Thursday, January 29, 2009

Lesbian isu realiti





DI celahan deretan rumah teres satu tingkat di Kampung Tunku, Petaling Jaya, terlihat sebuah rumah yang tidak diubah bentuk luarannya. Pandangannya cukup menarik perhatian dengan warna putih yang menyaluti seluruh dindingnya.

Bersih, ringkas dan tampak comel, itulah tanggapan pertama saat kaki melangkah ke ruang kerja pengarah kreatif terkenal, James Lee.

Rumah tempatnya mencari ilham ini diberi nama Da Huang Pictures dan dikongsi bersama beberapa lagi pengarah filem indie terkenal seperti Amir Muhammad, Tan Chui Mui dan Liew Seng Tat.

Di sinilah James sering mencari ilham bersama rakan seperjuangan dan di sini juga terletaknya pejabat yang menggerakkan segala hasil kreatif.

"Dulu kami semua susah. Saya pun susah juga sebab filem pendek arahan saya bukan semua orang terima kerana mereka tidak faham.

"Bila buat filem pendek hanyalah untuk kepuasan diri, bukannya untuk duit sebab itu kami semua tidak kaya," katanya sambil ketawa panjang.

Bercerita lebih lanjut tentang pengalamannya sebagai pengarah filem indie, James mengatakan kejayaannya hari ini disulami dengan pengorbanan besarnya pada masa lalu.

Pernah suatu ketika niatnya untuk terus berada dalam dunia perfileman dihalang keluarga kerana berpendapat bidang seni tidak memberi jaminan dan pulangan yang lumayan.




"Habis saja belajar, saya terus bekerja sebagai pereka grafik, setelah lima tahun saya mula rasa bosan dan kebetulan minat saya tertumpu pada bidang teater.

"Saya nekad berhenti kerja dan bersama Actor Studio. Masa itu, teater tidak seperti hari ini, duit untuk diri sendiri pun tidak cukup dan telah memaksa saya melakukan pelbagai kerja sambilan," ujarnya jujur.

Pengalaman menjadi seorang tukang masak di sebuah restoren Itali, pelayan dan juga menjaga stor selama dua tahun antara pengalaman yang tidak akan dilupakan.

"Demi minat saya sanggup buat apa saja, keluarga marah, saya tetap buat juga. Kalau ingat balik memang sedih, bukan senang untuk saya jadi pengarah seperti hari ini," katanya.

Namun, itu dulu. Saat karyanya tidak dihargai dan saat bakat yang ada dalam dirinya dipandang sebelah mata oleh segelintir pihak.

Kini, James boleh berbangga dan tersenyum puas dengan kejayaan yang diterimanya. Bukan calang-calang anugerah yang pernah diterima tetapi filem pendek arahannya The Beautiful Washing Machine telah menerima anugerah Filem Cereka Terbaik Asean dan hadiah FIPRESCI di Festival Filem Antarabangsa Bangkok pada tahun 2005.


MENGIMPIKAN sebuah filem seperti Matrix apabila sudah bergelar hartawan suatu hari nanti.


Bukan itu saja, pada Festival Filem Asia Deauville ke-9 pada April 2007, hasil karya James telah diberi fokus dan ia satu penghormatan kepadanya sebagai seorang pengarah muda yang mempunyai visi.

"Sebenarnya saya tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang filem. Saya belajar melalui pengalaman dan melihat cara kerja orang lain.

"Saya bermula sebagai pembantu produksi dan pengurus produksi bersama produksi HVD pada tahun 1997 dan mula buat filem pendek pada tahun 1999 dan masih berterusan sehingga hari ini," tuturnya.

Nenek Kebayan, naskhah terbaru

Jika di luar, namanya sudah lama dikenali, tetapi dalam gelanggang tempatan namanya terkenal dengan filem seram komersial pertamanya yang berjudul Histeria.

Memperoleh pulangan lebih RM2.7 juta berbanding modal yang dikeluarkan hanya RM1.4 juta, filem arahannya itu berada dalam kategori antara filem seram yang berjaya.

Siapa sangka, karya-karya kreatif pengarah kelahiran Ipoh, Perak, yang pada segelintir khalayak sebagai sebuah karya yang sukar difahami dan dipandang sebelah mata, kini mula menjadi bualan ramai.

Meskipun Histeria sebuah filem seram, ia tidak hanya tertumpu pada hantu semata-mata tetapi James bijak menyelitkan beberapa adegan panas yang secara tiba-tiba meledakkan filem ini pada mata khalayak.


JAMES pernah melalui pengalaman hidup susah sebelum berjaya seperti hari ini.


Adegan yang dimaksudkan adalah pembunuhan kejam serta adegan ciuman lesbian. Walaupun ramai yang mempertikaikan kewujudan adegan panas itu, James hanya mampu tersenyum apabila melihat kutipan tiket melebihi sasarannya.

"Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pengarah dan insan. Adegan lesbian bukan bahagian utama, saya hanya pinjam daripada apa yang berlaku dalam masyarakat, tetapi adegan itu paling diingati penonton.

"Bukan mencari kontroversi, saya hanya lakukan yang terbaik selain menghibur, ia juga boleh menyedarkan penonton yang tidak sedar akan masalah sosial yang semakin berleluasa,"tegasnya.

Sungguhpun filem Histeria berjaya, James tidak akan terbabit dengan sekuel filem itu kerana beranggapan filem sambungan pastinya tidak sebaik dan berjaya seperti filem pertama.

Tidak mahu merugikan penerbit, pengarah berusia 37 tahun, kini dalam proses kajian filem seram keduanya yang berjudul Nenek Kebayan.

Tambahnya, kajian secara menyeluruh perlu dilakukan sebelum skrip ditulis. Walaupun nenek kebayan hanya mitos yang tersebar dari mulut ke mulut, ada yang mendakwa pernah terserempak dengannya.

"Itu yang menyebabkan saya tertarik untuk mengetengahkan nenek kebayan sebagai subjek utama kerana ia cukup dekat dengan orang Melayu walaupun ada yang hanya mendengar cerita saja," ujarnya.

Beritahunya, walaupun dia berminat terhadap filem-filem seram, tetapi dia ingin dikenali sebagai pengarah versatil. Mungkin suatu hari jika terdapat bajet yang mencukupi, dia ingin sekali mengarahkan sebuah filem sains fiksyen seperti, filem aksi terkenal Matrix.

"Itu filem impian saya, tetapi bajetnya terlalu besar, tunggulah saya kaya dulu atau ada penerbit yang bermurah hati untuk memberi dana, saya akan lakukan," bicaranya sambil diiringi gelak tawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: