GELARAN 'second choice' atau pilihan kedua tidak langsung menggugat nama pelakon yang sedang meningkat naik ini. Bagi Sharifah Nor Azean atau mesra disapa Scha ini, tuah yang datang bergolek terhadap dirinya sebaik nama bintang muda, Diana Danielle 'digugurkan' dari filem Evolusi KL Drift 2 dianggap satu rezeki buatnya.
Diana dikhabarkan menjadi pilihan 'utama' pengarah filem tersebut, Shamsul Yusof pada awalnya. Namun, Scha akhirnya dipilih memegang watak Aleeya. Semunya gara-gara berpunca daripada 'kontroversi' yang melanda pengarah muda dan bekas kekasihnya itu.
Walaupun Shamsul menafikan insiden hitam itu menjadi punca utama Diana tidak diambil berlakon filem tersebut dan menyerahkan kepada Scha yang dirasakan lebih sesuai memegang karektor 'minah drift' itu, namun umum sudah menjangkakan faktor itu turut menjadi salah satu punca mengapa Diana tidak menjadi 'pilihan' Shamsul kali ini.
Tidak mahu mencampuri hal orang lain, kata Scha, dia memandang positif tawaran yang diberikan kepadanya oleh anak teruna Datuk Yusof Haslam itu dan menganggap itu adalah peluang keemasan buat dirinya terus mengukir nama di layar perak.
Pilihan kedua atau pun tidak, tutur gadis berusia 25 tahun ini, dia tidak mahu ambil pusing dengan 'gelaran' yang dianggap remeh itu.
"Saya tidak mahu sentuh isu berkaitan mereka. Sebagai pelakon, saya anggap ini adalah rezeki saya. Saya bersyukur kerana dalam ramai-ramai pelakon, Shamsul memilih saya untuk gantikan Diana.
"Bukan mudah untuk menerima tawaran seperti ini. Melihat pula kepada filem Evolusi KL Drift yang mendapat sambutan memberangsangkan dulu, jadi saya rasa cukup bertuah kerana mendapat kepercayaan Shamsul untuk turut sama menjayakan filem ini," tutur pelakon yang dikaitkan sedang hangat bercinta dengan aktor Fahrin Ahmad ini.
Selain Scha, seorang lagi pelakon berbakat besar Remy Ishak turut diundang membintangi filem terbitan Skop Productions ini yang menelan belanja sebanyak RM2.1 juta.
Mereka akan bergandingan dengan beberapa pelakon asal filem ini iaitu Aaron Aziz, Farid Kamil, Rizal Ashraf, Hetty Sarlene dan Shamsul sendiri.
Turut menjayakan filem yang bakal memulakan penggambaran pada awal Februari ini ialah Zul Ariffin dan Shaheizy Sam.
Secara ringkasnya, Evolusi KL Drift 2 ini terus menyaksikan perlumbaan kehidupan Zack (Shamsul) dan Sham (Farid Kamil) yang belum berakhir. Zack kini bukan lagi pelumba haram, tetapi adalah seorang pemandu drift profesional.
Dalam pada itu, selepas kemalangan yang dialami, Sham bukan lagi seorang drifter kerana mengalami kecacatan kaki. Peristiwa lampau dan keadaan dirinya sentiasa menghantui diri Sham.
Seorang drifter profesional, Aleeya (Scha) muncul di dalam kekalutan itu dan mencemburui kehebatan Zack di litar lumba.
Pada masa yang sama, Joe (Aaron) masih lagi menaruh dendam terhadap Zack setelah terlepas dari kemalangan maut. Kesan kemalangan yang mengakibatkan parut di mukanya menguatkan lagi keazaman Joe untuk menghapuskan Zack dan dibantu oleh orang kanannya, Ery (Shaheizy).
Mengulas tentang watak 'minah drift' yang dipegangnya itu, kata Scha, dia akui berminat dengan karektor lasak itu apatah lagi dia sendiri memang wanita yang gemarkan aktiviti lasak.
"Sejujurnya, saya memang seorang yang lasak. Saya suka aktiviti-aktiviti lasak seperti bermain go-cart. Jadi, bila berpeluang bawa watak 'drifter', saya memang cukup gembira.
"Pastinya watak ini akan memberi cabaran tersendiri buat saya lebih-lebih lagi saya tidak tahu langsung tentang 'drift'. Setakat bawa kereta laju pernahlah, tetapi untuk buat aksi 'drift' memang tidak pernah langsung.
"Teringin juga nak cuba buat aksi 'drift' sendiri nanti, tetapi kata Shamsul, mereka akan gunakan 'professional drifter' saja untuk babak-babak itu nanti," kata Scha mengenai wataknya di dalam filem keempatnya itu.
hei bro wats up...
ReplyDeleteabang syamsul ngan shaheizy cute cangat bile smyle.
sayang sayang sayangggggggggg].
love you i siti.....