Thursday, January 29, 2009

'Sudut apa saya dikatakan feminin?'


MENJADI selebriti bermakna banyak perkara harus dikorbankan.

Setiap gerak-geri, perlakuan mahupun penampilan diri dari hujung rambut hingga hujung kaki pastinya meraih perhatian masyarakat.

Penyanyi bersuara lantang, Deja Moss pernah dicemuh kerana penampilannya sebaik pulang dari menunaikan fardu haji kira-kira empat tahun lalu dikatakan tidak bersesuaian dengan imej seorang wanita Islam yang sudah bergelar hajah.

Kini, tempiasnya pula dirasai penyanyi berbakat besar, Fazli Zainal apabila penampilan terbarunya tampak feminin bagi seorang lelaki mendapat kritikan banyak pihak.

Perkara ini mungkin tidak dibangkitkan jika Fazli dikenali sebagai artis berimej nakal atau liar.

Namun, kerana keperibadiannya yang sopan selain pernah menjejakkan kaki ke Makkah sebanyak dua kali untuk menunaikan umrah, perubahan yang dilakukan pada penampilannya itu dianggap tidak wajar.

Pun begitu, Fazli berkata, dia tidak bermaksud menyinggung mana-mana pihak kerana perubahan yang dilakukan sekadar menuntut keinginan berfesyen.

"Saya tidak nampak dari sudut apa penampilan saya dikatakan feminin. Kalau membabit pasal isu kening, saya tidak rasa itu sebagai feminin.

"Saya punya seorang teman yang baru pulang dari Jepun dan dia memaklumkan ramai lelaki di Korea mencabut kening mereka dan cukur bulu kaki bukan kerana mahu kelihatan feminin, tetapi obses kepada penampilan.

"Apabila hal ini diperbesarkan, ada pihak pertikaikan soal halal dan haram. Saya juga tidak nafikan hukum Tuhan.





"Tetapi kalau hendak bercakap soal halal dan haram, janganlah melihat pada perkara yang kecil saja kerana banyak lagi masalah yang lebih besar harus diberi tumpuan.


"Sebagai manusia biasa, saya tidak terlepas melakukan kesilapan dan terkadang itu terpanggil melakukan percubaan. Mungkin pada saya itu perkara biasa, tetapi sensitif bagi orang luar.

"Nyatalah, dalam apa jua yang dilakukan saya tidak mampu memuaskan hati semua pihak.

Pun begitu, saya mengakui kesilapan dan mengambil segala teguran secara positif selain berusaha memperbaiki diri," katanya.

Menyorot perkembangan seninya, pemuda berasal dari Johor yang melonjak menerusi lagu Harapan, kini bagaikan tidak sabar untuk menanti kemunculan single terbarunya, Kalbu.

Lagu ciptaan Azlan Abu Hassan itu akan dimuatkan dalam album keduanya dan Fazli mengharapkan ia mempunyai momentum yang sama atau lebih baik dari sejarah yang dilakar Harapan untuk terus mempertingkatkan kerjayanya..

"Sebagai permulaan, saya akan mengedarkan single ini kepada semua pihak stesen radio tempatan sebelum 1 Februari.

"Kalbu sebuah lagu cinta yang boleh dikaitkan dengan mereka yang bercinta atau putus cinta dan saya melihat lagu itu sesuai dengan sambutan Hari Kekasih.

"Kalau ikutkan perancangan, album kedua saya sepatutnya berada di pasaran awal tahun ini namun kerana krisis ekonomi yang berlaku sekarang ini sedikit sebanyak menjejaskan syarikat U;Quotient Records Sdn Bhd yang bertanggungjawab menerbitkan album saya.

"Seperti yang pernah saya jelaskan sebelum ini, hiburan bukanlah tumpuan atau urus niaga utama syarikat itu.

"Oleh itu, pembikinan album kedua terpaksa di tunda seketika. Bagaimanapun, kami tetap berusaha supaya ia dapat dipasarkan tahun ini," katanya.

Lagu lain yang turut dimuatkan album album keduanya ialah Ratapan Syawal ciptaan Hazami, Suara Hati (Sharon Paul) dan Lambaian (Sharon Paul) yang turut dipilih sebagai lagu tema Tabung Darfur.

Selain komposer tempatan, dua lagu ciptaan komposer Indonesia ciptaan Tengku Shafik dengan satu daripadanya berjudul Lelaki Sempurna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: