SETELAH gamat kisah cintanya diperbualkan, barulah bekas anggota kumpulan Spice Girls, Geri Halliwell membuat keputusan mengumumkan pertunangannya dengan teman lelaki Italinya, Fabrizio Politi.
Halliwell, 37 tahun, akhirnya mengalah apabila percintaannya dapat dihidu pihak media.
Pasangan ini baru saja bertemu di Florence pada bulan Disember tahun lepas. Tapi dek kerana terlalu cinta, beberapa minggu saja selepas itu, jutawan berusia 34 tahun itu telah melamar Halliwell pada hari Krismas.
Pengumuman kisah gembira itu juga telah dibuat oleh pihak pengurusan penyanyi itu.
Kenyataan yang dikeluarkan berbunyi, "Kami dengan ini ingin berkongsi perkahabaran gembira tentang pertunangan Halliwell dan Fabrizio Politi.
"Sebagai tanda kasih dan komitmen antara satu sama lain, Fabrizio telah menghadiahkan sebentuk cincin pertunangan pada hari Krismas baru ini."
"Tidak ada perancangan ke arah perkahwinan setakat ini kerana pasangan ini sedang menikmati alam pertunangan mereka," jelas kenyataan itu lagi.
Halliwell, yang mempunyai anak perempuan berusia dua tahun, Bluebell Madonna, dengan penulis skrip British Sacha Gervasi, pernah membuat perhubungan dengan Raja pop Robbie Williams juga penari latar Spice Girls iaitu Ivan 'Flipz' Velez.
Selain kisah cintanya, Halliwell secara diam-diam telah memulakan kariernya dalam penulisan skrip. Beliau begitu teruja menyiapkan novel kanak-kanak fiksional berdasarkan watak kegemarannya Ugenia Lavender.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: