Friday, January 30, 2009

Peluang miliki koleksi peribadi artis


BERSAMA sebahagian koleksi yang akan dijual kepada orang ramai.

Pereka terkenal, Amir Luqman tampil jual pakaian glamor yang pernah diciptanya untuk bintang popular di Amcorp Mall, esok

INGIN memiliki gaun yang pernah dipakai Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Noorkhiriah dan Sharifah Amani? Anda mungkin boleh memiliki pakaian yang pernah digayakan artis kesayangan ramai itu apabila berkunjung ke karnival Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 - Beramal Bersama Bintang di Amcorp Mall, Petaling Jaya, esok.

Pada hari berkenaan, mulai jam 10 pagi hingga 6 petang, peminat bukan hanya mampu mendekati artis pujaan mereka, bahkan sebahagian koleksi peribadi selebriti itu juga bakal menjadi milik orang ramai yang memeriahkan acara terbabit.

Karnival berkenaan dianjurkan dengan tujuan mengumpul derma bagi Tabung NSTP Untuk Gaza, yang dilancarkan NSTP awal Januari.

Bukan saja penyanyi, pelakon, penyampai radio mahupun pengacara TV yang bakal berganding tenaga menyahut seruan gelombang kasihan kemanusiaan ini, malah komuniti pereka fesyen turut melihat acara yang dikelolakan kumpulan NSTP itu sebagai ruang terbaik untuk sama-sama menghulur tangan membantu mangsa keganasan Israel di bumi Gaza.

Justeru, Amir Luqman tidak berfikir panjang apabila dia mendapat tahu wujudnya acara terbabit daripada teman seperjuangan, Calvin Thoo.

ERRA FAZIRA pernah mengenakan gaun songket rekaan Amir Luqman ini.

"Inilah kali pertama saya berasakan diri saya cukup terpanggil untuk sama-sama membantu insan dalam kesengsaraan akibat kekejaman tentera Israel. Saya benar-benar terasa dengan apa yang dialami penduduk Gaza ketika ini," ujar Amir yang tidak menyembunyikan perasaan geramnya apabila bercerita mengenai serangan askar Yahudi ke atas bumi Palestin.

Lalu, dia mengumpulkan koleksi pakaian rekaannya yang pernah digayakan selebriti tempatan serta pelbagai himpunan aksesori, kasut dan beg tangan untuk dijual pada hari berkenaan.

Tegasnya, daripada dibiarkan saja, baiklah dia menjual koleksi terbabit dengan harga yang lebih murah, dengan harapan hasilnya nanti dapat sama-sama dia dermakan untuk membantu mangsa perang.

"Saya tidak mahu menjualnya pada harga biasa kerana saya sedar, jualan pada hari ini sememangnya untuk disumbangkan kepada tabung amal. Pada hari terbabit, orang ramai boleh mendapatkan barangan berkenaan daripada harga serendah RM1 saja," katanya sambil membelek sebahagian koleksi yang akan dijual.

Ketika sesi fotografi ini dilakukan, Amir sempat menunjukkan gaun hijau yang pernah digayakan Amani pada Anugerah Skrin 2007. Di sebelahnya, gaun hijau dan hitam yang digayakan aktres Noorkhiriah, tatkala menaiki pentas menerima trofi pada acara yang sama.

"Gaun berbunga-bunga ini pula dipakai Amani untuk sesi fotografi sehari sebelum dia membotakkan kepala untuk menjayakan filem Muallaf," cerita Amir mengenai sebahagian koleksi yang dibawanya pada hari berkenaan.

Selain Siti, Erra, Noorkhiriah dan Amani, rekaan Amir juga tidak asing di badan Datin Seri Tiara Jacquelina, Rossa, Krisdayanti, Datin Natasha Hudson, Aleeza Kassim, Ida Nerina, Amylea Azizan, Nita, Kat Mentor dan Kavita Kaur.

"Kavita ialah selebriti pertama memakai rekaan saya pada 2005. Ketika itu, saya masih lagi bertatih dalam bidang rekaan, sebaik saja menceburi bidang ini setahun sebelumnya. Sejak itu, dia antara artis yang menjadi pelanggan tetap saya sehingga sekarang," katanya yang bagaimanapun ingin menyimpan gaun dipakai selebriti tinggi lampai itu sebagai kenangan.

Diusik dengan pertanyaan apakah koleksinya nanti hanya akan disambar peminat berbadan langsing, Amir cepat-cepat menyangkal.

"Jangan bimbang, sebahagian koleksi saya turut boleh digayakan mereka yang berbadan agak berisi. Lebih kurang 50 koleksi pakaian mungkin saya bawa untuk acara jualan jumble itu. Jadi, pasti ada pelbagai saiz untuk sesiapa saja. Begitupun, siapa yang cepat, dialah yang dapat," kata pereka berasal dari Kelantan ini.

Ujarnya, dia amat memahami, sebahagian peminat bukan hanya ingin bersua muka dengan selebriti diminati mereka, malah jika boleh, barang yang mempunyai kaitan terus dengan golongan terkenal itu juga ingin dimiliki. Menyedari hakikat itu, dia sedaya mungkin akan meletakkan harga yang dikira cukup berpatutan bagi membolehkan peminat memiliki barangan berkenaan.

Begitupun, gaun yang baru saja digayakan Siti untuk muncul di muka depan sebuah majalah gaya hidup, mungkin dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding koleksi lain.

"Jika peminat benar-benar ingin mendapatkan gaun dipakai penyanyi tersohor itu sambil menghulurkan derma, saya pasti mereka dengan senang hati akan mendapatkannya juga apabila diletakkan di rak jualan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: