Friday, January 30, 2009

Jual spageti demi Gaza


WAJAH manis Kak Yan yang kini memakai tudung.

Azean Irdawaty ketepikan derita diri demi membantu kutipan Tabung NSTP Untuk Gaza, esok di Amcorp Mall

ANDAI diturutkan nasihat doktor, langsung dia tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti berat, namun melihat penderitaan mangsa kekejaman Israel di Semenanjung Gaza, semua kesakitan yang ditanggungnya diketepikan.

Malah daripada tutur bicaranya terkesan nada kekuatan dan kekentalan semangatnya untuk menjayakan acara amal, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 Untuk Gaza, 31 Januari ini.

Baru Khamis lalu, Azean Irdawaty selesai menjalani proses kemoterapi lanjutan barah payudara yang dideritainya sejak dua tahun lalu, namun jiwanya ampuh untuk turut serta dan membantu sekadar termampu.

Membaca penderitaan mereka yang sengsara di Gaza, didorong keprihatinan insan seni pelbagai lapangan menganjurkan pelbagai aktiviti amal untuk tujuan sama membuatkan Azean ingin turut bersama pada pagi 31 Januari itu.

“Selama ini Kak Yan hanya mampu berdoa memohon supaya Tuhan lindungi mereka yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

“Bagaimanapun, apabila melihat ramai anak seni melakukan pelbagai usaha untuk membantu mereka yang ditindas Kak Yan juga terdorong untuk bersama dalam usaha itu.

“Terfikir juga apa yang boleh Kak Yan berikan dan akhirnya menerbitkan idea untuk memasak spageti bolognese yang menjadi kepakaran Kak Yan selama ini,” kata Azean yang selesa membahasakan dirinya sebagai Kak Yan ketika berbicara.

Akui Azean, hidangan popular Itali itu acap kali menjadi sajian pilihannya dan tidak pernah sesekali dilupakan terutama pada majlis utama anjurannya seperti rumah terbuka Aidilfitri.

Air tangannya itu juga pernah dinikmati pakar masak terkenal, Chef Wan yang memuji keenakannya membuatkan dia berani untuk berkongsi kelazatan masakan itu pada acara amal yang akan diadakan di Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi.

Cadangan asal, kata Azean, dia ingin memasak beberapa masakan sampingan lain, namun disebabkan kudrat yang membatasi dia hanya menyediakan spageti bolognese.

“Kak Yan terlalu teruja membuatkan pada mulanya ingin menyediakan masakan seperti bihun siam dan beberapa menu lain. Namun, apabila dinasihatkan anak-anak yang bimbang akan kesihatan Kak Yan hanya spageti yang mampu Kak Yan sediakan pada hari itu.

“Memang penyediaan bahan untuk memasak spageti agak merenyahkan namun Kak Yan akan membuatnya sedikit demi sedikit. Bermula petang Jumaat, Kak Yan akan melakukan persediaan bahan berperingkat sebelum mula memasaknya pada waktu malam.

“Ketika ini, Kak Yan sudah mula terasa keseronokan bersama pada acara amal itu malah sudah merangka beberapa perancangan untuk menyediakan masakan pada hari itu,” katanya teruja.

Biarpun terpaksa memasak bersendirian kerana anaknya terikat dengan komitmen lain, namun Azean gembira kerana dapat melakukan sesuatu untuk membantu mangsa kekejaman rejim Zionis.

Baginya, sekali pun sumbangan itu kecil namun ia membawa makna yang tersendiri apatah lagi ia dilakukan dengan ikhlas atas nama kemanusiaan.

“Insya-Allah, Kak Yan akan berada di sana mulai jam 11 pagi. Bagaimanapun, jika jualan belum habis menjelang jam 2 petang, Benjy pula akan mengambil alih tugasan menjaga gerai yang kami namakan Air Tangan Azean Irdawaty.

“Ikutkan hati memang mahu berada hingga selesai acara namun Kak Yan sudah dinasihatkan doktor supaya tidak terlalu lasak kerana bimbang tekanan darah naik.

“Lagipun sudah lama Kak Yan tidak bersama kawan-kawan artis, jadi kesempatan yang ada dapat dimanfaatkan untuk bertanya khabar serta beramah mesra dengan mereka,” katanya.

Masih dalam rawatan

KHAMIS lalu, Azean baru selesai rawatan susulan kimoterapi apabila sel barah mula menjalar ke paru-parunya membuatkan dia terpaksa melakukan semula proses itu.

Selesai rawatan itu, Azean akan menjalani empat proses imbasan untuk seluruh anggota tubuh, tulang selain mamogram dan ultra sound. Proses imbasan itu terpaksa dilaluinya setiap tiga bulan untuk memastikan sel barah tidak merebak ke bahagian tubuh yang lain.

“Proses rawatan itu menyebabkan Kak Yan cepat penat. Malah berjalan pun perlahan-lahan kerana biasanya selepas 20 hingga 30 langkah, Kak Yan akan mula terasa mengah.

“Disebabkan itu kebanyakan masa Kak Yan dihabiskan di rumah. Memang bosan kerana sudah terbiasa dengan pelbagai aktiviti ketika sihat dulu tetapi apa boleh buat, sudah itu yang ditakdirkan untuk Kak Yan,” katanya perlahan.

Enggan mengalah kepada keadaan, Kak Yan sedang berusaha melawan penyakit yang menyerang tanpa belas kasihan itu. Sekali pun usaha itu menuntut perbelanjaan besar, Azean tetap mencari jalan di samping selalu memohon kepada Allah supaya dibuka pintu rezeki untuk dia meneruskan sisa hidupnya.

“Ketika ini Kak Yan hanya berserah kepada Allah. Pernah Kak Yan memberitahu doktor, jika sel barah ini merebak sekali lagi Kak Yan sudah tidak mampu berbuat apa lagi kerana semua wang simpanan yang ada sudah habis dibelanjakan untuk rawatan.

“Kak Yan sendiri pun sudah dua tahun tidak bekerja, jadi tiada sumber pendapatan tetap. Ikutkan hidup Kak Yan ketika ini daif malah untuk rawatan terakhir hari itu, Kak Yan menerima bantuan Yayasan Zakat.

“Alhamdulillah, anak Kak Yan, Elza Irdalynna sudah bekerja sebagai tenaga pengajar sambilan selain berlakon dan melakukan terjemahan skrip jadi pendapatannya sedikit sebanyak dapat membantu untuk perbelanjaan rumah.

“Benjy juga ada membantu namun Kak Yan perlu berjimat cermat kerana rawatan untuk penyakit ini sangat mahal. Kak Yan reda dengan apa yang Allah berikan dan selagi dibukakan jalan, Kak Yan akan berusaha untuk melawan penyakit ini,” katanya.

Biarpun tidak lagi berlakon, sesekali Azean memenuhi undangan untuk membintangi drama radio untuk menambah pendapatan.

“Sekurang-kurangnya dapat juga menghilangkan rasa bosan. Kalau di rumah, sesekali Kak Yan akan memasak untuk keluarga selain bermain sudoku dan teka silang kata bagi menghilangkan rasa sunyi dan bosan.

“Kak Yan juga banyakkan berdoa dan melakukan solat sunat supaya diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini. Dulu Kak Yan suka berkebun tetapi sekarang semua itu sudah tidak termampu lagi dilakukan.

“Mungkin melihat fizikal orang tidak akan percaya Kak Yan kerana sentiasa nampak segar dan bersemangat. Kak Yan tidak mahu dikasihani kerana itu hanya akan melemahkan Kak Yan untuk berjuang melawan penyakit ini,” katanya.

INFO: ABPBH 2008 untuk Gaza

  • Tarikh: 31 Januari 2009
  • Tempat: Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya
  • Masa: 10 pagi hingga 6 petang
  • Aktiviti: Jualan amal barangan peribadi artis, lelongan amal selebriti, jualan kek, sesi bergambar serta persembahan hiburan
  • Artis terbabit: Anita Sarawak, Datin Seri Tiara Jacquelina, Ramli MS, Rosyam Nor, Hattan, Faizal Tahir, Ning Baizura, Meet Uncle Hussain, Linda Onn, Erra Fazira, Jaclyn Victor, Scha, Fahrin Ahmad, Eja, Dayang Nurfaizah, Diana Danielle, Stacy, Chef Wan, Serina, Nabil, Zahid, Aaron Aziz, Joe Flizzow, Farish, Fouziah Gous, Farawahida, Farah Annuar, Aizat, Nubhan dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: