BANGI - "Senang duduk sini bang, sebab free tak payah nak bayar apa-apa. Kemudahan elektrik, air orang tempatan beri, kami bayar sahaja."
Demikian pengakuan Andi, salah seorang penduduk koloni pendatang asing yang tinggal di hutan berhampiran Seksyen 5, Bandar Baru Bangi di sini. Dia mengakui selesa tinggal di kawasan pencerobohan itu tanpa sebarang gangguan.
Katanya, walaupun lokasi tempat tinggal itu agak tersorok, mereka menerima kemudahan bekalan air yang disalurkan oleh penduduk berhampiran.
"Setiap bulan kami bayar kepada dia. Elektrik pula disalurkan oleh salah seorang penduduk di sini yang ada generator. Jadi kita kongsi ramai-ramailah," katanya.
Seorang lagi penduduk, Aril berkata, mereka membina rumah tersebut pada mulanya sebagai rumah kongsi sahaja.
"Tetapi rumah kongsi ini makin membesar dan ramai pula yang duduk di sini. Kami tak tahu nak tinggal di mana lagi sebab tak mampu nak sewa rumah lain.
"Maklum sajalah sekarang kerja tak ada. Jadi lebih baik kami tinggal di sini," katanya.
Bercerita lanjut, Aril berkata, rata-rata yang tinggal di kawasan koloni itu sudah diberhentikan daripada bekerja sebagai buruh binaan dan mereka terpaksa mengutip besi buruk serta botol plastik untuk menyara kehidupan.
Kosmo! semalam melaporkan tentang kewujudan sebuah koloni pendatang asing yang tinggal di hutan berhampiran Seksyen 5, Bandar Baru Bangi yang rata-ratanya dihuni oleh penduduk berasal dari kepulauan Flores dan Jawa Timur.
Kawasan itu dihuni kira-kira 100 warga asing yang berlindung di bawah 30 buah rumah berbumbung zink dan berdinding kayu nipis. Ia dibina di kawasan yang dipercayai tanah rizab kerajaan.
apa lah nak jadi dengan malaysia ni
ReplyDeleteharap pihak berkuasa ambillah tindakan jangan besok sudah terhantuk baru bak tengadah
ReplyDeletehairan betul macammana boleh pihak berkuasa tidak ambil tindakan kalau betul tanah tu rizab kerajaan
ReplyDelete