SEBUAH Perodua Nautica dan Perodua Viva, bakal dimiliki masing-masing juara Kategori Laut serta Kategori Pantai, tahun depan. |
KUALA LUMPUR: Sebuah Perodua Nautica dan satu lagi Perodua Viva, itulah yang bakal dipandu pulang masing-masing juara Kategori Laut serta Kategori Pantai bagi siri GP Joran 2009.
Nilai seunit Nautica di atas jalan ialah RM89,900 manakala RM40,200. Habuan ini pasti berbaloi untuk peminat setia dan peserta baru GP Joran 2009 yang juga bakal dianjurkan dengan skala kemeriahan berbeza - lebih besar, lebih banyak penaja serta lebih menghiburkan.
Pembabitan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) selaku penaja utama untuk tahun kelima berturut-turut itu diumumkan oleh Pengarah Urusannya, Datuk Syed Hafiz Abu Bakar, selepas menyerahkan dua unit Perodua Viva kepada juara GP Joran 2008 masing-masing Husin Awang (Kategori Laut) dan Zuraidi Mohamad (Kategori Pantai) di Balai Berita di sini, Selasa lalu.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mustapa Omar; Pengarang Eksekutif (Berita) Berita Harian, Mahfar Ali; dan Pengarang Joran/Projek Khas, Kamal Ahmad.
Setakat ini, Perodua sudah menaja empat Kembara dan empat unit lagi Viva sejak muncul sebagai penaja utama mulai 2005.
Kenderaan pacuan empat roda, Perodua Nautica sesuai digandingkan dengan aktiviti luar termasuk memancing yang memerlukan ruangan luas untuk membawa peralatan seperti tong ikan, joran, khemah serta perkakasan lain. Malah aksesori tambahan boleh dipasang di atas bumbung untuk mengusung bot gentian kaca.
Kenderaan terbaru keluaran Perodua itu cukup lasak untuk membawa pemancing meredah kawasan semak atau pantai mahupun laluan belukar dan ‘off-road’ lain.
Nautica digerakkan enjin 1500cc. Ia sudah pasti memberi pengalaman baru untuk mereka yang mengharapkan pemanduan yang selesa apabila mengharungi laluan selain jalan normal.
Perodua Viva pula model gantian bagi Kancil dan Kelisa membawa maksud ‘cantik
dipandang sepanjang hayat’. Ia didatangkan dalam tiga kapasiti enjin iaitu 660cc dan 850cc untuk enjin transmisi manual, manakala varian 1,000cc didatangkan dalam transmisi manual serta automatik.
Ketiga-tiga varian enjin itu dipadankan dengan aci sesondol berkembar (DOHC), Injap Boleh Ubah Berjujukan Dinamik (DVVT) dan suntikan bahan api elektronik (EFi) sekali gus menawarkan prestasi enjin lebih baik serta penjimatan minyak.
Syed Hafiz berkata, penajaan Nautica dan Viva itu sokongan Perodua dalam mempromosi aktiviti sihat yang berteraskan pelancongan kembara serta menjadi pemangkin kepada orang ramai bagi menyertai siri GP Joran 2009.
“Ia adalah satu aktiviti dan hobi yang sihat serta bersih yang dapat mengumpulkan ramai orang dari serata tempat selain menjadi tempat mereka bertukar-tukar pandangan. Saya melihat usaha Berita Harian bagi menganjurkan pertandingan berkenaan amat menggalakkan dan Perodua tidak ada sebab untuk tidak terus memberi sokongan.
“Ia juga adalah kesinambungan kerjasama syarikat kami (Perodua) dengan Berita Harian terhadap penganjuran aktiviti luar seperti pertandingan memancing GP Joran,” katanya
Sementara itu, Anthony Firdauz berkata, Berita Harian bercadang membesarkan skala penganjuran GP Joran tahun depan dengan bakal menyaksikan pembabitan lebih banyak syarikat bagi menaja pertandingan memancing berprestij itu.
“Nama GP Joran itu sendiri sangat kukuh di pasaran dan pastinya karnival GP Joran yang turut dimeriahkan dengan pelbagai hiburan artis popular, jualan dan promosi oleh syarikat penaja serta pelbagai acara yang mampu menarik kehadiran ratusan ribu pengunjung.
“Sebagai permulaan pada tahun depan, kita mensasar untuk mendapatkan penajaan berjumlah RM3 juta. Selain membawa pertandingan ini ke bandar kecil dan menganjurkan aktiviti pantai lain yang difikirkan sesuai untuk menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
SPESIFIKASI
Perodua Nautica
Perodua Viva 1.0L EZ |
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: