung Ledang (2004).

Selain album dan filem, pencapaian seni M Nasir juga diukur daripada kejayaan konsert yang diadakan. Konsert Canggung di Stadium Negara pada 1994 dan Konsert Andalusia di Stadium Merdeka (2000) antara persembahan yang meninggalkan kenangan manis pada peminatnya.

Tidak terkecuali, M Nasir pernah melakar sejarah peribadi menerusi persembahan di luar negara seperti Konsert M Nasir Crossing UK'97 pada 1997 bertempat di Manchester diikuti Konsert Gembala di Harbour Pavilion, Singapura (1999) dan Konsert Phoenix Bangkit di Suntec City, Singapura (2001).

Menjelang 27 Februari depan, M Nasir, 51, kembali mengadakan konsert solo, Konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Konsert yang sepatutnya dijadualkan pada Oktober tahun lalu, pastinya membuatkan pencinta setia M Nasir tidak sabar menantikan detik itu. Kumpulan akhbar New Straits Times Press (NSTP) menjadi media rasmi konsert ini.

Ikuti temu bual wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) bersama M Nasir mengenai perkembangan konsertnya serta pandangannya mengenai perkembangan muzik semasa.



SOALAN(S): Apakah yang ingin dikongsi menerusi konsert kali ini?

JAWAPAN(J): Konsert ini menterjemahkan perjalanan seni saya selama 30 tahun dalam bidang muzik. Saya mahu peminat berkongsi dengan pengalaman saya sejak dari muzik sentimental beralih pada rock, pop rock, irama Malaysia hingga saya bekerjasama dengan hip hop.

Mungkin ada peminat yang tidak sempat mengikuti muzik saya sebelum ini tetapi kali ini mereka berpeluang untuk kenal. Untuk konsert kali ini, saya berusaha sampaikan lebih 20 lagu daripada lebih 1,500 koleksi ciptaan saya sendiri.



Menariknya, pada malam itu nanti, saya akan memberi peluang pada peminat mencadangkan lagu pilihan mereka untuk saya nyanyikan secara langsung. Sebelum ini, menerusi lamab web di Internet iaitu Facebook, ada peminat yang memberikan cadangan lagu yang harus saya nyanyikan pada malam konsert itu nanti. Pelbagai genre lagu berbeza disampaikan dan mungkin ada kejutan buat peminat.



Mengenai konsep persembahan, saya akan menggabungkan muzik fusion dan world beat. Namun, jika dilihat pada poster konsert ini, saya banyak terpengaruh dengan subjek lukisan saya sendiri. Pada saya, kita tidak boleh guna orang lain untuk menghasilkan lukisan kita sendiri. Untuk mendapat kepuasan, kita harus lakukan mengikut cara sendiri.

Walaupun saya percaya dengan konsep sebegitu tetapi ia tidak boleh disamakan dengan cara penyanyi lain. Saya ingin persembahkan apa yang ingin saya sampaikan dan tampilkan kelainan dalam persembahan tiga malam itu nanti.



S: Apakah konsert ini satu penghargaan buat anda atas sumbangan selama 30 tahun dalam bidang muzik?

J: Sejak dulu hingga kini, saya melihat pelbagai masalah berlaku dalam persada muzik tempatan. Bagaimanapun, saya harus berterima kasih pada Ali Bakar yang menjadi orang pertama membawa konsert saya di sini. Dia tidak jemu dan serik untuk menganjurkan konsert saya walaupun ini adalah kali kelima. Pada saya, Ali adalah promoter yang tahu apa yang masyarakat mahukan.

Biarpun orang lain menganggap konsert sebegini adalah penghargaan buat saya tetapi saya sendiri berpandangan penerimaan peminat yang menyukai muzik saya selama ini adalah penghargaan terbaik buat saya. Sokongan peminat pada saya selama ini harus saya hargai dan konsert ini diadakan untuk menghiburkan mereka.



S: Bagaimana dengan persiapan konsert setakat ini?

J: Segalanya mengikut apa yang dirancang. Latihan bermula sejak awal bulan ini dan saya bersama 14 pemuzik mula menyesuaikan diri dengan keadaan di Istana Budaya. Ketika latihan, kami tidak mempunyai banyak masalah kerana antara satu sama lain, kami pernah bekerjasama dalam persembahan sebelum ini.



S: Khabarnya, anda juga akan menyanyi lagu ciptaan sendiri yang pernah dinyanyikan orang lain. Apakah ini akan memberi cabaran?

J: Lagu yang saya hasilkan untuk rakaman, kebanyakannya mempunyai sesuatu yang peribadi buat saya. Apa yang ingin saya sampaikan kepada penonton adalah mengikut jiwa saya sendiri. Pada saya, lagu ciptaan sendiri yang pernah dinyanyikan orang lain tetap mempunyai unsur popular.

Konsert ini mempunyai graf tersendiri dan saya hanya menyanyikan lagu yang difikirkan sesuai dengan kemampuan vokal saya. Mungkin tidak untuk saya menyanyikan lagu seperti kumpulan Search yang mempunyai vokal lebih tinggi.

Apa yang boleh saya katakan, persembahan saya ini dekat dengan penonton. Gabungan pelbagai genre muzik dan rekaan persembahan ini mampu membawa hasil yang berbeza. Seperti berlakon drama dan teater, ekspresi yang ditunjukkan juga berbeza. Begitu juga dengan muzik, apabila ia dipersembahkan atas pentas akan membawa hasil yang berbeza.



S: Tanpa penyanyi jemputan, apakah anda yakin untuk beraksi seorang diri di pentas?

J: Jika merujuk pada persembahan antarabangsa seperti Michael Jackson dan Sting, mereka hanya membuat persembahan secara solo. Tiada penyanyi jemputan lain kerana peminat yang hadir memang mahu menonton aksi penyanyi itu sendiri.

Saya juga percaya peminat yang hadir menyaksikan konsert saya mahu berhibur bersama saya. Mengapa perlu penyanyi jemputan menjadi satu kemestian dalam setiap konsert? Saya fikir penonton kita banyak terpengaruh dengan bermacam konsert yang sering tampil dengan penyanyi jemputan. Sikap ini perlu diubah agar penonton lebih faham dengan matlamat penganjuran sesebuah konsert.



S: Berbeza dengan konsert dari luar negara, konsert tempatan sukar mendapat penaja. Apakah ini memberi kesan pada sambutan konsert anda?

J: Ia bukan isu apabila penaja enggan menyokong konsert tempatan. Tidak semua persembahan perlu sempurna tetapi apa yang penting, penyanyi itu perlu ikhlas dalam membuat persembahan. Bagi mereka yang meminati seseorang penyanyi, dia tetap akan datang dan sanggup bayar untuk menonton persembahan itu walaupun tanpa penaja.



S: Andai konsert ini tidak mendapat sambutan, bagaimana anda menghadapi perkara ini?

J: Saya sebagai penyanyi akan terus menyanyi dan membuat konsert. Seseorang artis mesti membuat konsert apabila dia mempunyai lagu dan album. Bagaimanapun, jika sambutan konsert seperti ini dikatakan gagal, sesiapa saja harus terima kenyataan.

Apa yang boleh kita buat jika peminat tidak mahu datang. Mungkin zaman penyanyi itu sendiri sudah berubah. Orang lain boleh cakap macam-macam bila sesebuah konsert itu gagal sama ada cara pemasaran tidak berkesan atau mungkin penyanyi itu tidak membuat persembahan dengan baik.



S: Apa komen anda jika konsert menjadi tanda aras kejayaan seseorang penyanyi?

J: Merujuk pada budaya masyarakat kita, bukan setiap minggu kita mempunyai konsert. Lalu, apabila kita melalui banyak perubahan seperti perkembangan teknologi moden, peminat mula demand. Mereka mahukan visual dan bunyi yang bagus dalam konsert.

Namun, kemampuan kita terbatas dan hanya artis luar dapat penuhi permintaan peminat itu. Setiap komposer atau penyanyi perlu tahu kekuatan diri yang dapat ditampilkan menerusi konsert. Apa salahnya untuk penyanyi yang hanya mempunyai single mengadakan konsert tetapi saya percaya masih banyak lagu lain yang dapat dinyanyikan dalam konsert.



S: Perjuangan selama 30 tahun disimpulkan menerusi konsert. Adakah konsert ini memberi kepuasan pada anda atas perjuangan selama ini?

J: Setiap apa yang kita lakukan mempunyai matlamat. Mungkin ada yang melihat matlamat itu tercapai dan mungkin sebaliknya. Namun, pada saya, nilai artistik pada karya seni dan penerimaan peminat seharusnya mempunyai keseimbangan.



S: Bagaimana pandangan anda dengan muzik indie yang makin mendapat perhatian khalayak?

J: Saya juga mengikuti perkembangan muzik sebegini. Pada saya, muzik perlu mengikut penyesuaian dalam diri seseorang. Sebagai komposer dan penyanyi, saya juga sukakan perubahan pada muzik seperti aliran indie yang mula menarik perhatian ramai sejak kebelakangan ini.

Mungkin tidak ramai yang tahu, saya juga menyukai muzik punk dan hip hop. Bagi mereka yang mengikut satu aliran muzik saja, agak sukar untuk mereka keluar untuk meminati genre muzik lain. Namun, saya tidak begitu kerana saya turut mendengar muzik genre lain. Saya percaya untuk menarik perhatian khalayak khusus generasi muda, seseorang penyanyi itu bergantung pada lagu dan gaya penyampaian.

Saya melihat banyak band indie yang bagus dan berbakat. Sukar untuk kita jumpa band seperti Meet Uncle Hussain dan Hujan di negara lain. Berbanding dulu, peluang kini lebih banyak tetapi lirik lagu dulu banyak tertumpu pada perjuangan. Lagu masa kini pula lebih memfokuskan pada cinta tetapi ia bukan satu kesalahan.



S: Apa komen anda jika penyanyi baru yang mendapat bimbingan komposer terkenal seperti anda gagal dalam karier seni. Apakah ini satu kesilapan besar komposer itu?

J: Pandangan saya, itu bukan kesilapan kerana karier penyanyi baru adalah satu percubaan. Bagi saya, sejak awal saya boleh tahu penyanyi itu boleh pergi atau tidak berdasarkan kualiti suaranya. Bagaimanapun, ada juga penyanyi baru yang saya ambil sebagai anak didik tetapi sukar untuk saya beri penjelasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: