
Sebahagian daripada pelajar Madrasah Umamah Halimi di hadapan bangunan yang dibina atas tanah wakaf untuk melahirkan lebih ramai tahfiz muda.
KUANTAN - Madrasah Umamah Halimi yang baharu setahun ditubuhkan di Kampung Rumbia, Beserah mencatatkan perkembangan positif apabila terus menjadi pilihan ibu bapa menghantar anak-anak mereka menghafaz al-Quran.
Pengasasnya, Abdul Mutalib Awang berkata, sehingga kini terdapat 30 pelajar tahfiz yang belajar di sini dari usia 10 hingga 13 tahun dan pihaknya mensasarkan bilangan tersebut terus meningkat kepada 60 pelajar pada tahun 2016 nanti.
“Madrasah ini masih baharu selepas ia dibina atas tanah wakaf keluarga sebelah isteri saya dengan keluasan 1.125 ekar yang mahu melihat lebih ramai tahfiz muda dapat dilahirkan.
“Madrasah itu ditubuhkan bagi membantu remaja dan juga golongan dewasa mendalami agama seperti solat, membaca al-Quran dan tidak ketinggalan didikan akhlak turut diberikan,” katanya.
Selain itu, sokongan orang ramai dan penduduk sekitar juga diperlukan untuk menyumbang ke arah pembangunan madrasah ini memandangkan tiada dana khas yang digunakan bagi tujuan tersebut.
Abdul Mutalib berkata sebagai sebuah madrasah yang diuruskan sendiri oleh pihaknya, bantuan kewangan dan keperluan makanan bergantung kepada sumbangan orang ramai.
“Masih banyak kitab dan perkara lain yang perlu mereka ada sebagai kemudahan menjalani kehidupan di madrasah.
“Dalam usia 10 tahun ini juga telah banyak mengajar mereka erti berdikari walaupun rakan seusia yang lain berada di rumah bersama keluarga,” katanya.
Di samping itu juga, madrasah ini turut menganjurkan Kem Motivasi sempena Maulidur Rasul pada musim cuti sekolah dari 24 Disember hingga 27 Disember ini dekat Hutan Lipur Beserah.
Pelajar akan mengikuti pelbagai aktiviti untuk meningkatkan ketahanan mental dan rohani mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: