Friday, January 30, 2009

Kerapu mega dari lubuk rahsia



Sebanyak 10 ekor kerapu seberat 5 hingga 14 kilogram didaratkan

LUMUT: Lazimnya setiap awal tahun adalah masa terbaik memancing di Pantai Barat Semenanjung memandangkan ketika itu musim ikan sudah bermula dengan keadaan cuaca amat baik.

Justeru, baru-baru ini penulis bersama sembilan rakan turun memancing di laluan kapal Pulau Sembilan dengan misi utama memburu spesies kerapu mega. Kami bertolak dari rumah Wak Lotfi di Klang jam 5 pagi menuju ke sini.

Jam 11 pagi kami meninggalkan jeti Kampung Baru menuju ke Pulau Pangkor bagi mendapatkan bekalan umpan dan ais. Setelah dua jam meredah lautan akhirnya bot Happy Star berada tepat diatas lubuk pertama kawasan karang. Kedalaman air mencecah 80 meter sementara arus ketika itu bergerak sederhana perlahan. Umpan hirisan sotong dan kembung segera diturunkan. Rahman yang memancing di belakang bot terlebih dulu mendapat lesen apabila menaikkan dua ikan cermin serentak seberat 2 kilogram (kg) tiap seekor. Madon di sebelah beliau pula menerima sentapan. Joran mula membengkok ke bawah ditarik ikan. Akhirnya seekor aruan tasik bersaiz 4 kg ditewaskan.

Dua jam memancing di situ, pelbagai spesies ikan diperolehi. Namun kami belum lagi merasa aksi pertarungan yang sebenar. Menjelang malam, kami memancing di Tukun Karang yang menjadi lubuk rahsia tekong. Menurut tekong, lubuk itu terkenal dengan spesies kerapu mega. Tekong mengarahkan hanya kekili elektrik boleh digunakan. Namun begitu, kekili multiplier bersaiz besar diluluskan dengan syarat dipadankan dengan set joran yang keras. Perambut tangsi pula berkekuatan 100 paun atau lebih sepanjang dua depa disyorkan manakala mata kali bersaiz 5/0 berupaya menahan asakan sang kerapu mega. Hanya sotong hidup atau kembung segar digunakan sebagai umpan.

Zainal memulakan cabaran apabila menaikkan kerapu seberat 6 kilogram menggunakan kekili elektrik. Tersenyum lebar rakan dari Klang ini. Kemudian giliran Haji Zahir dengan spesies sama seberat 8 kilogram. Mat dan Madon yang duduk di posisi depan tidak kurang hebatnya bila menewaskan dua kerapu berskala 10 kilogram tiap seekor. Tekong Ah Teong juga mengambil peluang memancing. Beliau menggunakan kembung seekor untuk menjerat kerapu. Selang lima minit menunggu, umpannya sudah dilarikan mangsa.

“Kerapu! Kerapu! Sediakan gancu,” kata tekong memberi arahan. Akhirnya seekor kerapu bersaiz 12 kg terkulai di tangan beliau.

Rahim pula terpaksa berpuas hati dengan dua ekor kerapu masing-masing 5 dan 6 kg. Suasana sepi tiba-tiba menjadi riuh apabila joran milik Jantan melentur menyembah air. Ia dihenjut mangsa ke dasar. Mangsa memberi tentangan sengit untuk melepaskan diri. Akhirnya beliau tersenyum puas apabila seekor kerapu seberat 14 kilogram dijinakkan.

Adegan bergasak dengan kerapu berterusan tanpa henti hingga jam 4 pagi sebelum suasana sepi semula. Semalaman di lubuk laluan kapal memang tidak menghampakan. Dengan teknik pancing dasar kami menewaskan 10 kerapu mega dengan bersaiz 5 hingga 14 kilogram tiap seekor.

Awal pagi, kami mengubah haluan ke barat Pulau Sembilan untuk mengintai jenahak. Umpan sotong yang dicandat segera dilabuhkan. Ikan terus menyambar sebaik saja umpan menyentuh dasar ikan pertama terdampar di lantai bot adalah jenahak kira kira 5 kilogram yang dipancing Mizi.

Terkejut dengan kehadiran jenahak, semua pemancing berlumba-lumba menurunkan umpan. Sentapan demi sentapan berlaku menyebabkan pemancing tidak memang tangan melayan ikan. Jenahak, merah, tambak, ibu kerisi dan pari adalah spesies yang kami tewaskan di situ. Namun jenahak paling banyak dinaikkan.

Trip memancing sehari semalam ini ternyata berbaloi dan memberi kepuasan yang sukar digambarkan. Terbukti spesies ikan gred A masih banyak berkeliaran di perairan ini termasuk kerapu mega yang menjadi idaman kaki pancing. Malam itu kerapu menjadi hidangan dengan menu masak tiga rasa. Berminat memancing kerapu mega, hubungi: 012-2116149.

PETUA

UNTUK memancing di perairan Pulau Sembilan, anda perlu mencandat atau menyauk sotong waktu malam kerana spesies ikan di perairan ini lebih berselera dengan umpan sotong hidup dan segar saja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: