|
|
|
|
|
|
|
|
DI SAAT rakyat Palestin sedang bertarung nyawa dengan rejim Zionis, hampir seluruh dunia membantah peperangan yang telah membunuh beribu-ribu nyawa itu.
Namun, bantahan itu seolah-olah diabaikan Israel. Mangsa-mangsa perang hanya mampu mendapat simpati daripada masyarakat dunia.
Tidak menyerah kalah, rata-rata pertubuhan Islam dunia, agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuklah Malaysia sendiri, membuat majlis amal mengumpul dana untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin selain memprotes peperangan yang membawa kehancuran itu.
Bermula esok, Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia pula akan menganjurkan Majlis Doa Buatmu Palestin. Acara ini akan berlangsung selama dua hari bertempat di Laman Sari, Istana Budaya dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekkwa) untuk menghulurkan bantuan dana dan doa kepada pejuang-pejuang Islam Palestin.
Menurut Pengerusi Yayasan tersebut, Erma Fatima, majlis ini adalah salah satu cara menunjukkan kesatuan rakyat Malaysia dalam merasai penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza.
"Doa Buatmu Palestin adalah untuk memberi sokongan dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap saudara kita di Gaza.
"Selain itu majlis ini juga merupakan bantahan dan kutukan ke atas kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis," katanya.
Bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 malam, setiap detik masa itu akan diisi penuh dengan pelbagai acara seperti solat hajat, karnival jualan, mengaji, zikir dan selawat, bacaan puisi, konsert Palestin serta pameran.
Tambah Erma, terdapat juga karnival jualan sebanyak 50 buah gerai di pekarangan Istana Budaya oleh artis-artis seperti Rebecca Nur Islam, Maya Karin, Umie Aida, Linda Onn, Rubiah Suparman, Enot, Ayati Tasrip dan Ramli (Mohram).
Pereka-pereka fesyen terkenal seperti Albert King, Micheal Ong, Calvin Thoo dan Jovian Mandagie, Razwan Radzwill dan Azura. Selain barisan di atas, banyak lagi artis juga akan hadir membuat jualan di gerai masing-masing.
"Selain itu, lelongan barangan selebriti turut diadakan. Kesemua hasil keuntungan itu akan dimasukkan ke Tabung Kutipan Palestin.
"Pada hari kedua, selepas sembahyang Maghrib, kami akan mengadakan solat hajat bersama Datuk Seri Shafie Apdal, artis-artis serta tetamu-tetamu jemputan di lobi Istana Budaya dan ia akan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara," jelas Erma.
Solat hajat tersebut juga akan dipaparkan di skrin yang akan diletakkan di pekarangan karnival. Bacaan Yasin dan surah-surah turut dibacakan oleh artis-artis serta tetamu-tetamu jemputan.Orang ramai dijemput hadir menyokong usaha ini dan tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pengunjung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: