Thursday, January 29, 2009

Usia bukan penghalang


Badri

Bintang My Starz LG, Badri mahu ikut jejak langkah Faizal Tahir dan Anuar Zain

NAMANYA mula dikenali tatkala menyertai program pertandingan nyanyian kelolaan TV3, My Star LG, pada 2007. Walaupun tidak memenangi pertandingan itu, tetapi Badri Ibrahim tetap mengatur langkah dalam dunia seni, setapak demi setapak, untuk bergelar penyanyi berjaya.

Bermula agak lambat iaitu pada usia 28 tahun, namun Badri tidak menjadikannya sebagai halangan untuk muncul artis cemerlang. Bagi lelaki yang sudah pun bergelar suami ini, usia dan status seseorang artis kini bukan lagi menjadi kayu pengukur kepada kejayaan seseorang penyanyi.

"Ramai juga penggiat seni kita hari ini yang bermula agak lewat. Faizal Tahir umpamanya menyertai One In A Million ketika usianya 27 tahun. Kerjayanya memuncak dua tahun kemudian. Begitu juga dengan Anuar Zain apabila dia melakukan kemunculan semula. Lihat di mana mereka sekarang? Pada usia 30-an, mereka muncul penyanyi lelaki yang dihormati ramai," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini.

Hakikat itu menguatkan lagi azam dan semangat penyanyi ini untuk turut mengorak langkah maju sebagaimana dua penyanyi popular tadi. Katanya, asalkan seseorang penyanyi mampu tampil bersama produk yang hebat, pasti peminat tetap memberikan perhatian. Cara seseorang artis memasarkan diri, serta kreativiti tinggi yang dimiliki, pasti bisa membantu penyanyi terbabit melonjakkan nama dalam bidang seni.

Justeru, Badri tidak tergesa-gesa semata-mata memastikan dirinya muncul dengan album. Katanya, biarlah lambat, asalkan dia berupaya mendapatkan lagu terbaik untuk dirakam.

"Begitupun, tidak bermakna saya akan mengambil masa sehingga lima atau enam tahun untuk membikin sepenuhnya album sulung. Ketika ini pun, sebanyak empat lagu sudah pun dirakam. Single pertama saya, Selamanya, juga sudah diperdengarkan di radio. Sayang sekali ia tidak begitu mendapat perhatian apabila terpaksa bersaing hebat dengan Sampai Syurga dendangan Faizal," katanya.

Apatah lagi apabila lagu itu sendiri dicipta oleh Audi dan Faizal, dua insan yang turut menghasilkan Sampai Syurga. Lalu, bunyinya juga seakan-akan lagu popular Faizal yang berjaya melangkah ke final Anugerah Juara Lagu Ke-23, baru-baru ini.

Tidak mahu beralah, Badri kini memasang impian melihat single kedua, Bagaikan Roda, yang turut dicipta Audi Mok manakala lirik oleh Rafidah 3R untuk menjulang namanya. Lagu berkenaan turut terpilih sebagai lagu tema rancangan Jom Ronda siaran TV3.

"Harap-harapnya, dengan tersiar single kedua, peminat akan terus mengingati saya sebelum saya muncul dengan album penuh. Jika lama-lama tidak mempunyai sebarang lagu baru, orang ramai juga akan mula lupa pada seseorang penyanyi. Lebih-lebih lagi penyanyi yang baru hendak bertapak, seperti saya," katanya.

Menurut jejaka peramah ini, selain Audi, dia juga bakal merakamkan lagu ciptaan Azmeer dalam masa terdekat. Katanya, setelah mencuba lagu gubahan Audi yang banyak dipengaruhi muzik moden, ilham cipta Azmeer pula bakal menguji keupayaannya dalam menyanyikan rentak lebih kemelayuan.

Pada saat dia berusaha memahat nama sebagai seorang penyanyi, Badri sebenarnya tidak pernah mengabaikan kerjanya di jabatan korporat sebuah syarikat gergasi negara ini. Jelasnya, dia amat beruntung apabila majikan cukup memahami minat mendalamnya terhadap dunia muzik.

"Pesan ketua saya, asalkan tidak menjejaskan kerja, dia tidak kisah seandainya saya juga ingin mengejar kejayaan dalam seni. Saya faham, siapalah yang hendak mendengar rungutan kakitangan lain, sekiranya prestasi saya merosot apabila asyik memberikan perhatian kepada nyanyian?

"Saya sendiri tidak terfikir untuk berhenti kerja pada ketika ini. Apatah lagi, sudah begitu lama saya bekerja dengannya. Dia seorang ketua yang paling memahami," ujar Badri yang mengakui kepenatan apabila terpaksa mengimbangi waktu antara kerja harian dan karier muzik.

Namun dia tidak kisah walaupun sering kali tercungap-cungap apabila terpaksa berkejar ke sana ke mari, melakukan dua perkara pada masa yang sama kerana menyedari nyanyian juga bidang yang cukup dicintai. "Ia penat yang menyeronokkan," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas pencalonan awalnya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Badri melahirkan kegembiraan apabila akhbar popular ini turut mengiktiraf produk dan kehadirannya dalam persada seni.

Penyanyi ini berasakan, anugerah sedemikian meninggalkan impak cukup besar kepada seseorang artis. Paling tidak, katanya, peminat akan lebih mengenali seseorang artis baru apabila penyanyi atau pelakon terbabit disenaraikan hingga ke peringkat akhir.

"Saya amat berharap, tahun ini saya akan dapat bersama-sama artis lain memeriahkan acara kemuncak di Genting Highlands, April nanti. Ia bakal menjadi pengalaman pertama saya di ABPBH," kata Badri yang kini banyak menjayakan persembahan majlis korporat.

INFO:

  • PENYANYI ini turut merakamkan sebuah lagu duet bersama Nur Fatima. Lagu berkenaan diharapkan dapat diketengahkan pada musim Aidilfitri nanti berikutan liriknya yang menyentuh soal kepulangan ke desa.

  • BADRI meletakkan bentuk muziknya di tengah-tengah antara gaya muzik Faizal Tahir dan Anuar Zain.

  • DIA berazam untuk mempopularkan single demi single nyanyiannya sepanjang 2009.

  • MY Star LG ialah satu-satunya program pertandingan realiti disertai Badri. Dia menyertai rancangan itu kerana menyedari kehadiran sekumpulan pemuzik terkemuka yang mengiringi pesertanya.

  • BADRI berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu mengembangkan industri muzik tanah air yang semakin suram ketika ini. Katanya, syarikat korporat kelihatan lebih berminat menaja artis luar negara berbanding penyanyi tempatan.

  • MENGELUARKAN sendiri belanja menerbitkan album, Badri berkata, hanya artis yang benar-benar inginkan kejayaan dalam seni sanggup bersusah-payah berbuat demikian apabila tidak banyak syarikat rakaman yang kini sanggup menyediakan peruntukan bagi penerbitan album penyanyi naungan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: