Saturday, January 31, 2009

Serius semua perkara


Lucy Liu

Didikan keluarga menjadi pegangan kuat kepada pelakon filem Shanghai Noon berdarah Cina, Lucy Liu

SEMPENA sambutan Tahun Baru Cina Isnin ini, Zoom menyingkap kisah pelakon berdarah Cina, Lucy Liu, dilahirkan di Queens, New York, Amerika Syarikat kira-kira 40 tahun lalu.

Liu adalah antara aktres keturunan Cina yang memecah tembok dunia seni di Hollywood dan diterima ramai. Biarpun berada di puncak kerjayanya dan berjaya mencipta nama di kota raya penuh glamour serta mencabar, namun darah keturunan Cina yang mengalir di tubuhnya masih tebal, malah ia tetap menjadi kebanggaan si mata sepet ini.

Bagaimanapun, kejayaan yang dilakarnya bukan semudah memetik jari. Bahkan lumrah kehidupan apabila isu darah keturunannya masih dijadikan perbandingan dan persoalan sejak awal kemunculannya mengharungi kerjaya sebagai pelakon.

Itu satu konotasi klise yang harus diharungi, namun berbekalkan semangat yang kental, Liu berjaya mengharungi kegetiran itu dengan bijak hingga namanya tergolong sebaris dengan aktres Hollywood kelas A atau sekurang-kurangnya kerap diberi peluang berlakon dalam filem bajet tinggi.

Ia selari dengan ajaran keluarganya yang masih berbekas dalam jiwanya hingga kini iaitu untuk tidak mengambil sesuatu perkara dengan perspektif mudah dan asal boleh saja. Pesanan azimat itu terus dipegang utuh Liu yang berkongsi tarikh lahir yang sama dengan penyanyi Britney Spears pada 2 Disember.

GAYA seorang bintang.

“Saya bangga dengan warisan dan keturunan ini tetapi, ya, saya masih berada dalam keadaan yang berbahaya apabila istilah prejudis melatari kehidupan wanita Cina seperti saya.

Ini terutamanya dalam misi saya menggapai impian bergelar bintang Hollywood, malah meniti hidup seperti manusia lain.

“Lama kelamaan, saya sudah biasa dan lali dengan isu itu. Malahan saya cuba mengimbangi antara budaya Cina dan keinginan saya melangkaui pengalaman bergelar warga negara Amerika-Asia. Kadang-kadang saya sendiri keliru sama ada saya orang Asia atau Amerika Syarikat, lalu saya perlu mengenal pasti latar belakang sebenar diri ini,” katanya.

Menurutnya, dengan sikap yang sudah agak terbuka oleh penduduk Amerika, isu prejudis terhadap dirinya yang berketurunan Asia itu kini sudah tidak menjadi penghalang lagi tetapi dia masih berhati-hati kerana perkara itu boleh ditimbulkan pada bila-bila masa saja.

BERSAMA teman rapat juga dua pelakon utama Charlie's Angles iaitu Cameron Diaz (tengah) dan Drew Barrymore.

“Bagaimanapun, kini saya sudah biasa dan tidak menjadikan persoalan itu sebagai penghalang untuk saya terus mara bergelar pelakon. Saya berharap untuk hidup tanpa memandang ke belakang lagi.

“Jika orang berbaik dengan saya, kenapa perlu saya bermusuh dengan mereka,” katanya yang fasih bercakap dalam enam bahasa.

Kisah peribadi Lucy Liu memang jarang diperkatakan. Dalam satu temu bual yang pernah dijalankan beberapa tahun dulu, ada kemungkinan yang mengandaikan Liu seorang biseksual.

Laporan itu sebenarnya mahu menyindir sikap dan persepsi sesetengah pihak yang mudah membuat andaian tanpa mengetahui keadaan sebenar.

“Saya fikir orang selalu salah faham dengan siapa diri mereka yang sebenarnya. Mulut selalu bercakap dan saya beri contoh, si polan itu dan si polah ini dulunya wanita sejati, kemudian dia bertukar menjadi lesbian dan akhirnya kembali kepada azali kehidupan manusia.

“Ini lumrah kehidupan manusia yang selalu melabel dan menjaga tepi kain orang sedangkan cerita sebenar mereka sendiri tidak tahu.

“Adakalanya apabila kita jatuh cinta dengan seseorang, dek kuasa cinta itu mungkin anda sendiri tidak memikirkan soal jantina atau apa natijah yang akan terjadi di kemudian hari. Saya rasa, kalau nak dijadikan cerita, saya bercinta dengan wanita, setiap orang akan terus memperkatakannya. Tetapi akan akan jadi, apabila saya bercinta dengan lelaki, saya rasa semua orang tidak ambil peduli,” jelasnya lagi.

Dilahirkan dalam keluarga kecil bersama abangnya yang dikenali sebagai, Alex Liu, pelakon Charlie’s Angels ini mengakui dirinya sangat berbilang kerja.

Katanya, dia boleh melakukan 10 perkara dalam satu masa. Selain berlakon, Liu juga aktif dengan kerja amal, mempunyai galeri lukisan yang mempamerkan hasil seninya.

Liu pernah menderma hasil jualan lukisannya kepada UNICEF. Pada 2001, Liu pernah menjadi jurucakap untuk Lee National Denim Day yang dalam misi membantu penyelidikan dan pendidikan kanser payu dara. - Agensi

PROFIL: Lucy Liu

Nama penuh: Lucy Alexis Liu

Tarikh lahir: 2 Disember 1968

Lahir: Queens, New York, Amerika Syarikat

Drama lakonan: Beverly Hills musim kedua, ER, LA Law, Home Improvement, Ugly Betty, Cashmere Mafia, Dirty Sexy Money.

Antara filem: Jerry Maguire, Kill Bill: Vol 1, Charlie’s Angels: Full Throttle, Charlie’s Angels, Shanghai Noon, 3 Needles.

INFO: Lucy Liu

  • Fasih berbahasa Mandarin, Inggeris, Itali, Sepanyol dan Jepun

  • Mula belajar bahasa Inggeris di usia lima tahun.

  • Tinggal bersama abang dan isteri abangnya di New York.

  • Berkongsi tarikh lahir yang sama dengan penyanyi kontroversi Britney Spears pada 2 Disember.

  • Namanya disebut di dalam lagu Hey Ya nyanyian kumpulan Outkast.

  • Berkawan baik dengan dua pelakon utama Charlie's Angels iaitu Cameron Diaz dan Drew Barrymore.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: