Saturday, January 31, 2009

Temui Ogy dan Dafi di Terbuka FINAS hari ini


PROGRAM Hari Terbuka FINAS berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 2 Februari ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada orang ramai.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat, Mohd Fazli Abd. Aziz, berkata Hari Terbuka FINAS ini adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih dekat peranan FINAS dalam agenda pembangunan industri filem Malaysia.

Ia juga adalah kesinambungan Program Merakyatkan Filem yang dijalankan FINAS sejak dua tahun lalu. Program ini juga diharapkan dapat mengukuhkan hubungan FINAS dengan industri serta orang ramai".

Antara aktiviti Hari Terbuka FINAS ialah pameran dan jualan produk perfileman, tayangan filem, sesi uji bakat lakonan, sesi bersama artis dan taklimat kerjaya perfileman.

Uji bakat lakonan

Pengunjung berpeluang melihat dan mencuba sendiri peralatan perfileman seperti kamera, kemudahan masuk suara (dubbing) serta mencuba bakat lakonan dengan bimbingan pengarah tersohor seperti Ahmad Idham, Pierre Andre dan dimantapkan dengan tunjuk ajar pelakon Ogy Ahmad Daud, Elie Suriaty, Vanida Imran dan Nanu Baharudin.

Peserta sesi lakonan yang terpilih akan ditawarkan mengikuti Bengkel Lakonan FINAS dan disenaraikan sebagai Bakat Baru di portal Sinema Malaysia.

Sesi uji bakat ini adalah peluang keemasan kepada mereka yang berbakat dan minat secara serius dalam lakonan. FINAS juga mengundang beberapa produser yang aktif untuk menilai sesi uji bakat tersebut.

Peserta terbuka kepada warga negara Malaysia tanpa had umur digalakkan menyertai uji bakat itu. Peserta dikehendaki melakonkan senario yang disediakan oleh FINAS menggunakan dialog atau skrip sendiri.

Sementara itu, gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Persatuan Pengeluar Filem (PFM) turut membuka ‘booth’ yang dimeriahkan dengan aktiviti bersama artis dan jualan produk. Persatuan terbabit memberi penerangan potensi kerjaya dalam lapangan masing-masing kepada golongan sasaran terdiri dari pelajar perfileman.

Pameran jentera motor filem ’Evolusi KL Driff 2’ termasuk Lamborgini turut diadakan bagi mempromosikan filem arahan Shamsul Datuk Yusof.

Menambah meriah Hari Terbuka FINAS ialah sesi Bersama Artis yang membariskan pelakon seperti Dafi, Jehan Miskin, Liana Jasmay, Riezman Khuzairi, Irma Hasmie, Aron Aziz, Farid Kamil dan Kenchana Dewi.

Filem Histeria, Los & Faun dan Cicak Man 2: Planet Hitam serta tiga dokumentari terbitan FINAS (Making The Cut, Pipe Dreams dan The Woodsmiths') juga ditayangkan secara percuma di Pawagam Mini P. Ramlee.

"Finas berharap orang ramai dan penggiat industri khususnya dapat meluangkan masa mengikuti aktiviti yang dirancang sempena Hari Terbuka FINAS. Bagi memberi ruang kepada orang ramai dan warga filem memberi pandangan dan cadangan, kita telah menyediakan kaunter khas bagi tujuan tersebut sepanjang tempoh program berlangsung", tambah Fazli.

1 comment:

  1. tak payah nak kutuk2,tak payah nak hina menghina.....pikir diri kita sebelum pikirkan hal orang. bukan kuasa kita yang nak menghukum..
    baiknya diri kita tak pasti cium syurga... jahatnya orang tak pastinya di bakal api neraka.
    ambik apa yang dimata bawa le ke hati_nilaikan dan fikirkan... harap2 dapat bentuk diri sendiri.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: