|
SELEPAS drama bersiri Front Page yang mendapat sambutan penonton ntv7, pengarah Kabir Bhatia kini muncul dengan buah tangan terbaru, Hartamas. |
Kisah kekeluargaan 26 episod ini adalah kesinambungan usaha sama Kabir bersama ntv7 untuk sekian kalinya selepas stesen berkenaan begitu berpuas hati dengan hasil sentuhan Khabir dalam menghasilkan drama urban untuk ntv7.
Pada Jumaat, 16 Januari lalu, wartawan Rap sempat mengunjungi lokasi penggambaran Hartamas di Taman Tasik Prima, Puchong.
Taman Tasik Prima adalah kawasan perumahan baru dan ia dipilih sebagai lokasi penggambaran kerana ia mempunyai atmosfera atau persamaan dengan kawasan penempatan di Hartamas.
Kabir yang menetap di Malaysia sejak 10 tahun lalu serta berpengalaman menghasilkan lebih 20 drama serta tiga filem, memilih Hartamas sebagai judul bagi memberi gambaran kehidupan rakyat Malaysia ketika ini.
Katanya, drama ini diilhamkan isterinya, Mira Mustaffa, tetapi skrip ditulis Elfie Palermo yang juga penulis skrip untuk siri Frontpage dan Hikayat Putera Shazlan.
"Drama genre situasi komedi ini membabitkan lebih kurang 20 kru produksi.
"Pembikinannya juga mengambil idea siri popular Hollywood, The 3rd Rock dan Ally McBeal. Ia dibintangi, Rashidi Ishak sebagai Johari, Ida Nerina (Amelia), Faezah Elai (Edrina) serta Rosdiana Rusdi (Juita).
"Saya pernah bekerja dengan semua pelakon misalnya Rashidi dalam filem Cinta dan Faezah (Sutra Maya). Malah, sejak dulu lagi, saya memang suka bekerja dengan Ida Nerina kerana dia pelakon hebat dan profesional.
"Manakala Diana, saya melihatnya sebagai pelakon baru yang patut digilap bakatnya," katanya.
Hartamas mengisahkan kehidupan ibu bapa tunggal bersama anak gadis masing-masing.
Johari, lelaki ringkas bekerja sebagai akauntan dan gembira dengan kehidupannya, mencecah 40-an. Anak gadisnya, Juita pelajar yang mahu mencuba pelbagai perkara baru yang biasa dilakukan remaja lain.
Manakala Amelia, pereka fesyen terkenal dan mempunyai empayar perniagaan namun berhadapan dengan masalah kerana anak perempuannya, Edrina seorang pemberontak dan enggan mewarisi perniagaannya.
Suatu hari, Johari dan Amelia ditakdirkan bertemu secara tidak sengaja dan mereka saling jatuh cinta sebelum mengambil keputusan berkahwin.
Bagaimanapun, timbul masalah apabila Johari dan anaknya terpaksa berpindah ke rumah Amelia selepas mereka bernikah.
Edrina tidak menyukai Juita menumpang di biliknya apatah lagi mereka sememangnya bermusuh di kolej.
Borak Lokasi
TAJUK: Hartamas
GENRE: Komedi situasi
PENGARAH: Kabir Bhatia dan Adlin Abidin
PRODUSER: Kabir Bhatia/Mira Mustaffa dan Francis Foo
EKSEKUTIF PRODUSER: Frank Lewis
PENULIS SKRIP: Elfie Palermo
KONTI: Syahrul
JURUKAMERA: Nor Hanisyam Mohamad
PENATAAN CAHAYA: Roslan Saad
AUDIOMAN: Tajuddin Md Rashid
BOOM MAN: Roslan
GRIP: Shahizi Othman
PROPMAN: Mohd Darul Nizzam
JURUSOLEK: Fynaz Daud dan Manja Azmi
WARDROBE: Norazma Akhir Mohd Yusoff dan Norjumaatie Mohd Yusoff
PENGURUS PRODUKSI: Along Ailina
PENOLONG PENGURUS PRODUKSI: Tuah Azmi
PEMBANTU PRODUKSI: Noor Azizan Abdul Samad
SIARAN: ntv7 (26 episod)
PELAKON: Rashidi Ishak, Faezah Elai, Ida Nerina, Rosdiana Rusdi
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: