Friday, January 30, 2009

Ibu gelama lubuk rahsia Pak Ku



BESUT: Kebiasaannya apabila disebut saja trip memancing di Kuala Besut maka terbayang perjalanan berbelas jam ke pelantar minyak di Laut China Selatan.

Bukan mudah untuk mengharungi gelombang berjam-jam selama berhari-hari di tengah laut. Namun begitu, ramai pemancing yang tidak sedar terdapat seorang tekong yang mahir dalam pancingan dasar dan lubuk ikan gred A di perairan Pulau Redang yang hanya empat jam dari Kuala Besut.

Tekong dimaksudkan ialah Tengku Ibrahim yang penulis kenal beberapa tahun lalu. Sikapnya yang peramah membuatkan penulis sering membawa rakan memancing santai di lubuk luar perairan sekeliling Pulau Redang. Di situ ada tukun dan unjam yang menyimpan pelbagai khazanah spesies dasar yang hebat seperti kerapu bara, kertang, ikan merah dan yang paling utama ibu gelama mencecah 5 hingga 6 kilogram.

Tengku Ibrahim atau lebih mesra dipanggil Pak Ku memang banyak pengalaman dalam selok-belok lubuk Pulau Redang. Sudah banyak rekod dipecahkan oleh tekong bertubuh kecil. Antaranya yu kemejan lebih 100 kilogram selain kerapu kertang berpuluh kilogram. Namun, sikap rendah diri Pak Ku membuatkan beliau lebih dihormati. Dengan bot yang selesa lengkap tempat tidur, tandas dan bumbung pelindung panas serta tukang masak yang cekap dan rajin; membuatkan pelanggan sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatannya.

Bagi pemancing yang tidak mempunyai banyak masa, jangan lepaskan peluang mengikuti trip tiga hari dua malam ke Pulau Redang. Untuk ke laut dalam yang kadang-kadang memakan masa sehingga lima enam hari sering membantutkan niat dan semangat pemancing. Namun begitu, lubuk Pak Ku memang berpotensi. Selain itu, banyak unjam dihuni pelbagai jenis ikan seperti tongkol, belitung dan selar yang kasar-kasar. Di dasar unjam pula banyak kerapu, ikan merah dan tambak menjadikannya tempat bermain. Selain itu, kehadiran tenggiri dan ebek turut membuatkan lubuk-lubuk Pak Ku begitu popular.

Lubuk paling berpotensi ialah Tukun Kapal Siam atau disebut Batu Siam. Terdapat banyak spesies mahal terutama ibu gelama yang sememangnya sukar ditemui di perairan Semenanjung. Selain itu, banyak lagi lubuk yang perlu kami selongkar seperti Batu Payung, Batu Selar dan Batu Laut yang sememangnya cuma Pak Ku dan nelayan Kuala Besut yang menyimpan rahsianya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: