Wednesday, December 2, 2015

Siti mengandung dua bulan, sebelum keguguran



Siti mengandung dua bulan, sebelum keguguran

PENYANYI nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin membuat kenyataan terbuka mengenai rahsia sama ada  beliau mengandung atau tidak sebelum ini.
Hari ini,  semua spekulasi terjawab apabila penyanyi pujaan ramai itu melakar satu status bergambar menerusi laman sosial Instagram @ctdk miliknya sekaligus menjawab setiap persoalan yang berlegar-legar di fikiran peminatnya selama ini.
Dalam status yang dimuat naik sekitar pukul 10 pagi tadi, Siti berkata dia memang mengandung tetapi apakan daya kandungannya gugur, namun beliau reda dengan apa yang berlaku dan tetap bersyukur dengan anugerah indah yang dipinjamkan sementara buatnya.
"Ternyata ALLAH  SWT hanya pinjamkan anugerah ini untuk seketika sahaja. Hanya sempat selama dua bulan saya kandungkan dan saya keguguran.
"Saya redha dan jauh di sudut hati amat bersyukur kerana Allah SWT telah memberikan saya jawapan di atas setiap doa. Insya- ALLAH  ia permulaan untuk anugerah yang seterusnya," tulis Siti di akaun Instargamnya sebentar tadi.‎
Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Jaga Dia Untukku itu turut menyatakan kenapa beliau utuh dengan pendiriannya selama untuk mendiamkan diri buat seketika, ketika berita kehamilannya heboh diperkatakan rakyat Malaysia.
"Ada sebabnya Siti enggan mengiyakan atau menafikan berita kehamilan tersebut. Usia kandungan pada waktu itu masih terlalu "fragile" (rapuh) . Saya hanya menantikan waktu yang sesuai untuk mendedahkan berita gembira itu, namun takdir ALLAH telah tertulis," ujarnya.
Mengakhiri coretannya, Siti menzahirkan perasaan berterima kasihnya di atas doa dan kata-kata semangat daripada suami, keluarga, peminat dan masyarakat buat dirinya.
"Siti yakin pada perancang terbaik dalam hidup Siti iaitu ALLAH  SWT," katanya.
"Selepas habis berpantang, Siti akan menjalani jadual harian seperti biasa. Siti hanya ingin berehat buat masa sekarang. Saya pohon pengertian semua pihak bagi diberikan sedikit ruang untuk saya berehat sebelum mula bekerja seperti biasa." akhiri penyanyi itu.
Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, melangsungkan penikahan pada 21 Ogos 2006.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: