Thursday, January 29, 2009

Faezah bawa watak minah rock


UMPAMA langit dan bumi, begitu diibaratkan perbezaan watak antara dua pelakon muda, Faezah Elai yang memegang watak sebagai Edrina manakala Rosdiana atau Diana melalui peranannya sebagai Juita.

Yang nyata, perbezaan mereka itulah antara tarikan utama dan menjadikan jalan cerita ini tambah menerujakan dan harus ditonton.

Faezah yang mendapat kritikan hebat sewaktu kemunculannya kali pertama di layar perak menerusi Otai, membuktikan kemampuannya selepas membintangi drama Sutera Maya juga arahan Kabir.

Jika dalam Sutera Maya, Faezah perlu menjiwai watak gadis tomboi, Hartamas pula diberi kepercayaan membawakan watak minah rock.

"Berbeza sangat kerana dalam Sutera Maya ada turun dan naik dalam permainan watak saya. Adakalanya, penonton dapat melihat Maya Sofea emosional dan ada masanya terlalu berani.

"Namun dalam Hartamas, ceritanya memang kelakar habis. Saya memegang watak Edrina, seorang gadis sempoi dan berimej 'gothic', tetapi bukan tomboi seperti dalam Sutra Maya.

"Pun begitu, tetap ada cabaran dalam membawakan watak ini yang mana saya perlu bermain gitar untuk menunjukkan ketaksuban saya terhadap muzik. Tentu sekali ia satu tugasan mencabar apatah lagi saya memang tidak pandai main gitar langsung.

"Justeru, sebagai persediaan mendalami watak ini saya belajar asas bermain gitar iaitu mengenali kod muzik dengan bapa saudara saya, Jamal Ariffin," katanya.

Mengidamkan watak yang lebih elegan, di dalam Hartamas Edrina seorang pelajar pintar bermusuhan dengan Juita, gadis cantik dan serba boleh yang akhirnya menjadi saudara tirinya apabila ibu bapa mereka berkahwin.

Memaparkan pertelingkahan antara mereka, Diana berkata, banyak babak yang memerlukan mereka bergaduh dan bertengkar.



"Bertentangan dengan sifat Edrina, Juita pula seorang yang bijak dan mementingkan kesempurnaan. Bilik harus kemas, dari hujung rambut hingga hujung kaki mestilah terurus dan sedondon.



"Disebabkan penampilannya terlalu feminin dan manja, secara tidak langsung dia nampak gedik. Sikapnya itu tidak disukai Edrina dan keadaan bertambah parah apabila terpaksa berkongsi bilik apabila ibu bapa mereka berkahwin.

"Justeru, setiap hari mereka bertengkar. Bahkan terdapat beberapa adegan menunjukkan saya dibuli Faezah. Apapun, saya seronok dapat bergandingan dengan Faezah walaupun di dalam drama kami bergaduh di luar hubungan kami baik kerana dia seorang yang kelakar," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: