[SEMASA] PETALING JAYA: Pelakon jelita, Nora Danish akui hidupnya kini lebih terisi setelah kehadiran cahaya mata pertamanya, Putera Rayqal Ramli, yang selamat dilahirkan pada 7 Januari lalu di Hospital Gleneagles, Ampang.
Walaupun ketika itu dia mengambil keputusan untuk 'mendiamkan' diri dan enggan mendedahkan kisah kelahiran bayi lelaki itu, Nora menjelaskan, semua itu dilakukannya kerana keadaan kesihatan yang tidak begitu baik.
"Sebenarnya, ketika itu saya masih 'trauma' sejak melahirkan Rayqal. Saya bersalin secara normal, tetapi hampir tujuh jam juga saya bertarung nyawa sebelum bersalin.
"Itu yang membuatkan saya 'diam' dulu selepas itu. Alhamdulillah, sekarang keadaan saya baik dan sedang di dalam pantang. Malah, Rayqal juga sihat.
"Hidup saya kini juga lebih bahagia dengan kehadiran Rayqal. Seronok sebenarnya mempunyai anak sendiri. Hilang kesakitan yang dialami ketika bersalin dulu bila lihat wajahnya," tutur Nora yang selamat melahirkan bayi comel seberat 3.05 kg itu pada jam 11.50 malam.
Nama Nora pernah menjadi bualan 'hangat' tahun lalu gara-gara perceraiannya dengan Rizal Ashram Ramli sewaktu dia sedang mengandungkan cahaya mata sulungnya itu.
Nora dan Rizal bernikah pada Jun 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pasangan ini bagaimanapun bercerai dengan talak dua pada tahun lalu setelah mahkamah memutuskan lafaz cerai yang dibuat oleh Rizal pada Februari dan Jun lalu adalah sah.
Enggan berbicara tentang 'episod' lama itu, kata Nora, dia ingin menjalani hidup baru sambil 'ditemani' Rayqal. Malah, tutur pelakon berusia 26 tahun ini, hubungannya bersama bekas suami juga masih baik.
"Rizal sendiri ada bersama dengan saya ketika di dalam bilik bersalin dan bersama-sama menyambut kelahiran Rayqal. Malah, nama bayi ini juga kami yang pilih bersama.
"Dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai bapa. Kerap juga dia datang melawat. Malah, ibu mertua saya juga hampir setiap hari akan datang melawat saya dan 'baby'.
"Bagi saya, perkara yang lepas biarlah ia berlalu pergi. Apa yang penting, saya tidak mahu bermusuh dengan dia dan akan bersama-sama menjaga Rayqal," kata Nora.
Ditanya sama ada mereka mungkin akan merujuk semula dengan kehadiran Rayqal itu, sambil ketawa, Nora menjawab:
"Tak mahulah cakap tentang perkara itu. Bagi saya, sekarang ini saya hanya mahu fokus pada anak saya dan karier lakonan," ujarnya ringkas.
Kata Nora lagi, dia juga akan kembali aktif dalam bidang lakonan setelah tamat pantang nanti. Projek pertamanya ialah sitkom Puteri yang akan memasuki musim ke-11.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: