|
BUKAN mudah memastikan setiap program kanak-kanak diterima masyarakat apatah lagi apabila sesuatu program yang mula bertapak dan kian diminati menjadi sasaran kritikan segelintir pihak. |
Sebagai stesen televisyen satelit yang mendapat tempat di kalangan pelbagai lapisan masyarakat, Astro sudah pasti menyiarkan program terbaik untuk tatapan penonton setianya.
Tidak dinafikan menerusi saluran Astro Ceria (Saluran 611) stesen berkenaan cukup sinonim dengan kanak-kanak sekali gus membayangi program popular antarabangsa seperti Cartoon Network, Disney Channel dan Nickelodeon.
Boleh dikatakan saluran Astro Ceria cukup dekat dengan kanak-kanak apabila menumpukan penyiaran dan penerbitan program untuk tontonan seisi keluarga.
Sejak beroperasi tiga tahun lalu, bermula di Indonesia pada 16 April dan Malaysia, 31 Ogos, Astro Ceria semakin menambat hati dan diminati penonton di Malaysia.
Bermula dengan program Gerak Geri Gasing terbitan produksi Astro, saluran berkenaan menyiarkan siri animasi dan kartun termasuk penambahan drama seperti Geng Bas Sekolah, Kapten Boleh dan Hikayat Putera Shazlan.
Pengurus Saluran Astro Ceria, Azlin Reza Azmi, berkata jumlah penonton yang mengikuti program daripada saluran ini cukup memberangsangkan membabitkan penonton di bandar dan pedalaman serta paling penting masih menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa utama sama ada diterjemah atau sebaliknya.
Katanya, selain Gerak Geri Gasing, program Tom Tom Bak yang dihoskan Aznil Nawawi turut diminati ramai.
“Sebanyak 20 peratus kandungan terbitan tempatan menjadi nadi kepada Astro Ceria dan jika tiada aral ia akan meningkat dari semasa ke semasa. Di samping program tempatan, siaran kartun yang dibeli dari negara luar membabitkan rancangan kanak-kanak prasekolah seperti Thomas And Friends, Postman Pat dan Roary The Racing Car turut mendapat sambutan tersendiri.
“Selain itu kami turut menyiarkan kartun dengan genre drama seperti Nintama Rantaro dan Hagemaru. Begitu juga kartun bercorak aksi seperti Digimon, Detective Conan dan Ultraman,” katanya.
Pelbagai program dan aktiviti diatur untuk memberi peluang kepada penonton serta pelanggan Astro merasai sendiri pengalaman menjadi sebahagian daripada warga saluran Astro Ceria. Ia termasuk menganjurkan beberapa program membabitkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Sebagai contoh Karnival Astro Ceria Run for Fun yang diacarakan Astro Ceria selama dua tahun berturut-turut iaitu acara maraton terbesar di Malaysia khusus buat kanak-kanak. Astro Ceria meneruskan kegemilangan tradisi dua tahun lalu itu apabila meneruskan penganjuran karnival dengan pelbagai aktiviti menarik di samping penyertaan selebriti terkenal tanah air.
Karnival yang dikenali sebagai Sukaria Ceria yang dipersembahkan jenama minuman kultur popular, Vitagen dianjurkan di dua lokasi berbeza iaitu di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Ahad (22 Mac) dan Pusat Ekuestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur (Ahad, 29 Mac).
Selaras dengan matlamat Astro untuk menjadi peneraju sebuah komuniti sihat dan harmoni yang bukan terhad kepada generasi muda, bahkan untuk semua lapisan masyarakat.
“Matlamat karnival ini untuk memberi platform bagi menjana daya kreativiti kepada golongan muda khususnya untuk meluahkan bakat terpendam dan potensi yang ada secara bebas melalui pengawasan yang sewajarnya.
“Selain itu, inilah masa untuk mendekatkan diri, beramah mesra dan bertemu dengan selebriti kesayangan ramai siri drama Kapten Boleh, Hikayat Putera Shazlan, Zoey, Mat Kacau dan Aznil Nawawi. Bintang Akademi Fantasia seperti Zahid, Mila, Nadia, Shawal dan Riz dijangka tampil menjayakan persembahan,” kata Azlin.
Beberapa aktiviti menarik turut berlangsung seperti pertandingan Pakaian Beragam dan Zon Ceria. Pertandingan terbuka kepada semua warganegara Malaysia berusia 3 hingga 14 tahun membabitkan penyertaan secara percuma.
Bagi pertandingan pakaian beragam, ia membabitkan penyertaan seisi keluarga dan kostum kreatif yang dibuat sendiri serta dinilai menarik akan berpeluang untuk memenangi kereta Naza Citra.
Pelbagai hadiah menarik bernilai hampir RM200,000 antaranya kereta Naza Citra 2.0 (A) GS, hamper barangan permainan, set permainan Sony PlayStation 3, PlayStation Mudah Alih, basikal dan komputer riba. Maklumat lanjut mengenai karnival layari laman web www.astro.com.my/astroceria.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: