
LEBIH kurang seminggu lagi Konsert Wings 30 Tahun - Back To 80’s anjuran Telus Maxima bakal berlangsung di Padang B, Plaza Angsana, Johor Bahru.
Sempena konsert yang akan diadakan 25 Disember ini, Wings mengadakan konvoi motosikal ke selatan tanah air dan Singapura bermula 10 hingga 13 Disember baru-baru ini.
Pada hari pertama, peserta konvoi termasuk anggota kumpulan Wings iaitu Awie, Joe, Eddie dan Black, berlepas dari perkarangan ibu pejabat JW Innovative Trade, pemilik jenama AgeTech di Dataran Pandan Prima, Kuala Lumpur.
Konvoi yang diketuai Awie Wings disertai 30 motor berkuasa tinggi Harley Davidson gabungan Wings Riders dan AgeTech Riders serta empat kenderaan pacuan empat roda.
Turut serta, pemilik AgeTech, Datuk Shahrul Nizad, Ketua Pegawai Eksekutif AgeTech Dr Rizal Ridzuan dan Pengarah Urusan AgeTech, Mastura Ramli.
“Destinasi pertama persinggahan, Palm Mall Seremban untuk beramah mesra bersama peminat.
“Konvoi kemudian bergerak ke Tampin untuk sesi bertemu peminat yang seterusnya. Konvoi disambut oleh Bikers dari Melaka di Plaza Tol Simpang Empat sebelum bergerak ke Diba Kitchen.
“Walaupun peserta konvoi dalam kebasahan akibat hujan, namun sesi bertemu peminat masih dapat berjalan dengan lancar.
“Destinasi terakhir kami hari pertama Melaka dan kami masih sempat beramah mesra bersama peminat di Taman Semabok Perdana,” katanya.
Konvoi diteruskan ke destinasi seterusnya iaitu Muar, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Pasir Gudang dan Plaza Angsana, Johor Bahru sebelum berangkat ke Singapura pada keesokan harinya.
“Selain mempromosikan konsert dan bertemu peminat di setiap lokasi, kami juga menjual tiket dan tidak sangka sambutannya seperti pisang goreng panas.
“Ketika berada di Singapura satu sidang media sempat kami adakan bersama media tempatan dan kami berharap peminat di sana akan ambil kesempatan ini untuk turut sertai kami pada konsert nanti,” katanya.
Janji persembahan bertenaga
Wings turut menggalakkan peminat untuk turut serta memeriahkan konsert dengan berpenampilan era 80-an.
“Kami memilih tajuk Konsert Wings Back To 80’s kerana mahu kembalikan kegemilangan era 80-an.
“Kami juga menggalakkan peminat yang hadir untuk sama-sama tampil berpakaian era 80-an untuk memeriahkan lagi suasana konsert sebagai kelainan konsert,” ujarnya.
Tidak hanya mengetengahkan konsep era 80-an semata-mata, Awie turut menjanjikan persembahan Wings malam malam itu penuh bertenaga.
“Insya-ALLAH, kami sentiasa mahu buat yang terbaik untuk peminat yang selama ini tidak pernah putus menyokong kami.
“Bukan sahaja kembalikan suasana era 80-an, tapi tenaga persembahan kami juga saya harap seperti era yang sama. Kami mengharapkan tahap kesihatan akan terus kekal baik,” katanya yang turut memaklumkan penampilan bekas-bekas anggota Wings iaitu Mel, Sham, dan Jojet.
Selain Wings dan artis undangan seperti Aweera, Ronnie Hussein, Ito, Apek, Yassin dan Lan Typewriter yang beraksi pada malam konsert, Band tempatan seperti Titanium, Statik, The Mister, D’fender, Ucop & Friends dan Beta akan membuat persembahan bagi memeriahkan suasana sebelah petang sebelum konsert bermula.
Bagi mereka yang masih belum mendapatkan tiket, pembelian boleh dilakukan menerusi www.tickethotline.com atau www.sayap2wings.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: